ReformIS

[ Contents | Post ]

Rakyat Kedah Akan Kuburkan BN

From:
Date: 01 Dec 1999
Time: 03:41:52

Comments

Rakyat Kedah Akan Kuburkan BN

KENYATAAN MEDIA

Bagi pihak calon-calon yang bertanding di Kawasan Parlimen Kuala Kedah, iaitu Presiden PAS Ustaz Fadzil Noor yang memenangi kerusi DUN Anak Bukit, Fakhrurrazi Zawawi yang memenangi kerusi DUN Pengkalan Kundur dan Ustaz Kassim Mina yang bertanding bagi kerusi DUN Kubang Rotan, saya mengucapkan kesyukuran tidak terhingga ke hadhrat Allah s.w.t. dan terima kasih tanpa penghujung kepada para pengundi di Kawasan Kuala Kedah yang begitu berani mencipta perubahan ke arah yang lebih baik dalam kehidupan politik mereka.

Kemenangan saya bagi kerusi Parlimen dan calon-calon lain tidak akan menjadi kenyataan tanpa sokongan dan dukungan dari para pemimpin, petugas dan ahli-ahli PAS dan Barisan Alternatif di Kawasan Parlimen Kuala Kedah, pengendali-pengendali laman web, para pemimpin, petugas dan ahli-ahli Barisan Nasional terutama dari Umno dan Gerakan yang bersusah-payah membantu kemenangan calon-calon PAS dan terutamanya rakyat Kuala Kedah yang bertindak menentang penindasan dan kezaliman Barisan Nasional. Saya berdoa semoga Allah membalas jasa mereka dengan kurniaan rahmat dan kebaikan yang melimpah-limpah.

Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada rakyat di Kubang Kerian yang telah memberikan kerjasama yang amat sukar dilupakan selama saya memberikan perkhidmatan di kawasan itu. Insya' Allah, saya akan meneruskan khidmat saya sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan Kubang Kerian selagi khidmat saya diperlukan.

Sesungguhnya kejayaan PAS menguasai 8 kerusi Parlimen dan 12 kerusi DUN di Kedah adalah permulaan kepada berakhirnya (beginning of the end) cengkaman dan penindasan Barisan Nasional di negeri ini. Dengan pertolongan Allah s.w.t., kesungguhan PAS dan Barisan Alternatif memperjuangkan keadilan dan kebenaran serta kesedaran dan keinsafan yang pastinya akan semakin menebal di kalangan rakyat Kedah, Barisan Nasional akan dikuburkan di negeri ini dalam pilihanraya yang ke-11 kelak.

Saya juga berharap semua pihak yang membantu kemenangan PAS dan Barisan Alternatif, sama ada di Kuala Kedah dan di seluruh negara hendaklah menginsafi bahawa kemenangan kita adalah 95 peratus berpunca dari pertolongan Allah s.w.t. dan hanya hanya lima peratus dari gerak kerja kita. Insya' Allah dengan semangat tauhid, jihad dan syahid, akan semakin melimpah-limpah pertolongan Allah s.w.t. kepada kita dan akhirnya kita akan dapat memerdekakan negara tercinta ini dari cengkaman dan penindasan Barisan Nasional.

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

HAJI MOHAMAD SABU Ahli Parlimen Kuala Kedah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat

Last changed: December 01, 1999