ReformIS

[ Contents | Post ]

Keputusan Pilihanraya ke-10 Meragukan

From:
Date: 29 Nov 1999
Time: 21:43:58

Comments

Keputusan Pilihanraya ke-10 Meragukan

Oleh Fathi Aris Omar [e-mel: wanparis@yahoo.com] Parti-parti Barisan Alternatif mestilah membantah keputusan pilihan raya ke-10 kali ini kerana dipenuhi keraguan yang munasabah. Terlalu banyak "shit" dalam amalan sekarang tetapi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memandang mudah sahaja hal ini. SPR dalam satu risalah rasminya, "panduan untuk pengundi", mendakwa badan itu "bebas, adil dan cekap" tetapi lihatlah fakta-fakta di bawah.

Kajian Parti Bersatu Sabah (PBS) mendapati lebih 100,000 pengundi mempunyai kad pengenalan bertindih. Kajian itu juga menyebutkan tumpuan pengundi yang mempunyai kad pengenalan bertindih TERAMAI di Selangor (lihat majalah TAMADUN terbaru, November 1999) Sementara itu kajian PAS pula mendapati lebih 200,000 pengundi yang menggunakan kad pengenalan palsu dalam daftar pemilih 1998 yang akan digunakan dalam pilihanraya Isnin 29 November 1999, kata AJK PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur. (lihat akhbar harian Harakah edisi Internet di sini: https://members.tripod.com/harakah2/nov/nov2799_4.html)

Kajian BUDI (Pemantau Pilihanraya) mendapati lebih separuh daftar pengundi atau 52 peratus tidak mempunyai tarikh lahir yang lengkap (lihat Harakah edisi Jumaat, 26 November 1999). Satu sumber kajian juga menyebutkan bahawa 28,875 pengundi yang sudah MATI masih berada dalam senarai pemilih yang digunakan dalam pilihan raya ke-10 kali ini. Sementara itu 680,804 orang pengundi (bukannya 650,000 seperti disebut-sebut dalam laporan berita) yang baru mendaftar pada April-Mei 1999 lalu DINAFIKAN hak mengundi mereka. Begitu juga amalan undi pos, seramai 235,000 orang, yang masih tidak telus.

Tidak ada wakil-wakil calon yang dibenarkan memerhatikan perjalanan undi pos dan juga kawalan keselamatan ke atas peti-peti undi pos itu. Sejak Rabu 24 November 1999 pengundi pos (misalnya untuk tentera di Parlimen Wangsa Maju) telah membuang undi pos seperti disiarkan oleh akhbar-akhbar. Satu risalah rasmi yang diterbitkan oleh SPR TIDAK MENAFIKAN wujudnya kemungkinan pengundi-pengundi yang boleh membuang undi lebih daripada sekali. SPR memberi amaran "anda hanya layak membuang undi sekali sahaja dan menyatakan kesalahan jika membuang undi lebih daripada sekali." Malah kenyataan itu menyebutkan juga "Amaran jangan buang undi lebih dari sekali". Apa ertinya SPR? Apa perlu amaran jika tidak ada kemungkinan wujudnya peluang mengundi lebih daripada sekali? Sepatutnya itu kerja SPR memastikan tiadanya amalan sedemikian.

Kalau ada juga, itu tandanya SPR tidak cekap!!! Ingatkah lagi pilihan raya DUN Sabah pada Mac 1999 lalu? Pihak pembangkang, khususnya PBS, telah menfailkan 19 petisyen pilihan raya membantah amalan pengundian yang tidak telus, meragukan, tidak adil dan tidak bebas yang diamalkan oleh SPR. Malah, semua petisyen itu menyebutkan soal undi hantu yang menggunakan kad pengenalan palsu. SPR membuat kenyataan kononnya soal kad pengenalan di luar tanggungjawabnya.

Kononnya itu soal Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Tetapi dalam satu taklimat tertutup SPR kepada wakil-wakil mahasiswa dari Majlis Pelajar Malaysia (MPM) pada Sabtu 13 November 1999 (dua hari selepas pembubaran Parlimen) memberikan alasan kononnya kelambatan memproses 690,804 pengundi baru kerana perlu semak dengan JPN. Yang mana satu betul ni, SPR? SPR dalam satu kenyataan dalam Utusan Malaysia (29 November, 1999) menyatakan perlunya menaruh kepercayaan kepada badan itu. Saya sebagai pengundi mendesak SPR bertanggungjawab atas semua dakwaan-dakwaan yang serius ini. Atau, terimalah kata-kata kesat dari saya, SHIT!

CETAK & EDARKAN KE SELURUH NEGARA

Oleh Fathi Aris Omar

Last changed: November 29, 1999