ReformIS

[ Contents | Post ]

Kenyataan Akhbar Ketua Bahagian Tenggara, KeADILan

From:
Date: 28 Nov 1999
Time: 06:46:05

Comments

Kenyataan Akhbar Ketua Bahagian Tenggara, KeADILan

Saya bernama Abdul Halim Bin Mohamad Dawam dan merupakan Ketua Bahagian Tenggara. Saya ingin membuat kenyataan rasmi berkenaan kedudukan perletakan jawatan oleh sekumpulan Kepimpinan KeADILan dinegeri Johor. Saya pada mulanya juga cuba diheret bersama untuk membuat penyelewengan tersebut.

Pada tanggal 23 November 1999 pada jam 8.15 pagi , saya telah diminta berjumpa dengan Ketua Penerangan Negeri Johor iaitu Cikgu Rahman Kation dan perbincangan yang berlakukan adalah berkisar usaha-usaha untuk mensabotaj calon-calon Parti KeADILan iaitu Calon Parlimen Tenggara iaitu Sdr. Lokman Noor Adam, Calon Parlimen Muar iaitu Sdr Abdul Rahman Osman dan Calon DUN Panti iaitu Sdr Adbul Aziz Sardan. Saya juga diminta bersiap sedia untuk berjumpa dengan beberapa orang tertentu yang pada asalnya saya tidak dimaklumkan di Kluang pada hari yang sama.

Pada jam 8.15 mlm, saya bersama-sama Cikgu Rahman Kation telah ke Prime City Hotel dan terus ketingkat 8 dibilik 813 dimana sebaik saja saya masuk kebilik tersebut saya mendapati Tn.Hj. Kamaruddin selaku Pengerusi Biro Latihan Negeri, Sdr.Jaafar Ahmad selaku setiausaha Negeri , Sdr. ZulBahari selaku Ketua Bahagian Kota Tinggi serta seorang yang saya tidak kenali. Perbincangan yang dibuat adalah berkisar tentang kekecewaan terhadap Parti keADILan Nasional peringkat Pusat yang pada anggapan mereka menolak calon-calon yang diketengahkan oleh pihak Perhubungan Negeri Johor.

Saya juga diajak dan diyakinkan bahawa sudah sampai masanya untuk kami keluar dari Parti KeADILan dan mereka memaklumkan bahawa perjumpaan ini sebenarnya diatur oleh pihak Calon Parlimen (Tenggara) Barisan Nasional iaitu Hishamuddin Tun Hussien. Kemuadian baru saya diperkenalkan bahawa seorang lagi yang bersama-sama kami dibilik tersebut adalah wakil dari pihak UMNO.

Dalam pada itu saya juga dimaklumkan pihak Hishamuddin akan membayar sejumlah wang yang banyak dan diyakinkan bahawa hidup kami akan senang dikemudian hari. Saya juga diberikan sebuah bilik khas sementara menunggu hari esok untuk membuat kenyataan rasmi diakhbar dan media. Tugas yang diminta untuk saya lakukan adalah membuat kenyataan rasmi keluar dari parti dan menyerahkan borang parti UMNO kepada HishamuddinTun Hussien sebagai acara simbolik menunjukkan saya dan pengikut saya menyertai Barisan Nasional.

Oleh kerana saya merasakan ianya merupakan satu pengkhianatan kepada Parti,Agama, Bangsa dan Negara dan Penyelewengan ini tidak dapat saya terima maka saya telah berusaha secara diplomasi dan akhirnya saya dapat melepaskan diri dari cengkaman mereka. Apabila diri saya tidak dapat dipujuk maka pada jam 12.15 mlm mereka telah cuba memujuk pula Setiausaha Bahagian Tenggara iaitu Sdr. Miswan Joyo dan melalui sdr. Miswan mereka telah menawar RM 20,000.00 sebagai wang pendahuluan agar bersekongkol dengan mereka. Mereka juga memberi jaminan bahawa hidup akan senang dikemudian hari apabila dapat membuat kenyataan-kenyataan yang mereka mahukan. Mereka cuba menekan Sdr. Miswan hampir 2 jam dan dengan kebijaksanaan Sdr Miswan, akhirnya Sdr Miswan dapat juga melepaskan dirinya dari cengkaman mereka. Panggilan telepon juga telah dibuat terhadap Ketua Wanita Bahagian Tenggara tetapi mereka tidak berhasil memujuk.

Inilah yang berlaku sebenarnya dan saya berani bersumpah dengan nama ALLAH bahawa kenyataan yang saya buat ini adalah benar berlaku kepada diri saya serta rakan-rakan saya juga cuba diheret bersama melakukan penyelewengan yang amat menjijikan ini.

Saya dan rakan-rakan yakin bahawa kesemua yang terlibat tersebut telah disogokkan dengan jumlah wang yang banyak untuk membuat kenyataan diakhbar disamping tidak berpuas hati dengan KeADILan Pusat dan juga marah terhadap calon-calon yang telah saya nyatakan tadi. Semuga kenyataan ini dapat memberi gambaran sebenar terhadap apa yang berlaku disebalik Kenyataan Keluar Parti oleh Keempat-empat orang tersebut dan percayalah Barisan Nasional berada dalam keadaan amat terdesak dan mereka akan menggunakan apa juga cara untuk memastikan kemenangan mereka walaupun dengan cara yang kotor dan jijik. Percayalah bahawa wang yang banyak yang digunakan adalah merupakan wang rakyat dan ianya digunakan dengan cara yang amat kotor.

Sekian.

ABDUL HALIM BIN MOHAMAD DAWAM Ketua Bahagian Tenggara, Parti KeADILan Nasional.

Last changed: November 28, 1999