ReformIS

[ Contents | Post ]

Karpal optimis DAP bangkit semula

From:
Date: 10 Dec 1999
Time: 22:57:14

Comments

Karpal optimis DAP bangkit semula

Timbalan Pengerusi DAP, Karpal Singh tetap yakin parti itu akan mencatat kejayaan pada masa akan datang.

Beliau berkata, DAP sudah biasa mengalami kejatuhan dan kekalahan pada pilihan raya tetapi berjaya mencapai kejayaan kemudiannya.

Menurutnya, Barisan Nasional (BN) dan UMNO juga turut menunjukkan kekalahan teruk di Kelantan dan Terengganu yang jatuh ke tangan Pas.

''Saya melihat DAP boleh berjaya, boleh membangun sekali lagi, kebarangkalian ini tidak mustahil berlaku.

''Bukan kali pertama DAP kalah, sebelum ini juga berlaku tetapi bangun semula,'' katanya dalam wawancara dengan majalah mingguan MASSA terbitan Kumpulan Utusan.

Majalah keluaran 11 - 17 Disember itu yang akan berada di pasaran mulai hari ini turut mengupas kemenangan tipis Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak di Pekan; idea kharaj oleh kerajaan Pas Terengganu; tragedi di Ambon dan pengaruh Lim Kit Siang dalam DAP selepas pilihan raya umum.

Karpal dalam temu ramah itu turut mengulas mengenai kekalahannya di dalam kubu sendiri, Jelutong kepada calon Parti Gerakan, Lee Kah Choon.

Menurutnya, kekalahan pada pilihan raya lalu berpunca daripada lawan politiknya mengeksploitasikan isu bahawa beliau tidak pernah melawat kawasan.

''Sebagai ahli Parlimen, saya mengutarakan apa yang perlu dalam Parlimen. Menentukan undang-undang yang akan diluluskan untuk kebaikan rakyat.

''Itu penting. Malah lebih penting daripada melawat kawasan, tetapi tidak bermakna tidak perlu turun langsung,'' tegas beliau.

Sementara itu, Kah Choon ketika mengulas mengenai kemenangannya terhadap Karpal memberitahu, ia dicapai disebabkan rakyat di Jelutong inginkan perubahan.

Menurut beliau, kawasan Parlimennya sudah lama berada di bawah pembangkang dan rakyat di situ mempunyai harapan tinggi agar berlakunya perubahan.

Katanya, beliau berazam memberi perkhidmatan terbaik kepada pengundi dan rakyat di Jelutong selain melaksanakan tugas sebagai Ahli Parlimen.

''Apabila saya diumumkan sebagai pemenang, pertama saya gembira dan bersyukur kepada Tuhan kerana memberi peluang.

''Bagaimanapun ada perasaan risau kerana Jelutong sudah lama di bawah pembangkang,'' jelas beliau.

Setiausaha Agung Gerakan, Chia Kwang Chye pula menyifatkan kemenangan ke atas Pengerusi DAP, Lim Kit Siang disebabkan oleh rekod selama lima tahun menjadi wakil rakyat Bukit Bendera.

Menurut beliau, selain berbahas dan membangkitkan isu di Dewan Rakyat, wakil rakyat perlu berdamping dengan rakyat di kawasan.

Last changed: December 10, 1999