ReformIS

[ Contents | Post ]

Israel: Syed Hamid dipertikai 'Ein Azmi

From:
Date: 08 Dec 1999
Time: 21:18:10

Comments

Israel: Syed Hamid dipertikai 'Ein Azmi

[dipetik dari http://www.malaysiakini.com/ ]

8pm, RABU: Parti-parti pembangkang hari ini mempertikaikan kenyataan Malaysia yang menafikan laporan sebuah majalah antarabangsa yang menyebutkan wujudnya satu usaha merapatkan hubungan antara negara ini dengan Israel.

Majalah itu memetik kenyataan Presiden Indonesia Abdurrahman Wahid, atau dikenali dengan Gus Dur, yang mendedahkan hasrat Perdana Menteri Malaysia Dr. Mahathir Mohamad untuk meminta beliau "menjadi orang tengah" bagi pihak negara ini.

Parti Islam SeMalaysia yakin Malaysia memang serius ingin mengadakan hubungan dengan Israel. PAS tidak menolak kenyataan Gus Dur seperti dilaporkan oleh sebuah majalah antarabangsa, Far Eastern Economic Review.

Gus Dur, dalam kenyataan itu, menjelaskan bahawa Perdana Menteri pernah "meminta beliau bertindak sebagai orang tengah bagi merapatkan hubungan dengan Israel" ketika lawatan presiden Indonesia itu ke negara ini baru-baru ini.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Mahfuz Omar, menjelaskan bahawa sudah terlalu banyak bukti hubungan sulit antara Malaysia dengan Israel.

"Walaupun tiada hubungan rasmi, tetapi sejak akhir-akhir ini hubungan itu semakin erat," jelas Mahfuz kepada Malaysiakini, sambil menyebutkan beberapa isu seperti pertemuan menteri luar kedua-dua negara beberapa bulan lalu.

"Sekiranya dakwaan Gus Dur itu tidak benar, Dr Mahathir boleh mengambil tindakan tegas terhadap kenyataan presiden Indonesia."

Bagaimanapun, Parti Rakyat Malaysia menganggap kenyataan Gus Dur itu tidak mempunyai kesan besar kepada negara ini.

"Indonesia memang mempunyai hubungan dengan Israel. Oleh itu, kenyataan presidennya itu tidaklah boleh ditafsirkan berniat jahat terhadap Malaysia atau Perdana Menteri," jelas Rustam A. Sani, Naib Presiden PRM.

Sebaliknya beliau bimbang cara Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar mengendalikan hal-ehwal diplomatik dalam isu ini.

Semalam, Syed Hamid menafikan sekeras-kerasnya laporan majalah antarabangsa tersebut dan mengulangi kenyataan bahawa "pendirian Malaysia terhadap Israel tetap tegas."

Wisma Putra memanggil kuasausaha Indonesia di Kuala Lumpur bagi menyatakan kekesalan negara ini dan Duta Malaysia di negara itu turut digesa membantah kenyataan tersebut bagi pihak Malaysia.

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Keadilan Nasional, Saifuddin Nasution Ismail, tidak yakin penafian Syed Hamid.

"Sudah beberapa kali kenyataan Syed Hamid bercanggah dan salah. Baru-baru ini, beliau menafikan laporan pertemuan beliau dengan rakan sejawatnya dari Israel tetapi rupa-rupanya pertemuan itu memang wujud," jelasnya. Saifuddin sebaliknya mendesak Perdana Menteri sendiri menafikan kenyataan Gus Dur itu.

Isu hubungan Malaysia-Israel semakin hangat diperkatakan menjelang pilihanraya umum lalu. Sejak terdedahnya laporan terdapat pertemuan sulit antara menteri-menteri luar dua negara itu, parti-parti pembangkang menggunakan isu itu dalam kempen mereka.

Beberapa hari sebelum hari pengundian, Perdana Menteri pernah menafikan beliau menulis surat rasmi kepada rakan sejawatnya, Ehud Barak.

(terjemahan berita dari teks asal Far Eastern Economic Review)

Hong Kong, 1 Disember, 1999 – Presiden Indonesia Abdurrahman Wahid sudah mendapat jaminan dari Jordan, Qatar dan Kuwait bahawa negara-negara itu akan menganggap Aceh, sebuah daerah yang berjuang mendapatkan kemerdekaan, sebahagian daripada Indonesia, lapor Far Eastern Economic Review bertarikh 9 Disember.

Qatar bercadang mengemukakan satu resolusi mengiktiraf Aceh sebahagian wilayah Indonesia dalam satu mesyuarat Persidangan Islam Antarabangsa (OIC) pada tahun depan.

Abdurrahman juga menyatakan Malaysia meminta Indonesia menjadi orang tengah dengan negara Israel. Malaysia dan Indonesia, dua buah negara yang berpenduduk Islam, tidak mempunyai sebarang hubungan diplomasi dengan Israel, tetapi Wahid menjelaskan bahawa beliau berminat menjalin hubungan dagang dengan negara Yahudi itu. Beliau memberitahu wartawan-wartawan yang mengiringi beliau ke Timur Tengah bahawa Perdana Menteri Mahathir Mohamad telah pun meminta beliau merapatkan hubungan antara Malaysia dengan Israel. "Mereka [Malaysia] tahu kami merupakan rakan Israel," jelas Abdurrahman lagi.

Last changed: December 08, 1999