ReformIS

[ Contents | Post ]

Bodek Dan Kroni Kriteria Utama Jadi Menteri

From:
Date: 15 Dec 1999
Time: 09:33:56

Comments

Bodek Dan Kroni Kriteria Utama Jadi Menteri

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) melihat kenyataan Perdana Menteri bahawa tiada pemimpin BN dari Kelantan dan Terengganu yang mempunyai kelayakan untuk dilantik menjadi menteri sebagai menikam diri sendiri. DPP Pusat mempersoalkan apakah kriteria yang perlu dimiliki oleh seorang pemimpin BN untuk melayakkan mereka dilantik sebagai menteri dalam kabinet MAHAFIRAUN jika semua pemimpin BN dari Kelantan dan Terengganu tidak mempunyai kelayakan seperti yang didakwa MAHAFIRAUN.

DPP Pusat hairan mengapa beberapa pemimpin yang bermasalah dan dipersoalkan kedudukan mereka kerana terlibat dengan kegiatan jenayah terus dilantik menjadi anggota kabinet MAHAFIRAUN. Yang lebih parah, apabila pemimpin yang kalah pilihanraya turut dilantik walaupun telah ditolak oleh rakyat setelah rakyat menyedari bahawa menteri tersebut gagal berfungsi dengan baik sebagaimana yang harapkan pada penggal Parlimen yang lalu.

PP Pusat dapat merasakan bahawa kebolehan mengampu, merancang konspirasi politik, meragut hak rakyat dan memakan rasuah menjadi asas utama penentuan kriteria seseorang menteri kabinet. Kerana itulah keseluruhan menteri kabinet baru terdiri daripada kroni-kroni MAHAFIRAUN yang selama ini menjadi pelakon utama yang menghancurkan masa depan rakyat dengan kerakusan, penyelewengan, salah guna kuasa dan kezaliman yang mereka persembahkan.

DPP Pusat dapat melihat dengan jelas bahawa ‘kenyataan ikhlas’ MAHAFIRAUN ini menjadi gambaran bahawa BN tidak mengambil berat langsung tentang kebolehan dan kemampuan calon-calon yang bertanding dalam pilihanraya, tetapi yang menjadi teras kepada pemilihan calon adalah kemahiran membodek yang dimiliki oleh seseorang pemimpin BN. Tindakan rakyat yang menolak BN dalam pilihanraya lalu sehingga menjejaskan dengan teruk undi popular BN merupakan respon pengundi terhadap politik bodek BN. Rakyat telah hilang keyakinan kepada calon-calon BN seperti mana MAHAFIRAUN sendiri tidak meyakini kewibawaan calon-calon BN yang menang dalam pilihanraya lalu.

DPP Pusat juga sangsi bagaimana MAHAFIRAUN juga mempunyai pandangan serupa terhadap pemimpin-pemimpin wanita BN. Kemerosotan jumlah menteri wanita telah memaparkan imej sebenar BN terhadap wanita. Walaupun sejumlah 30 orang calon wanita BN berjaya memenangi kerusi Parlimen dalam pilihanraya lepas, 28 daripada mereka termasuk Datin Paduka Zaleha Ismail dan Datuk Napsiah Omar yang pernah menjadi menteri dianggap tidak memiliki kriteria untuk menganggotai kabinet. Lebih memalukan lagi apabila Tengku Razaliegh yang berpengalaman dalam kabinet semenjak 1974 dianggap tidak layak dan terus dijadikan ghurka walaupun beliau merupakan satu-satunya calon BN yang memenangi kerusi Parlimen di Kelantan.

DPP Pusat menolak hujah MAHAFIRAUN yang mengatakan bahawa ketiadaan kekosongan di Dewan Negara menjadi punca tiada menteri dilantik dari Kelantan dan Terengganu. Mengapa dua kekosongan diberikan kepada Dr. Abdul Hamid Othman dan Tan Sri Musa Mohamad yang kedua-duanya mempunyai rekod buruk dalam perkhidmatan mereka. Penafian hak untuk Kelantan dan Terengganu ini adalah bertujuan untuk membalas dendam terhadap penolakkan rakyat kepada kerakusan, kezaliman dan salah guna kuasa pemimpin BN. Terengganu sendiri mempunyai rekod yang malang dalam kabinet semenjak merdeka apabila hanya dua orang sahaja rakyat Terengganu yang pernah merasai kerusi menteri dalam sejarah pasca merdeka negara ini.

MAHAFIRAUN sebenarnya lebih berminat untuk melantik menteri kabinet dari kalangan kroni-kroni yang bermasalah dengan tujuan untuk mempastikan mereka terus menjadi tukang angguk kepada semua tindakan rakus MAHAFIRAUN. MAHAFIRAUN secara tersirat menyedari bahawa sebahagian besar ahli Parlimen BN yang memenangi pilihanraya tidak memberikan sokongan kepada beliau. Sebahagian besar pemimpin BN sebenarnya sudah menyedari bahawa MAHAFIRAUN menjadi punca utama penolakkan rakyat terhadap Umno/BN, dan mereka mengharapkan agar MAHAFIRAUN turun daripada kerusi Perdana Menteri yang didudukinya selama 18 tahun ini.

Keseluruhannya, tindakan MAHAFIRAUN yang tidak melantik wakil dari Kelantan dan Terengganu serta juga pengurangan jumlah menteri wanita atas alasan tidak cukup kriteria adalah penghinaan terbuka kepada calon-calon BN dan masyarakat wanita keseluruhannya. MAHAFIRAUN sudah tidak berselindung lagi tentang ketidakyakinannya terhadap pemimpin-pemimpin BN yang tidak memiliki kemahiran membodek dan tidak menganggotai pasukan kroninya.

DPP Pusat mengajak seluruh rakyat agar membuat penilaian semula terhadap stuktur kabinet baru yang dibentuk oleh Dr. MAHAFIRAUN baru-baru ini. Pelantikan pemimpin-pemimpin yang mempunyai rekod buruk untuk memimpin negara dalam tempoh lima tahun jika tidak diberi perhatian oleh rakyat akan sekali lagi menggadai masa depan negara sebagaimana telah berlaku sebelum ini. Rakyat mesti bertindak tegas kali ini untuk menjadi check and balance kepada kabinet yang meragukan ini.

HAJI MAHFUZ HAJI OMAR Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

Last changed: December 15, 1999