ReformIS

[ Contents | Post ]

PAS AKAN DIPERJELAS DASAR KEPADA BUKAN

From:
Date: 06 Dec 1999
Time: 21:11:43

Comments

PAS AKAN DIPERJELAS DASAR KEPADA BUKAN ISLAM

Masyarakat bukan Islam di Kelantan akan diberi penjelasan mengenai dasar-dasar kerajaan negeri berkaitan sistem pentadbiran yang berteraskan Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Masyarakat, Hubungan Antara Kaum, Kesihatan dan Alam Sekitar, Anuar Tan Abdullah berkata satu jawatankuasa kecil akan dibentuk melibatkan semua kaum untuk menjalankan tugas itu.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri yang dipengerusikan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di sini, hari ini.

Anuar dilantik sebagai Exco kerajaan negeri selepas Pas mengekalkan kuasa di negeri ini pada pilihan raya umum lepas. Sebelum ini jawatan itu dipegang oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemuning, Hassan Muhammad.

Pada mesyuarat itu Menteri Besar juga telah mengesahkan portfolio Exco-exco yang dilantik baru-baru ini, katanya.

Nik Abdul Aziz mempengerusikan Jawatankuasa Tanah, Perhutanan dan Sumber Asli; Timbalan Menteri Besar, Abdul Halim Abdul Rahman (Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Sumber Manusia); Mohamed Daud (Penerangan, Dakwah, Belia dan Hal Ehwal Wanita).

Omar Mohammad mempengerusikan Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Luar Bandar dan Industri Desa; Ahmad Yakub (Kerajaan Tempatan, Perumahan, Sains dan Teknologi); Abdullah Ya'kub (Kerja Raya, Kemudahan Awam, Kebudayaan dan Pelancongan).

Hassan Muhammad (Pembangunan Islam, Pendidikan dan Sukan) dan dua muka baru iaitu Takiyuddin Hassan (Peracangan, Kewangan dan Pentadbiran Awam); dan Anuar Tan (Pembangunan Masyarakat, Hubungan Antara Kaum, Kesihatan dan Alam Sekitar).

Last changed: December 06, 1999