ReformIS

[ Contents | Post ]

TG Hj Abdul Hadi Awang jadi MB Terengganu.

From:
Date: 29 Nov 1999
Time: 22:52:36

Comments

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Haji Abdul Hadi Awang hari ini dinamakan sebagai Menteri Besar berikutan kemenangan parti itu pada pilihan raya umum ke-10 semalam.

Setiausaha perhubungan PAS Negeri, Haji Mustafa Ali memberitahu persidangan berita di sini bahawa pelantikan Abdul Hadi dipersetujui presiden PAS Datuk Haji Fadzil Noor.

Majlis angkat sumpah Menteri Besar dan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di bawah pimpinan PAS akan diadakan esok atau selewat-lewatnya Khamis ini.

"Saya dimaklumkan oleh pihak istana bahawa majlis itu tidak dapat diadakan hari ini oleh kerana ketua istiadat telah memaklumkan bahawa Tuanku Sultan mahukan istiadat ini diadakan dalam bentuk yang bersejarah," katanya.

Bagaimanapun, kata Mustafa tarikh sebenar istiadat itu akan diperkenan baginda Sultan.

PAS memenangi 28 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum semalam.

Abdul Hadi yang juga timbalan presiden PAS berjaya mempertahankan kerusi DUN Ru Rendang dan Parlimen Marang.

Bagi kerusi DUN Ru Rendang, beliau memperolehi 7,881 undi mengalahkan calon BN, Tengku Zainuddin Tengku Zahid yang mendapat 4,038 undi. Di peringkat Parlimen beliau memperolehi 30,183 undi mengalahkan calon BN Datuk Muda Mamat yang mendapat 17,483 undi.

Parti itu juga memenangi tujuh daripada lapan kerusi Parlimen sementara satu lagi dimenangi parti Keadilan Nasional iaitu Parlimen Kemaman.

Mustafa berkata jumlah Exco yang akan dilantik adalah 10 orang seperti sebelum ini.

Pengumuman selanjutnya mengenai dasar-dasar Kerajaan Negeri PAS akan dilakukan oleh Abdul Hadi sendiri sebaik sahaja pelantikan Menteri Besar dilakukan.

Mengenai janji-janji dalam manifesto PAS semasa pilihan raya umum, Mustafa berkata ia akan dilaksanakan.

"Yang mana cepat, cepatlah yang makan masa akan makan masa..lah tapi kita akan tetap tunaikannya sebab itu janji kita kepada rakyat," katanya.

Ditanya sama ada Kerajaan Negeri pimpinan PAS itu akan mewujudkan jawatan Timbalan Menteri Besar, Mustafa berkata ia terlalu awal untuk diputuskan.

Sementara itu, pihak polis mengawal bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri di Wisma Darul Iman, di sini selepas penyokong-penyokong parti PAS mengerumuni bangunan itu. Bagaimanapun mereka bersurai kemudian.

Beliau juga berkata Kerajaan Negeri pimpinan PAS berjanji akan mengekalkan semua pegawai dan kakitangan Kerajaan Negeri.

Last changed: November 29, 1999