From:
Date: 15 Dec 1999
Time: 10:13:17
MCA negeri hari ini menyifatkan peruntukan jawatan anggota exco kerajaan negeri Pulau Pinang yang dikekalkan untuk dua orang bagi parti itu sebagai tidak adil.
Pengerusi MCA negeri Datuk Dr Sak Cheng Lum memberitahu sidang berita di sini hari ini, parti itu bertambah kecewa kerana permintaannya untuk mendapatkan tambahan jawatan exco atau jawatan Timbalan Ketua Menteri Kedua telah disalahtafsirkan.
Katanya, kempimpinan MCA negeri juga keliru dengan pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) kerana dalam masa permintaan MCA tidak dilayan, sebuah lagi parti komponen diberi tambahan jawatan di peringkat pusat pula.
"Apakah mesej yang hendak disampaikan oleh kempimpinan BN pusat kepada MCA negeri ini? Saya benar-benar tidak faham dan saya nyatakan di sini bahawa mereka (BN pusat) bersikap tidak adil untuk anggota dan penyokong MCA Pulau Pinang", katanya.
Semasa mengumumkan senarai kabinet dan anggota pentadbiran kerajaan pusat baru-baru ini, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad berkata Gerakan telah diberikan tambahan jawatan Setiausaha Parlimen.
MCA Pulau Pinang membuat tuntutan bagi mendapatkan jawatan tambahan exco atau Timbalan Ketua Menteri Kedua ekoran kejayaannya memenangi semua sembilan kerusi negeri yang ditandinginya pada pilihan raya umum 29 Nov lepas.
Dalam senarai exco kerajaan negeri yang diumumkan oleh Ketua Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon hari ini, Umno dan Gerakan masing-masing mengekalkan empat tempat, MCA dua dan MIC satu. Agihan itu sama seperti sebelum pembubaran dewan undangan negeri.
Sak berkata, sebagai pemimpin parti di peringkat negeri, beliau bertanggungjawab untuk menyuarakan pandangan dan permintaan MCA dan ia tidak sepatutnya menjadi satu kesalahan.
Sak, yang meminta supaya tidak disenaraikan dalam barisan anggota exco kerajaan negeri, berkata tindakannya adalah atas pendirian peribadinya.
"Saya tidak mahu memegang jawatan dan anda (media) boleh buat pelbagai spekulasi sama ada saya ingin menampilkan barisan pelapis atau kecewa tetapi yang pastinya saya tidak akan bersara selagi dikehendaki oleh parti," katanya.
Beliau bagaimanapun menyambut baik barisan exco yang diumumkan oleh Koh.
Mengenai MCA dengan Gerakan yang dikatakan tegang ekoran isu itu, Sak berkata: "Mungkin mengambil masa untuk berbaik dengan Gerakan kerana kita terpaksa menunggu agar ia (isu itu) sejuk, barulah boleh berbaik balik."
Bagaimanapun, katanya, sebagai anggota keluarga dalam BN, MCA mengutamakan perpaduan dan semangat itu harus dikekalkan walaupun terdapat perselisihan faham.
"MCA memang akur dengan arahan pucuk pimpinan BN," katanya.