ReformIS

[ Contents | Post ]

BA tunai janji buat kejutan di Perak.

From:
Date: 01 Dec 1999
Time: 01:58:01

Comments

Janji parti-parti BA untuk membuat kejutan di Perak pada pilihan raya kali ini dipenuhi, walaupun tidak seperti yang diharapkan, apabila berjaya merampas tiga kerusi Parlimen dan lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding hanya satu kerusi DUN pada pilihan raya umum 1995.

PAS menjadi tumpuan kali ini bukan sahaja kerana ia berjaya mendapat dua kerusi Parlimen tetapi berjaya menumbangkan seorang Menteri Kabinetiaitu Datuk Seri Megat Junid Megat Ayob dan seorang anggota Exco negeri Datuk Mohd Zaim Abu Hassan.

"Kita memang jangka dapat merampas kerusi di Parit walaupun pada mulanya PAS mempunyai masalah berkaitan pemilihan calon," kata pesuruhjayaPAS negeri Sabran Asmawi.

Beliau berkata calon yang berjaya menumbangkan Megat Junid iaitu pesuruhjaya PAS Bahagian Parit, Mat Basir Rahmat dipilih di saat akhir apabila anggota PAS di kawasan itu berkeras mahukan calon tempatan.

"Nampaknya persetujuan yang kita capai mengenai calon membuahkan hasil yang baik kerana semua ahli PAS berpuashati dan sanggup bekerja keras untuk memastikan kemenangan," katanya.

Pembangkang menyapu bersih kerusi di Parit apabila Mat Basir menewaskan Megat Junid dengan majoriti 1,293 undi untuk kerusi Parlimen Parit manakalaDr Faizol Fazli yang juga dari PAS memenangi kerusi DUN Belanja apabila menewaskan Mohd Zaim dengan majoriti kecil iaitu 119 undi.

Satu lagi kerusi DUN di Parit iaitu Bota dimenangi calon Keadilan Kapt (B) Usaili Alias yang menewaskan calon BN Ismail Hasbolah dengan majoriti 631 undi.

Bagi kerusi Parlimen Parit Buntar, calon harapan PAS Datuk Dr Hassan Mohd Ali membuktikan keunggulan beliau apabila menewaskan calon BN Datuk Abdul Rahman Suliman dengan majoriti 2,094 undi manakala Ahmad Azhar Sharin (PAS) pula menewaskan Abd Latif Mat Ali (BN) di kerusi DUN Titi Serong.

Sabran turut memenangi kerusi DUN yang ditandinginya di Gunong Semanggol apabila menewaskan calon Barisan Nasional, Saikidol Mohammad Noordengan majoriti 743 undi.

"Ini membuktikan PAS semakin diterima dan kini tumpuan kita adalah untuk berkhidmat kepada masyarakat," kata Sabran.

Beliau berkata kerusi Parlimen Parit Buntar (dulu dikenali sebagai Krian) dan Parit masing-masing pernah dimenangi PAS pada tahun 1969 dan 1955 manakala DUN Gunong Semanggol pernah dimenangi parti itu pada tahun 1959.

Last changed: December 01, 1999