ReformIS

[ Contents | Post ]

Siapa Penyokong Sebenar UMNO?

From:
Date: 09 Dec 1999
Time: 02:57:29

Comments

Siapa Penyokong Sebenar UMNO?

Pilihanraya umum kesepuluh ini mengejutkan UMNO dan kini menyedarkan mereka bahawa mereka bukan lagi parti pilihan orang Melayu. Sokongan yang diraih mereka hanya datang dari mereka yang takutkan perubahan.

Orang Melayu yang masih tegas mengundi UMNO dan Barisan Nasional rata-ratanya terdiri daripada kaum tua yang masih berpegang pada mimpi dan harapan bahawa UMNO penyelamat mereka. Kita tidak boleh salahkan mereka seratus peratus, kerana dalam ingatan mereka masih segar peristiwa-peristiwa yang menggoncang dunia mereka seperti Malayan Union dan Mei 13. Kita hanya boleh bersimpati dengan mereka yang telah diperalatkan emosi mereka oleh BN.

Terdapat juga orang Melayu penakut yang mengundi BN kerana memikirkan punca kehidupan mereka. Kaum ini memang hidup senang dan buncit perut dengan suapan rasuah dan konsesi balak dan galian yang dihadiahkan kepada mereka oleh pemimpin UMNO yang tidak bertanggungjawab. Golongan ini terlalu cintakan dunia mewah yang dibina mereka atas titisan peluh dan darah rakyat marhain dan dirompak mereka tanpa belas kasihan.

Tidak kurang pula golongan bukan Melayu yang juga termakan dengan fitnah, dakyah dan propaganda bahawa tanpa BN dan UMNO, kekacauan dan penggoncangan negara bakal berlaku. Kaum ini ditakutkan dengan imej-imej rusuhan yang kononnya akan direalisasikan Barisan Alternatif sekiranya UMNO/BN kalah.

Kepada golongan ini kami bersimpati kerana setelah ditawarkan peluang untuk membebaskan minda dan jasad daripada belenggu UMNO dan BN, mereka memilih untuk menolaknya dan merasa selesa dengan status quo yang ada.

Dengan meneliti golongan penyokong ini, kita mungkin dapat menilai sejauh manakah relevan UMNO ke masa depan Malaysia.

UMNO kononnya memperjuangkan hak dan kepentingan orang Melayu, tetapi pilihanraya ini membuktikan bahawa undi Melayu telah berpindah kepada Barisan Alternatif, terutamanya PAS dan KeADILan. Kelantan dan Terengganu yang kebanyakan penduduknya orang Melayu telah memilih PAS dan KeADILan.

Akhirnya UMNO mendapat sokongan besar orang bukan Melayu. Di manakah logiknya pula bahawa UMNO kini memperjuangkan hak dan kepentingan orang Melayu sedangkan mereka bukan lagi pilihan orang Melayu?

Mahu tidak mahu, kerana begitu terdesak sehinggakan sanggup menjanjikan langit dan bumi, UMNO terpaksa akur dengan kehendak dan kemahuan pengundi bukan Melayu yang telah memilih mereka. Tidak berbuat demikian bererti UMNO akan hilang sokongan yang diraih selama ini.

Penerimaan PAS di kalangan pengundi Melayu jelas menunjukkan bahawa orang Melayu Islam merasakan UMNO tidak langsung memberi perhatian yang secukupnya kepada kepentingan agama, moral dan prinsip dalam kehidupan mereka. Pada masa yang sama, UMNO tidak mampu untuk menjadi lebih Islamik kerana dengan berbuat demikian, ia akan menaikkan lagi kebimbangan orang bukan Melayu kepada pembentukan negara Islam di Malaysia.

UMNO terpaksalah lebih sekular dan terus dengan programnya yang menawarkan Islam yang hambar dan lemah di samping meningkatkan kemungkarannya melawan Islam PAS. Tetapi dengan berbuat demikian, bagaimanakah mereka dapat menawan hati kaum Melayu yang sudah benci dengan 'keIslaman' UMNO?

Maka tidak hairanlah kita kini mendengar tempikan panik daripada beberapa pemimpin UMNO agar peranan dan masa depan UMNO dikaji semula. Semasa keputusan pilihanraya telah diumumkan, MAHAFIRAUN telah jelas menampakkan kesedihannya kerana telah sedar dirinya ditolak habis-habisan oleh dunia Melayu.

UMNO sudah menjadi parti bukan Melayu. UMNO sudah ketandusan sifat Melayu dan ia sanggup menggadaikan orang Melayu itu sendiri untuk memastikan kesinambungannya. Melayu dalam UMNO sudah tinggal namanya sahaja.

Sifatnya yang tersepit dan terdesak inilah yang cukup membahayakan bagi rakyat Malaysia. Di sinilah akan lahir potensi untuk UMNO mempermainkan isu-isu perkauman dan perjuangan yang bersifat taksub. Kerana hanya dengan cara demikian sahaja dapat UMNO terus hidup untuk melayan pemimpinnya.

UMNO yang telah tumpah darah dan titik peluh para pengasasnya kini sudah diracun dan dilemahkan oleh pemimpinnya sekarang, MAHAFIRAUN. Selama 50 tahun tokoh-tokoh seperti Dato Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn menabur jasanya untuk UMNO. Kesemua itu dihancurkan dalam sekelip mata oleh MAHAFIRAUN.

UMNO tidak lagi menjadi parti yang setia kepada perjuangannya, tetapi menjadi parti yang hanya disokong oleh bukan Melayu. Itupun disokong atas asas takut akan ancaman yang direka-rekanya sendiri.

Last changed: December 09, 1999