ReformIS

[ Contents | Post ]

Terengganu kuatkan Baitulmal

From:
Date: 04 Dec 1999
Time: 10:26:28

Comments

Kerajaan Pas Terengganu akan mewajibkan kutipan zakat terhadap semua individu yang beragama Islam dan kegiatan ekonomi serta mengenakan `kharaj' (cukai) terhadap individu yang bukan beragama Islam.

Menteri Besar, Haji Abdul Hadi Awang berkata kerajaan negeri akan merangka undang-undang berhubung perkara itu secepat mungkin yang akan dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri untuk kelulusan.

"Satu Jawatankuasa khas telah ditubuhkan untuk mengkaji dasar berkenaan dan dasar-dasar lain yang berkait dengan pentadbiran Islam di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis kesyukuran di Masjid Pulau Rusa di sini, hari ini.

Beliau berkata jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah, Haji Harun Taib akan membuat kajian terperinci berhubung perkara itu untuk membolehkan undang-undang berkenaan dirangka.

Abdul Hadi berkata kerajaan Terengganu juga akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri Kelantan tidak lama lagi untuk melaksanakan dasar itu di kedua-dua negeri.

Beliau berkata kutipan zakat itu juga akan melibatkan kegiatan ekonomi termasuk pertanian, perlombongan, industri dan perniagaan manakala mereka yang bukan Islam pula dimestikan membayar kharaj.

Ketika diminta menerangkan lebih lanjut mengenai kutipan cukai terhadap bukan Islam, Hadi berkata kandungan terperinci mengenai dasar itu akan diumumkan sebaik sahaja kajian mengenainya selesai.

Beliau berkata banyak pihak mengkritik kerajaan negeri kerana menghapuskan bayaran tol di Jambatan Sultan Mahmud dan cadangan menghapuskan cukai pintu rumah kediaman di Terengganu, kerana mereka membayangkan kedua-dua tindakan itu menyebabkan kerajaan negeri kerugian berjuta ringgit.

Beliau berkata kerajaan Pas Terengganu mempunyai banyak pilihan untuk mengatasi kerugian itu serta menambah hasil kerajaan negeri termasuk mengenakan kutipan zakat dan kharaj di negeri ini.

"Kita mempunyai banyak sumber hasil termasuk zakat dan royalti (minyak) serta dari kegiatan ekonomi lain," katanya.

Last changed: December 04, 1999