ReformIS

[ Contents | Post ]

NIK AZIZ AKUI TIDAK PUAS HATI DENGAN PRESTASI PAS KELANTAN

From:
Date: 27 Nov 1999
Time: 01:13:03

Comments

NIK AZIZ AKUI TIDAK PUAS HATI DENGAN PRESTASI PAS KELANTAN

Oleh Roslan Ariffin

KOTA BAHARU, 26 (Bernama) -- Dalam suasana banyak pihak mempertikaikan kemampuan PAS untuk mentadbir dan membawa perubahan yang menguntungkan rakyat Kelantan, Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula mengakui masih tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan Kelantan pimpinan partinya.

"Mana ada orang yang berpuas hati," katanya lagi mengenai usaha yang telah dilakukan untuk membangunkan Kelantan kira-kira 10 tahun lepas setelah menumbangkan kerajaan Barisan Nasional di negeri itu pada pilihan raya 1990.

Menyedari kenyataannya itu mungkin menimbulkan kekeliruan terutama menyentuh mengenai keupayaaannya sebagai ketua kerajaan negeri menjelang pilihan raya ini, Nik Aziz pantas menjelaskan bahawa perasaan tidak puas hati itu sebenarnya wujud dalam naluri dan jiwa manusia dan beliau juga tidak terkecuali.

"Hak (yang) mati dalam kubur tu kalau ditanya balik puas hati kamu mati, tentu tak berpuas hati semua," katanya ketika ditemui baru-baru ini pada satu majlis politik di Gua Musang, kira-kira 190 Km dari sini.

Menjelang hari pengundian pada 29 Nov ini, isu pembangunan adalah antara perkara yang sering dibangkitkan kepada rakyat Kelantan terutama setelah negeri itu dikatakan terus tergelongsor dan jauh ketinggalan hingga bertukar menjadi negeri paling mundur sejak PAS memerintah selama dua penggal apabila memenangi pilihan raya 1990 dan 1995.

Isu pembangunan terus menjadi topik utama apabila pada setiap ceramah dan perhimpunan rakyat yang dianjurkan Barisan Nasional (BN) dan PAS, perbincangan dan penjelasan mengenai tahap pembangunan Kelantan tidak pernah disisihkan.

Umno mendakwa PAS gagal membawa sebarang pembangunan yang memanfaatkan rakyat Kelantan manakala PAS sebaliknya mempertahankan diri bahawa pembangunan tetap dibuat, hanya ia tidak melibatkan sebarang pembaziran seperti amalan kerajaan pusat.

Nik Aziz, 68, selaku Mursyidul Am PAS berkata walaupun banyak pihak mempertikaikan kemampuan PAS, hakikatnya beliau dan barisan pemimpinnya telah berusaha sedaya upaya bagi membangunkan Kelantan berdasarkan sumber yang terhad.

"Saya usaha sehabis kudrat, maknanya sebanyak mana pengalaman yang ada pada saya dan Exco (kerajaan negeri) saya dan sebanyak mana kewangan dan sebanyak mana tenaga saya dan anggota Exco, saya buat habis. Cumanya melalui hikmah, melalui kebijaksaan," katanya.

Menyedari banyak pihak terutamanya BN dan UMNO mempersoalkan sikap lembab kerajaan PAS di Kelantan dalam bertindak untuk membawa pembangunan di Kelantan, Nik Aziz berkata PAS hanya bertindak berdasarkan keperluan rakyat sesuai dengan pendekatan sederhana parti itu.

"Kadang-kadang benda yang sepatutnya buat sekarang, saya buat dua bulan kemudian atau dua tahun kemudian, untuk nak turut pembersihan fikiran anusia.

"Manusia ni kalau kita buat lebih daripada apa yang dia fikir, dia tak boleh menerima. Sebab itu Nabi Mohammad tunggu 23 tahun (menyebarkan agama Islam). Tetapi otak manusia ni dia mesti langkah demi langkah," kata Nik Aziz.

Nik Aziz berkata walaupun ada pihak yang memusuhi PAS dan menyelar pendekatan berhati-hati yang dibawanya tetapi terdapat pula pihak lain yang bersetuju.

Menurutnya kepopularan PAS sebenarnya kian meningkat apabila ramai individu menyertai PAS di banyak majlis ceramah politik yang dihadirinya di seluruh negara.

Menurutnya PAS berjaya memikat hati ramai individu untuk menyertai perjuangan parti itu hanya dengan menggunakan pendekatan "Islam" dan "Iman", iaitu tonggak utama agama Islam, hingga menyebabkan Islam berkembang ke seluruh dunia.

"Ada benda yang kita buat dari segi fizikal, ada juga yang kita buat dari segi rohani atau spiritual. PAS selalu sebut pasal dosa dan pahala,".

"Hak mana tuhan kata dosa kita kata dosa, hak mana tuhan kata pahala kita kata pahala," katanya berhubung formula dan ramuan PAS di bawah kepimpinan ulama yang dimulakan pada 1990..

Nik Aziz mendakwa pendekatan PAS menegakkan Islam itu tidak banyak memberi masalah kepada rakyat termasuk bukan Islam di Kelantan, malahan rakyat Kelantan menerimanya secara terbuka seperti apabila PAS mengharamkan Makyong dan Menora yang telah sebati dengan budaya rakyat Kelantan, akhirnya rakyat mematuhinya.

Ditanya mengenai ulasan banyak pihak bahawa kepopularan beliau sebagai pemimpin agama di kalangan orang Melayu menyebabkan PAS kini mendapat sokongan, Nik Aziz menafikan segalanya berpunca daripadanya.

"Waktu (Allahyarham) Datuk Asri (Muda) ada, orang kata tak ada Datuk Asri, tak adalah PAS ini... Tapi bila Asri tak ada, hidup juga. Waktu saya ada ini orang kata semua kerana tok guru, tapi bila saya tak ada tak kan tak ada orang lain," katanya Nik Aziz berkata bagi memastikan perjuangan diteruskan, beliau telah menyediakan barisan pelapis yang mampu menerajui PAS, yang kini mempelajari corak pentadbiran dan pengurusan yang diamalkannya sekarang.

"Sekarang ini banyak dah kerja yang patut saya buat saya serah kepada orang lain," katanya.

Barisan pelapis itu ketara apabila PAS meletakkan 28 muka baru daripada 43 calon bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Kelantan pada pilihan raya ini.

Sama ada barisan muda itu yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan pendidikan dapat meneruskan kepimpinan PAS di bawah pemerintahan sekarang, hanya akan terjawab apabila rakyat membuat pilihan menerusi undi mereka Isnin ini. -- BERNAMA

Last changed: November 27, 1999