ReformIS

[ Contents | Post ]

MB Kedah duduk bawah Mat Sabu

From:
Date: 09 Dec 1999
Time: 20:39:03

Comments

Menteri Besar Kedah yang baru, Datuk Syed Razak Syed Zain merupakan anggota Exco kerajaan negeri yang paling kanan dan telah berkhidmat di bawah dua menteri besar sebelum ini.

Dilahirkan pada 22 Ogos, 1944 di Kubang Rotan, Kuala Kedah, beliau menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) sejak 1986 dan berkhidmat di bawah Tan Sri Osman Aroff dan Tan Sri Sanusi Junid.

Syed Razak, anak sulung daripada tiga beradik, mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah St Michael, Alor Setar dan menceburi bidang perniagaan sehingga diberi kepercayaan menerajui Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Malaysia Cawangan Kedah sejak 1986.

Penglibatannya dalam bidang politik bermula apabila beliau menjadi Ketua Umno cawangan Kilang Ais, Kuala Kedah, pada awal tahun 1970-an.

Pada 1985, Syed Razak dicalonkan sebagai Naib Ketua Umno bahagian Kuala Kedah tetapi menolaknya, sebaliknya hanya bersetuju menjadi anggota jawatankuasa bahagian itu.

Beliau memegang jawatan Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuala Kedah dari 1987 sehingga sekarang.

Syed Razak memulakan karier politik apabila dipilih sebagai ADUN Pengkalan Kundor selepas menewaskan calon PAS, Halim Arshat pada pilihan raya umum 1986 dengan majoriti 1,894 undi.

Pada pilihan raya 1990, beliau berpindah ke DUN Kubang Rotan dan memenanginya dengan mengalahkan calon PAS, Phahrolrozi Zawawi dengan majoriti 1,165 undi.

Syed Razak dilantik sebagai anggota Exco kerajaan negeri pada 1992 di bawah pentadbiran Osman dengan memegang portfolio Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan.

Ketika Sanusi dilantik sebagai Menteri Besar, beliau terus diberi kepercayaan memegang portfolio itu sebelum bertukar kepada portfolio Perumahan dan Kerajaan Tempatan sehinggalah pilihan raya umum lepas.

Pada pilihan raya 1995, beliau mempertahankan kerusi DUN Kubang Rotan setelah menewaskan calon PAS Yusof Husin dengan majoriti 3,773 undi.

Sikap peramah dan mengambil tahu perkembangan masayarakat di kawasannya mungkin merupakan antara faktor yang menyebabkan beliau sekali lagi dipilih mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya baru-baru ini.

Beliau seorang sahaja calon Barisan Nasional yang berjaya mempertahankan kerusi DUN dalam kawasan Parlimen Kuala Kedah, apabila menewaskan calon PAS Kassim Mat Isa dengan majoriti 1,985 undi pada pilihan raya umum 29 Nov lepas. PAS memenangi kawasan Parlimen Kuala Kedah dan dua kawasan DUN yang lain, Anak Bukit dan Pengkalan Kundor.

+ Nampaknya YB Mat Sabu boleh tersenyum lebar kerana Syed Razak duduk bawah dia.

Last changed: December 09, 1999