ReformIS

[ Contents | Post ]

POLIS SAHKAN TERIMA LAPORAN DAN PITA VIDEO

From:
Date: 27 Nov 1999
Time: 01:02:28

Comments

POLIS SAHKAN TERIMA LAPORAN DAN PITA VIDEO

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernam) -- Polis telah mengemukakan perintah menyiasat kepada Timbalan Pendakwaraya pagi ini bagi membolehkan siasatan terperinci dibuat berhubung penemuan dua pita video bertajuk "Siapa Anwar" dan "Skandal Seks Mat Sabu" yang diserahkan kepada polis oleh dua individu.

Polis dijangka menerima perintah itu hari ini juga dan akan memulakan siasatan segera termasuk mengenal pasti mereka yang dipercayai dapat membantu siasatan berhubung pita video itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Kamarudin Mohamad Ali yang mengesahkan menerima dua aduan berhubung penemuan pita video itu berkata laporan pertama dibuat oleh seorang pembantu teknik, Rabu lepas yang mendakwa menjumpai dua pita video yang diletakkan di luar rumahnya.

Menurut lelaki itu kedua-dua pita video itu mempunyai unsur fitnah dan lucah, katanya pada persidangan berita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Kamarudin berkata lelaki itu turut mendakwa pita video itu telah diedarkan di beberapa perhentian bas dan pondok telefon di ibu negara.

Satu lagi aduan diterima daripada seorang lelaki yang bekerja sendiri dan tinggal di Sungai Besi yang turut mendakwa pita video itu kemungkinan mempunyai unsur menghina mahkamah, katanya.

Beliau berkata lelaki itu mendakwa pita-pita video itu telah disebarkan di sekitar Bandar Tun Razak.

Timbalan Presiden Keadilan Dr Chandra Muzaffar semalam berkata aduan polis dibuat berhubung penemuan itu kerana pita video berkenaan mengandungi unsur lucah dan tidak sepatutnya diedarkan kepada orang ramai.

Menurut Chandra pita itu turut mengandungi perbualan serta temu ramah individu tertentu berhubung salah laku seks melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Polis telah mengklasifikasikan kes itu mengikut Seksyen 501 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mencetak atau mengukir perkara yang diketahui sebagai fitnah dan jika sabit kesalahan seseorang itu boleh dikenakan penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya," kata Kamarudin.

Orang ramai yang menjumpai pita video itu diminta menyerahkanya kepada polis dan sebarang maklumat boleh disalurkan ke Cawangan Jenayah Utama IPK Kuala Lumpur melalui nombor telefon 03-2496918 atau mana-mana balai polis, katanya. -- BERNAMA

Last changed: November 27, 1999