ReformIS

[ Contents | Post ]

LIM PERTAHANKAN DIRI TERHADAP GESAAN LETAK JAWATAN

From:
Date: 08 Dec 1999
Time: 02:00:03

Comments

LIM PERTAHANKAN DIRI TERHADAP GESAAN LETAK JAWATAN

Pengerusi DAP Lim Kit Siang mempertahankan dirinya terhadap gesaan agar beliau meletakkan jawatan dan parti itu meneliti semula peranannya dalam pakatan pembangkang.

Timbalan Pengerusi DAP Perak Fan Yew Teng adalah antara yang terbaru menggesa Lim dan timbalan pengerusi parti itu Karpal Singh untuk meletakkan jawatan masing-masing berikutan prestasi buruk parti itu pada pilihan raya umum 29 Nov lepas.

Lim, yang bertanding dan tewas bagi kerusi Parlimen Bukit Bendera dan kerusi negeri Kebun Bunga berkata, beliau tidak akan memegang sebarang jawatan parti jika kepimpinan atau anggota-anggota DAP bersetuju dengan Fan.

"Saya yakin bahawa Karpal akan mengambil pendirian yang sama," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

DAP, PAS, Keadilan dan PRM menjalin pakatan yang digelar Barisan alternatif bagi menghadapi pilihan raya umum ke-10.

Lim berkata, selagi keputusan DAP untuk bekerjasama dengan PAS dalam pakatan pembangkang belum diputuskan sebagai salah dan tamparan politik, maka bukan masanya untuk berbalah.

Beliau mengaku terdapat tekanan dari dalam dan luar DAP untuk memutuskan kerjasama dengan PAS.

Di sebalik kekalahan DAP pada pilihan raya umum baru-baru ini, beliau berkata keputusan parti itu untuk bekerjasama dengan PAS adalah "betul, wajar, mulia dan murni."

"DAP mengambil risiko politik yang besar dengan memasuki pakatan itu," katanya.

Lim, yang meletakkan jawatan sebagai setiausaha agung DAP selepas pilihan raya umum, kemudiannya telah dilantik sebagai pengerusi parti, mengambil alih jawatan itu daripada Dr Chen Man Hin.

Last changed: December 08, 1999