ReformIS

[ Contents | Post ]

4 exco, I menteri & I s/u parlimen BN Kedah dipancung.

From:
Date: 29 Nov 1999
Time: 23:13:13

Comments

Barisan Nasional (BN) Kedah kehilangan empat anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri, seorang menteri kabinet dan seorang setiausaha parlimen apabila masing-masing tewas kepada calon pembangkang dalam pilihan raya ke-10.

Mereka termasuk Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Industri Datuk Abdullah Hasnan Kamaruddin yang tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Anak Bukit kepada Presiden PAS Datuk Fadzil Noor dengan majoriti 1,840 undi.

Abdullah Hasnan memperolehi 6,640 undi manakala Fadzil mendapat 8,480 undi.

Di DUN Ayer Hitam, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Sukan dan Rekreasi Abdul Rahman Ariffin meraih 8,414 undi untuk tewas dengan majoriti tipis 144 undi kepada calon PAS Abdul Ghani.

Nasib yang sama dialami oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Penerangan Datuk Ghazali Ibrahim di DUN Pedu dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Makanan dan Gejala Sosial Ahmad Lebai Sudin di DUN Bukit Lada.

Ghazali memperolehi 5,395 undi berbanding calon PAS Wan Jaafar Wan Ahmad sejumlah 5,841 undi manakala Ahmad tewas dengan majoriti 852 undi ke atas calon PAS Sheikh Ismail Kamis yang memperolehi 9,368 undi.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paduka Abdul Hamid Othman gagal mempertahankan kerusi Parlimen Sik apabila tewas kepada calon PAS yang juga Sasterawan Negara Prof Datuk Shahnon Ahmad.

Abdul Hamid memperolehi 13,026 undi manakala Shahnon mendapat 13,504, untuk menjadikan majoriti 478 undi.

Setiausaha Parlimen Jabatan Perdana Menteri Datuk Othman Abdul yang memperolehi 19,474 undi terpaksa akur dengan kehebatan Fadzil di Parlimen Pendang apabila tewas ditangan presiden PAS itu dengan majoriti 2,934 undi.

Last changed: November 29, 1999