ReformIS

[ Contents | Post ]

PEMBANGKANG ANGGAP RAKYAT MAHUKAN PERUBAHAN

From:
Date: 30 Nov 1999
Time: 22:17:26

Comments

PEMBANGKANG ANGGAP RAKYAT MAHUKAN PERUBAHAN

DAP negeri Melaka menganggap kejayaannya menambah satu lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) selain mengekalkan tiga kerusi negeri dan satu parlimen sebagai tanda rakyat mahukan angin perubahan.

Pengerusi DAP negeri, Sim Tong Him berkata kejayaan DAP menawan DUN Bachang menunjukkan pengundi di kawasan itu tidak lagi mahukan kepimpinan Barisan Nasional (BN).

Sim yang mempertahankan kerusi DUN Bandar Hilir menewaskan calon BN, Ng Peng Ann dengan kelebihan 2,064 undi, iaitu peningkatan sebanyak 548 undi berbanding pilihan raya umum lepas.

Setiausaha pengelola DAP Pusat, Kerk Kim Hock yang menang menewaskan calon muka baru BN, Lim Swee Kiang di kerusi parlimen Kota Melaka berkata kemenangan DAP mempertahankan kerusi itu menunjukkan para pengundi masih memberikan kepercayaan kepada parti berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri, Mujahid Yusof berkata walaupun partinya gagal memperolehi kerusi negeri dan parlimen pada pilihan raya umum kali ini, tetapi pengundi di negeri ini mula menerima Pas.

Beliau berkata perbezaan majoriti yang tidak terlalu jauh menandakan Pas mampu bertapak di negeri ini.

"Mungkin golongan lama menerima Pas. Bagaimanapun penerimaan daripada golongan muda menampakkan satu tanda permulaan yang menggalakkan," katanya.

Mujahid yang melahirkan rasa kecewanya kerana Pas gagal meraih sebarang kerusi di negeri ini berkata "jika DAP boleh menambah kerusi mereka, tidak mustahil jika Pas juga mampu berbuat demikian pada pilihan raya akan datang," katanya.

Beliau tewas kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Abu Zahar Isnin di di Jasin pada pilihan raya umum kali ini dengan majoriti 10,685 undi, kurang 11,443 undi berbanding pilihan raya umum lepas, yang dimenangi oleh Tun Abdul Ghafar Baba.

Sementara itu, Ketua Perhubungan Parti Keadilan Nasional (Keadilan) Negeri, Omar Jaafar berkata Keadilan negeri akan mengadakan mesyuarat malam ini bagi membuat analisa terhadap kekalahan calon-calon parti berkenaan pada pilihan raya umum kali ini.

"Laporan itu akan diserahkan kepada Keadilan Pusat dan sebarang kenyataan akan diumumkan oleh pihak pusat...kita di negeri ini tidak boleh membuat sebarang kenyataan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Omar yang bertanding di kerusi kawasan DUN Ayer Panas tewas kepada calon BN, Chong Tam Onn dengan majoriti sebanyak 1,888 undi.

Last changed: November 30, 1999