From:
Date: 09 Dec 1999
Time: 02:41:09
Perancangan Lebih Sistematik Untuk Menang
BA tewas di Kuala Selangor, Kerusi Parlimen tewas dengan majoriti 9920 (1995: 23460), DUN Permatang tewas dengan majoriti 2956 (1997: 7780), DUN Jeram dengan 2951 (1995:8008) dan Dun Ijuk dengan majoriti 3166 (1995: 6797).
Sememangnya di atas kertas, BA tewas tapi hakikatnya kita boleh lihat sendiri berapa peratusan majoriti mereka telah merosot. Secara tidak langsung ini semua menunjukkan kepopularitian Umno/BN di K.Selangor telah jauh merosot.
Walaupun ianya diwakili oleh ketua eksekutif peringkat negeri sendiri. Persoalannya sekarang apakah kita sudah cukup untuk berlapang dada dengan perubahan yang tak sudah ini? Apakah hala tuju dan gerakan kita selanjutnya? Apakah program kita seterusnya untuk menawan Kuala Selangor , negeri dan seterusnya Malaysia?
Pembangkang di Kuala Selangor sememangnya tidak seutuh mana di masa lampau, perubahan peringkat nasional mengajak sama penduduk K.Selangor beralih angin. Justeru itu, kita tidak perlu lagi berpeluk tubuh menunggu tempoh 4 -5 tahun akan datang.
Kemasukan beramai-ramai ahli Umno dan yang tidak berparti ke dalam PAS, seolah-olah mimpi di sianghari. Tapi itulah kenyataan yang berlaku. Dan ini perlu diakui oleh semua pihak, samada dari pihak parti pemerintah maupun parti PAS sendiri.. Kami di K.Selangor sendiri merasakan angin perubahan ini, dari 9 - 10 cawangan bertambah menjadi lebih 30 buah cawangan. Menakjubkan..!
Bagaimanapun, bolehkah kita menang pilihanraya jika hanya punyai banyak cawangan tapi kurang bergerak, samada dari segi program ataupun tenaga kerja. Sedangkan kawasan yang cukup giat bergerakpun, kemenangan sepertikan mustahil untuk diperolehi. Pimpinan PAS peringkat kawasan K.Selangor perlu meneliti dengan lebih mendalam perkara ini.
Menyalahkan ahli semata-mata tidak akan menyelesaikan segala yang kusut. Kita perlu akur dengan keadaan di mana ahli PAS sekarang bukan lagi berfikiran seperti 5 - 6 tahun dahulu. Kami tidak perlukan pangkat dan jawatan, kami juga tidak hiraukan sangat protokol yang dimomok-momokkan.
Yang kami tahu , niat kami ikhlas menyertai PAS kerana Allah Taala dan ingin berjuang di dalam parti untuk kemenangan Islam dan menolak kezaliman. Kerana itu, kepada semua ahli PAS di K. Selangor fikirkan saranan kami di bawah ini:
Pimpinan peringkat kawasan PERLU berubah wajah, kalau tidakpun MESTI berubah cara dan pendekatan.
Jangan terlalu mudah berprasangka kepada ahli jamaah sendiri. Orang mengatakan politik itu kotor, tapi janganlah ditunjukkan kepada kami yang masih baru ini (di dalam PAS) politik PAS juga begitu.
Setiap cawangan perlu ada agenda masing-masing bagi mengukuhkan pergerakan. Peringkat kawasan haruslah memberi bimbingan dan galakan bukannya bersikap dingin kerana bimbangkan populariti berkurangan.
Pimpinan kawasan perlulah turun padang lebih kerap terutamanya semasa minggu berkempen, jenguk-jenguklah muka berikan semangat kepada anak buah yang bertungkus lumus buat kerja. Kami tak diupah sesenpun, malah semuanya dengan ikhlas bersertakan semangat untuk menang. Kehadiran ketua di saat-saat begitu sangat-sangat diharapkan.
Kita di K.Selangor bukannya menentang calon biasa, tapi menteri besar yang punya banyak pengaruh dan kekuatan. Cubalah bayangkan kami di sini, seolah-olah peringkat cawangan menentang peringkat bahagian malah boleh dikatakan peringkat negeri (pengerusi BN negeri). Kami dianggap seolah-olah penyalur utama senjata-senjata kempen, berapa banyak cawangan lain yang datang untuk meminta itu dan ini untuk dinaikkan di tempat mereka. Kami yang masih setahun jagung dalam politik ini, merasakan ini salah satu kelemahan ketara yang mahu tidak mahu perlu diperbetulkan jika benar kita mahu menang.
Program mendekati bukan Melayu perlulah dijalankan dengan lebih bersistematik, kerana merekalah yang menjadi penentu kemenangan calon kita. Janganlah bila ditanya soal ini, masing-masing berdiam diri dan hanya berserah semata-mata.
Program penambahan ahli baru perlulah diteruskan, kerana sifirnya begitu mudah 2 lebih dari 1 dan 20 tentunya lebih baik dari 10. Begitu juga dengan pendaftaran pengundi yang dijalankan setiap tahun. Hanya yang perlu dicari sekarang kaedah bagaimana yang perlu kita susun untuk menuju ke arah itu.
Ini adalah di antara puluhan perkara yang ingin kami sampaikan buat tatapan semua khususnya ahli PAS kawasan Kuala Selangor. Semoga ianya menjadi panduan dan sempadan untuk kita semua, biarpun ianya agak pahit. Tapi itulah yang semestinya, kalau tak dipecahkan ruyungnya mana nak dapat sagunya. Diharap teguran ikhlas ini boleh menyumbang walaupun sedikit ke arah kemenangan BA di masa hadapan.
Terima Kasih.
ANTU UMNO