ReformIS

[ Contents | Post ]

PAS GUNA KAD UNTUK PERKENALKAN CALON KEPADA PENGUNDI

From:
Date: 27 Nov 1999
Time: 01:15:50

Comments

PAS GUNA KAD UNTUK PERKENALKAN CALON KEPADA PENGUNDI

KANGAR, 26 Nov (Bernama) -- Dalam keghairahan berkempen, pelbagai cara digunakan untuk menyampaikan hasrat dan amanat kepada pengundi.

Kalau poster dan kain rentang merupakan perkara biasa yang dibuat oleh parti-parti yang bertanding semasa tempoh berkempen, tetapi kali ini pembaharuan dapat dilihat apabila parti PAS di negeri ini menggunakan kad-kad yang menampilkan muka calon-calon mereka yang akan bertanding.

Selain gambar, kad berukuran 10cm X 15cm itu yang tertera logo PAS dan Keadilan, turut disertakan dengan kelulusan dan pengalaman calon-calon yang bertanding.

Disertakan juga kata-kata rayuan meminta pengundi bersedia melakukan perubahan demi kesejahteraan ummah.

Seorang penyokong PAS ketika ditemui di bilik gerakan parti itu di bandar ini berkata kad-kad itu telahpun diedarkan kepada pengundi sejak beberapa hari lepas.

Beliau bagaimanapun tidak pasti jumlah kad yang dicetak bagi tujuan berkempen.

Turut diedarkan kepada penduduk negeri paling utara itu ialah salinan perutusan dari bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan salinan perbandingan kelayakan calon-calon Barisan Alternatif (BA) dengan calon-calon Barisan Nasional (BN).

Salinan perutusan Anwar yang bertajuk "Perutusan Khas Buat Pengundi Perlis" dari penjara Sungai Buloh bertarikh 23 Nov itu meminta pengundi Perlis memberi sokongan padu kepada calon-calon BA yang terdiri daripada tokoh berkelayakan dan jelas prinsip perjuangannya.

Dalam salinan perbandingan profesion calon pula, BA menyenaraikan calon-calonnya terdiri daripada golongan peguam, ahli perniagaan, ulama, ensyarah universiti, pakar nuklear, ahli ekonomi, pentadbir dan pakar perunding berbanding calon BN yang sebahagian besarnya adalah pentadbir, bekas guru dan bukan golongan profesional.

Seperti yang pernah dinyatakan oleh Pesuruhjaya PAS negeri Hashim Jasin baru-baru ini, parti itu yakin dengan gabungan tenaga profesional, BA mampu memberi pembaharuan jika menang dalam pilihan raya nanti.

Bagaimanapun, anggapan PAS itu ditolak oleh Menteri Besar Datuk Seri Shahidan Kassim ketika ditemui sehari selepas penamaan calon bahawa calon-calon BA itu adalah calon-calon "bidan terjun"

Menurut beliau, calon BN merupakan calon-calon tempatan yang sepanjang tahun berada di kawasan masing-masing berbanding calon BA yang hanya timbul setahun sekali atau ketika ada majlis-majlis tertentu.

Anggapan Shahidan itu turut disokong oleh Senator Mastika Junaidah Husin, calon Parlimen Arau, yang berkata calon-calon BA terdiri daripada calon-calon "parachute", yang kebanyakannya orang luar.

Perlis mempunyai tiga kawasan Parlimen dan 15 kerusi dewan undangan negeri (DUN). Calon Barisan Nasional (BN) diletakkan di semua kawasan Parlimen dan DUN manakala BA meletakkan tiga calon Keadilan dan yang lain calon PAS.

Tiga calon Keadilan itu ialah Mohd Anuar Mohd Tahir, Ko Chu Liang dan Zulmi Haji Sabri.

Anuar akan mencabar Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Azmi Khalid di parlimen Padang Besar, Ko melawan Datuk Khor Liang Tee (DUN Indera Kayangan) dan Zulmi menandingi Abu Bakar Ismail (DUN Pauh). -- BERNAMA

Last changed: November 27, 1999