ReformIS

[ Contents | Post ]

Us Fadzil Noor berjaya hadapi risiko.

From:
Date: 01 Dec 1999
Time: 02:03:47

Comments

Pada mulanya ramai beranggapan percaturan politik Presiden PAS Datuk Fadzil Noor di Kedah sebagai berisiko tinggi pada pilihan raya umum ke-10.

Ini kerana beliau sanggup meninggalkan kerusi empuknya di Dewan Undangan Negeri Bukit Raya yang didudukinya selama empat penggal berturut-turut sejak 1982 untuk bertanding di DUN Anak Bukit menentang penyandang kerusi itu Exco kerajaan Kedah, Datuk Abdullah Hasnan kali ini.

Satu lagi risiko yang Fadzil ambil ialah bertanding di Parlimen Pendang menentang Setiausaha Parlimen Jabatan Perdana Menteri Datuk Othman Abdul yang pernah menewaskannya di kawasan itu pada pilihan raya 1990.

Ada yang meramalkan selepas pengumuman pilihan raya kali ini Fadzil akan menjadi presiden sebuah parti tanpa apa-apa kerusi.

Bagaimanapun, anggapan itu meleset sama sekali kerana Fadzil dapat menawan kedua-dua kerusi iaitu DUN Anak Bukit dan Parlimen Pendang.

PAS bukan sahaja dapat mengekalkan dua kerusinya iaitu DUN Bukit Raya dan DUN Sala malah dapat memperluaskan empayarnya di Kedah.

Ini kerana keseluruhannya PAS memenangi 12 kerusi DUN daripada 36 kerusi dan lapan kerusi Parlimen daripada 15 kerusi di negeri ini.

Selain DUN Bukit Raya, Sala dan Anak Bukit, kawasan DUN yang dimenangi lain ialah Ayer Hitam, Kuala Nerang, Pedu, Bukit Lada, Langgar, Pengkalan Kundor, Belantek, Jeneri dan Kupang.

Kawasan Parlimen yang ditawannya selain Pendang ialah Jerlun, Padang Terap, Pokok Sena, Kuala Kedah, Yan, Sik, Baling.

Percaturan politik yang dibuat oleh Fadzil dengan meninggalkan kerusi empuknya di DUN Bukit Raya untuk ke Anak Bukit menunjukkan terbuktinya pengorbanan beliau kepada parti, kata seorang pemerhati politik.

"Ini menunjukkan beliau tidak mahu duduk selesa di kawasan yang selamat sahaja. Beliau lebih rela menyerahkan kawasan yang dijamin selamat kepada orang lain dalam parti dan beliau mengambil risiko bertanding di kawasan lain," Fadzil sudah tentu membuat percaturan politik sebelum memilih Anak ukit.

Beliau meletakkan sasarannya di Anak Bukit mungkin menyedari Abdullah hanya menang tipis dengan majoriti 586 undi di kawasan itu pada pilihan raya 1995.

Kejayaan menawan Parlimen Pendang melibatkan satu pecaturan yang sukar kerana pada pilihan raya 1990, Othman menewaskannya dengan majoriti 3,205 undi.

Fadzil mungkin nampak peluangnya cerah kali ini kerana kemerosoton majoriti Othman pada pilihan raya 1995 apabila menewaskan calon PAS, Haji Taulan Rasul dengan majoriti 1,961 undi sahaja.

Pada 1995, Fadzil bertanding di Parlimen Kuala Kedah dan tewas kepada calon BN Datuk Zakaria Said dengan majoriti 2,986 undi.

Oleh itu, ini merupakan kali pertama beliau akan ke Parlimen sebagai wakil rakyat setelah menunggu selama sembilan tahun.

Pemerhati politik itu berpendapat antara faktor yang menyumbang kepada kejayaan PAS di Kedah kali ini ialah sokongan yang terus meningkat, cara Fadzil Noor berkempen yang lebih banyak menjelaskan sesuatu isu daripada menghentam, masalah dalaman Umno dan kesukaran segelintir rakyat menerima corak pemerintahan Kerajaan Negeri.

"Saya harap kejayaan PAS ini dapat dijadikan iktibar oleh kerajaan BN Kedah bahawa rakyat mahukan perubahan," kata Fadzil.

Last changed: December 01, 1999