ReformIS

[ Contents | Post ]

Kami Bersama Kalian : Mahasiswa Al-Azhar

From:
Date: 29 Nov 1999
Time: 07:18:07

Comments

Kami Bersama Kalian : Mahasiswa Al-Azhar Cawangan Damanhur

Dengan nama Allah, Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani.

Detik bersejarah 29 November hampir tiba. Rakyat yang cintakan keadilan tidak sabar lagi untuk memangkah Barisan Alternatif sebagai bakal pimpinan negara. Walaupun kekadang kedengaran suara optimis terhadap kemenangan, tetapi tidak kurang juga yang risau terhadap penipuan demi penipuan yang dilakukan oleh Barisan Nasional semata-mata untuk memastikan bahawa hawa nafsu mereka dapat dipuaskan lagi buat 5 tahun lagi. Khas untuk para pejuang kebenaran dan keadilan di tanah air, tidak ada yang indah mampu kami sumbangkan, melainkan dengan memberi kata-kata semangat kepada kalian, dan mengirimkan senjata malam (doa) agar kemenangan berpihak kepada Islam.

Cukuplah dengan menyatakan betapa cemburunya kami tidak dapat bersama-sama kalian berjuang di Malaysia. Menitis air mata apabila membayangkan betapa indahnya jikalau kami dapat bersama-sama kalian menampal poster, merayu undi, memberikan ceramah kelompok, menjaga bilik gerakan dan sebagainya. Buat sahabat-sahabat, teruskanlah usaha kalian untuk membantu kemenangan Islam di Malaysia. Perjuangan kita masih belum menuntut untuk menitiskan darah dan air mata, cuma menitikkan sedikit keringat yang tidak seberapa.

'Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong agama Allah, maka Allah akan menolong kamu, dan akan menetapkan kedudukan kamu' (surah Muhammad ayat 7) Pertingkatkanlah hubungan kita dengan Allah. Perbanyakkanlah doa di saat-saat getir ini. Sekiranya mampu, puasalah pada hari mengundi (yang kebetulan jatuh pada hari Isnin). Firman Allah : (dan mohonlah kepadaKu dengan sabar dan solat) Ada di kalangan ulamak mentafsirkan sabar yang dimaksudkan di dalam ayat ini ialah dengan cara berpuasa. Kerana berpuasa mendidik kesabaran di dalam hati. Oleh itu, marilah kita bersama-bersama berpuasa hajat pada hari tersebut bagi menumbangkan kezaliman Barisan Nasional. Buat rakyat Malaysia secara umumnya, kini kuasa berada di tangan kalian.

Jika kalian inginkan kezaliman diteruskan 5 tahun lagi, maka pangkahlah Barisan Nasional. Jika kalian inginkan keadilan dapat didaulatkan di negara kita, pangkahlah Barisan Alternatif. Ingatlah, segala apa yang dilakukan oleh kita pada 29 November akan ditayangkan semula pada hari Mahsyar kelak. Maka adakah kita malu jika tindakan kita menyumbang ke arah kemaksiatan dan kezaliman ? Buat petugas-petugas Barisan Nasional, ingatlah ayat Allah di dalam surah at-Taubah ayat 105 (Dan katakanlah : beramallah kamu. Maka Allah akan melihat apa yang kamu lakukan begitu juga para Rasul dan orang-orang yang beriman. Seterusnya akan dikembalikan apa yang telah kamu lakukan ke alam ghaib (hari pembalasan) dan ditayangkan semula kepada kamu apa yang telah kamu lakukan).

Sekiranya kalian terus menyumbang ke arah kezaliman, maka nantikanlah saat-saat pembalasan Allah. Walaupun kalian memiliki perancangan dan propaganda yang hebat, tetapi ingatlah rancangan Allah itu lebih hebat. Firman Allah di dalam Surah Ali Imran:54 yang bermaksud ; 'Mereka merancang untuk membuat tipu daya, Allah juga merancang, dan Allah adalah sebaik-baik perancang.'

Akhir kata, marilah kita memperbanyakkan doa dan munajat kita kepada Allah. Inilah masa yang terbaik untuk kita melakukan perubahan. Yakinlah.. bahawa tentera-tentera Allah pasti akan turun membantu kita. 'Kemudian Allah menurunkan ketenanganNya ke atas Rasul dan orang-orang beriman dengan dikirimkan bala tentera yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar, lalu Dia mengazabkan orang-orang kafir. Demikianlah balasan bagi orang-orang yang kufur.' Surah al-Taubah, ayat 26

TUKAR BN : NOW OR NEVER

ALLAHUMMA A'MI ABSOROHUM FALA YARAUNA ILLAL BADRAL MUNIR

Cucu Tok Janggut Universiti Al-Azhar cawangan Damanhur.

Last changed: November 29, 1999