ReformIS

[ Contents | Post ]

Kenyataan Akhbar Presiden PAS :   Kabinet Baru Orde Lama

From:
Date: 13 Dec 1999
Time: 01:24:40

Comments

Kenyataan Akhbar Presiden PAS : Kabinet Baru Orde Lama

Tarikh: 11 Disember 1999

Barisan kabinet kerajaan baru telah diumumkan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad pada 10 Disember 1999. Pastinya kepada semua jemaah menteri yang terlantik cabaran kepemimpinan dan persaingan alaf baru adalah cukup mencabar sekali. Apapun selaku mewakili Barisan Alternatif saya ucapkan tahniah dan selamat bertugas.

Pilihanraya umum kesepuluh menyaksikan anjakan besar psikologi seluruh lapisan rakyat untuk menuntut perubahan. Fenomena ini cukup jelas dan begitu menonjol serta sukar untuk dinafikan oleh kerajaan UMNO/BN. Meskipun UMNO/BN masih mampu mengekalkan penguasaan mereka dalam tampuk pemerintahan, tuntutan dan suara rakyat perlu diambil perhitungan dalam menyusun jemaah menteri yang baru. Pun demikian, penelitian kepada kabinet baru tersebut gagal membayangkan keinginan rakyat seterusnya tidak mencerminkan kesungguhan Malaysia untuk mendepani persaingan alaf baru.

Membariskan semula muka-muka lama yang telah menimbulkan kontroversi dalam ekonomi dan medan politik tanahair, seperti Tun Daim Zainuddin, Datin Paduka Rafidah Aziz, dan Dato’ Paduka Dr Abdul Hamid Othman, adalah tidak wajar dan meneruskan sikap kronisme yang diamalkan oleh Dr. Mahathir. Perlantikan ini juga turut menyangsikan keupayaan usaha untuk membaikpulih keyakinan pelabur dalam dan luar negara terhadap pengurusan ekonomi negara. Keputusan ini adalah bertentangan dengan arus pemikiran rakyat yang telah menunjukkan tentangan mereka terhadap amalan kronisme dan korupsi melalui kekalahan serta pengurangan majoriti yang dialami oleh menteri-menteri berkenaan. Sekaligus perlantikan ini seolah olah mengesahkan dakwaan UMNO ketandusan kepimpinan dan tokoh-tokoh agama di kalangan ahli parlimennya sehingga terpaksa membawa semula orang yang tewas ke dalam kabinet.

Satu kritikan yang kerap disuarakan oleh kaum wanita di negara ini ialah berkurangnya wanita dalam jemaah menteri. Barisan Nasional menggunakan isu calon wanita kononnya bagi menunjukkan keprihatinan mereka membela kaum wanita. Disamping itu, BN bergantung penuh dengan jentera wanita UMNO bagi menagih undi rakyat. Namun ketika terdapatnya peningkatan jumlah wakil wanita dalam parlimen pada kali ini, Perdana Menteri menyebutkan tidak ada yang mencapai kriteria yang diperlukan untuk menambah jumlah menteri wanita. Kenyataan ini ternyata menghina wakil-wakil wanita di parlimen.

Adalah sukar untuk menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa Perdana Menteri mengambil sikap berdendam dengan tidak melantik sesiapa dari Kelantan dan Terengganu ke Jawatan Menteri, Timbalan Menteri atau Setiausaha Parlimen. Sikap ini akan hanya menimbulkan kekeruhan antara rakyat negeri-negeri berkenaan dengan kerajaan pusat. Alasan tiada kekosongan dalam Dewan Senat adalah sangat lemah.

Taburan lantikan menteri mengikut negeri-negeri juga tidak menggambarkan keadilan serta ketelitian Perdana Menteri. BN Selangor yang memenangi semua 17 kerusi parlimen tidak diberikan sebarang kerusi menteri sedangkan Kedah yang kehilangan 8 daripada 15 kerusi parlimen mendapat 4 kerusi menteri.

Barisan Nasional juga nampaknya tidak menghargai sokongan besar kaum Cina dan India apabila mengekalkan jumlah kerusi menteri yang sama seperti kabinet terdahulu. Analisis awal menunjukkan sokongan orang bukan Melayulah yang memberikan kemenangan besar kepada Barisan Nasional dalam pilihanraya lalu. Ramai yang menjangkakan bahawa Dr Mahathir akan memperuntukkan kerusi yang lebih kepada kaum Cina tetapi nyata tidak berlaku.

Kabinet baru BN nampaknya melangkah ke belakang dalam menghadapi alaf baru. Pas dan Barisan Alternatif akan terus memantau prestasi jemaah menteri ini dengan menubuhkan panel-panel yang akan meneliti setiap portfolio kabinet. Barisan Alternatif menjanjikan suasana dan iklim demokrasi yang sihat akan dijana melalui prinsip “check and balance” serta “the right to dissent”. Panel yang dianggotai oleh ahli-ahli parlimen dan pemimpin Barisan Alternatif sedang dirangka dan akan diisytiharkan tidak lama lagi.

DATO’ FADZIL MOHD NOOR PRESIDEN PAS.

Last changed: December 13, 1999