ReformIS

[ Contents | Post ]

Kerajaan PAS Terengganu akan runding dengan kerajaan pusat.

From:
Date: 08 Dec 1999
Time: 01:52:55

Comments

Kerajaan PAS Terengganu akan mengadakan perbincangan terlebih dahulu dengan kerajaan pusat sebelum melaksanakan cadangan mengenakan kharaj terhadap orang bukan Islam di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah Harun Taib berkata perbincangan itu perlu agar tidak ada pertindihan antara kharaj dengan cukai pendapatan yang dikenakan oleh kerajaan pusat.

"Kita akan buat enakmen mengenainya dan ia akan dibawa kepada kerajaan pusat supaya kharaj dikecualikan daripada cukai pendapatan seperti yang dilaksanakan bagi bayaran zakat oleh umat Islam," katanya di Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (Kusza) di sini.

Beliau berkata masalah yang timbul sekarang ialah masyarakat belum memahami tentang konsep kharaj yang masih di peringkat perancangan dan kajian oleh kerajaan negeri.

Harun berkata kharaj terbahagi kepada dua iaitu Kharaj Wazifah yang merupakan pungutan yang dikenakan mengikut kesuburan dan kesesuaian tanah walaupun tanpa hasilnya, dan Kharaj Muqasamah atau pungutan yang dikenakan terhadap setiap kegiatan ekonomi yang sudah mengeluarkan hasil.

"Kesemua pungutan yang dibuat itu akan digunakan untuk kebajikan orang bukan Islam juga, sebagaimana pungutan zakat digunakan bagi manfaat masyarakat Islam sendiri," katanya.

Harun berkata apabila sudah ada kerjasama dengan kerajaan pusat, masyarakat bukan Islam mempunyai pilihan sama ada ingin membayar cukai pendapatan seperti yang ada sekarang atau membayar kharaj yang dikenakan antara lima dan 10 peratus daripada hasil kegiatan ekonomi mereka.

Beliau berkata apabila cadangan kharaj itu diluluskan sebagai enakmen, satu badan yang menguruskannya akan dibentuk untuk memastikan urusan pungutan dan pentadbirannya akan berjalan lancar.

Ketika ditanya sama ada sistem itu dilaksanakan di Kelantan yang juga di bawah kerajaan PAS, beliau berkata: "Keadaan di Kelantan berbeza dengan di Terengganu kerana kegiatan ekonominya tidak sama.

"Di sini (Terengganu) kerajaan mempunyai keupayaan untuk menghapuskan cukai kerana sumber ekonomi negeri terutama daripada kegiatan berlandaskan petroleum dan gas memberi keuntungan kepada kerajaan dan ia akan diagihkan kepada rakyat melalui penghapusan cukai berkenaan," katanya.

Apabila ditanya mengenai kenyataan DAP untuk menyaman kerajaan PAS Terengganu sekiranya melaksanakan kharaj, Harun berkata: "Kita pun ada pakar perundangan sendiri, mereka (DAP) juga ada menyatakan untuk menyaman jika kita laksana undang-undang hudud dan enakmen mengenai hukum murtad.

"Islam sudah ada peruntukan untuk masyarakat bukan Islam dalam pelbagai bidang... apabila tiba masanya untuk kita laksanakan kharaj ini, kita akan beri penerangan kepada semua masyarakat terutama yang bukan Islam."

Katanya DAP sendiri akan diberi penerangan mengenai sistem itu.

"Ini baru perancangan dan kajian mengenainya masih lagi dijalankan... tunggulah apabila ia akan dilaksanakan baru kita beri penerangan," katanya.

Last changed: December 08, 1999