ReformIS

[ Contents | Post ]

KABINET BARU: BANYAK KOMPROMI UNTUK MEMBALAS BUDI

From:
Date: 13 Dec 1999
Time: 01:23:49

Comments

KABINET BARU: BANYAK KOMPROMI UNTUK MEMBALAS BUDI

SIARAN MEDIA 12 Disember 1999

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berpandangan bahawa Kabinet baru yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada 11 Disember 1999 adalah kerangka lama dengan beberapa penyesuaian mengambilkira prestasi komponen Barisan Nasional di dalam pilihanraya yang baru lalu. Nyata sekali Kabinet ini adalah Kabinet Kompromi untuk membalas budi dan bukannya untuk menyiapkan satu pasukan yang benar-benar mantap untuk menghadapi cabaran alaf baru.

Tiada langsung wakil dari Kelantan dan Terengganu boleh ditafsirkan sebagai suatu hukuman dan pengajaran kepada pengundi di kedua-dua negeri tersebut yang telah menolak kerajaan Barisan Nasional. Sekiranya tafsiran ini benar, bermakna sikap berdendam dan berkonfrantasi antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri yang diperintah oleh Barisan Alternatif akan mewarnai suasana politik dan hubungan pemerintah di dalam kerangka konsep 'Federalism'.

Perlantikan 3 Menteri dari Sabah dan Sarawak setiap satu juga jelas menggambarkan bahawa sikap berterima kasih Perdana Menteri kerana menyelamatkan majoriti dua pertiga kemenangan Barisan Nasional. Ini juga bermakna Sabah dan Sarawak akan menjadi faktor penentu kepada kemenangan Barisan Nasional untuk pilihanraya yang akan datang.

Perlantikan beberapa orang tokoh muda diharapkan dapat menyuntik ide-ide baru dan pendekatan yang segar dan dinamik untuk menggarap aspirasi generasi pasca Dasar Ekonomi Baru yang lebih kritikal terbuka dan global sikap dan pemikirannya.

Perlantikan Tan Sri Musa Mohamed sebagai Menteri Pendidikan seorang tokoh akademik yang bukan ahli politik adalah dialu-alukan sebagai pembuka aliran baru bagi membolehkan ahli akademik dan profesional termasuk pemimpin masyarakat yang bukan ahli politik dapat dimanfaatkan untuk kepentingan negara. Adalah diharapkan aliran baru ini akan mencirikan pembentukan kabinet baru di masa akan datang.

Namun demikian perlantikan Senator Dato' Abdul Aziz Shamsuddin sebagai Timbalan Menteri Pendidikan dan Dato' Dr Mahadzir Mohd Khir sebagai Setiausaha Parlimen boleh dianggap sebagai usaha untuk menggembalikan sokongan pendidik dan pelajar kepada UMNO dan Barisan Nasional. Sejak krisis politik yang meledak akibat pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim September 1998, golongan pendidik dan pelajarlah antara yang paling lantang dan kritikal terhadap kerajaan.

Apapun tafsiran dibuat, ABIM mengharapkan kabinet di bawah kepemimpinan YAB Datuk Seri Dr Mahathir kali ini akan lebih berjiwa besar, terbuka, berlapang dada serta sensitif terhadap tuntutan perubahan yang telah bertiup kencang khususnya di kalangan masyarakat Melayu. Isu Melayu dan Islam akan tetap mendalam di sanubari masyarakat Melayu dan sebarang tanda-tanda penyimpangan dan pengabaian terhadapnya, akan menimbulkan keresahan, konflik dan krisis.

ABIM akan terus berperanan sebagai penyalur aspirasi ummah, memperjuangkan kebenaran dan keadilan demi mengangkat martabat bangsa dan agama tercinta. ABIM akan terus bekerjasama dengan sesiapa jua tanpa mengira kecenderungan politik demi maslahah ummah terpelihara dan terjamin.

AHMAD AZAM ABDUL RAHMAN Presiden

Last changed: December 13, 1999