ReformIS

[ Contents | Post ]

Wawancara Dengan Zaiton Kassim, Calon DAP Selayang

From:
Date: 26 Nov 1999
Time: 04:09:47

Comments

Wawancara Dengan Zaiton Kassim, Calon DAP Selayang

Barisan Alternatif bakal meletakkan seorang calon wanita untuk merebut salah satu kerusi di Selayang. Tidak hairanlah mereka harus menampilkan seorang calon wanita kerana dua calon BN sebelum ini di Selayang adalah wanita, iaitu Zaleha Ismail dan Rakibah Abdul Manaf. Kedua-duanya menang selesa di Selayang. Namun, calon BA yang bakal bertanding di Selayang kali ini, bukan dari PAS atau Keadilan, tetapi mewakili DAP.

ZAITUN KASSIM bukanlah nama baru dalam perjuangan wanita di negara ini. Aktivis wanita yang gigih ini akhirnya terpaksa memilih saluran politik untuk memastikan isu wanita yang diperjuangkan selama ini tidak lagi menjadi gurauan dan janji kosong pemimpin-pemimpin BN. Wakil DETIK, majalah suara reformasi rakyat, berusaha menemubual beliau dan bertanyakan isu-isu semasa wanita. Ternyata, dia seorang yang komited dengan apa diperkata dan diperjuangkannya. Ikuti temu bual kami.

KITA MAHUKAN KERAJAAN YANG SERIUS TANGANI ISU WANITA

Apakah isu-isu yang akan saudari ketengahkan kepada pengundi?

Isu-isu yang menjadi keprihatinan rakyat, terutama isu-isu wanita. Ada juga isu lain seperti pengagihan harta yang saksama, kebebasan bersuara, masalah penyediaan keperluan asas yang dipolitikkan seperti tanah, rumah, bekalan air, elektrik serta masalah pendidikan. Sepanjang sebelas tahun penglibatan saya sebagai aktivis sosial, sememangnya saya telah memberi penekanan kepada banyak isu, di samping isu-isu wanita. Namun isu yang lebih akrab dengan saya ialah isu wanita, terutama kebajikan ibu tunggal dan penderaan terhadap kaum wanita. Terdapat lebih 630,000 keluarga ibu tunggal (sama ada kerana ditinggalkan suami, diceraikan atau suaminya meninggal) dan ramai di kalangan mereka berpendapatan rendah.

Apa pandangan saudari mengenai penglibatan wanita dalam politik? Apakah ia akan mengurangkan peranan wanita sebagai isteri dan ibu?

Biasanya masyarakat menganggap wanita tetap wanita biar setinggi mana kedudukan da pangkatnya. Tidak terkecuali kepada wanita berpolitik. Jadi tanggungjawabnya terhadap dapur, anak dan suami tidak boleh diabaikan. Apa yang menghairankan, persoalan wanita berkerjaya mengabaikan rumah tangga kerap diajukan kepada kaum wanita sahaja. Jarang kita bertanya sama ada peranan lelaki sebagai suami dan bapa terjejas akibat penglibatan mereka dalam politik? Saya kira segalanya boleh diatasi sekiranya kita boleh membahagikan masa dengan baik.

Bagaimana kedudukan wanita Malaysia secara umum? Ada yang berpendapat mereka masih ketinggalan berbanding kaum lelaki?

Soal "tidak berdiri sama tinggi" ini sebenarnya merangkumi banyak bidang. Contohnya, wanita masih mengalami diskriminasi dalam bidang pekerjaan. Bukan sahaja daripada segi tahap pengurusan atau managerial level , tetapi juga daripada segi pembahagian kerja dan pendapatan gaji. Contohnya, hampir 70 peratus tenaga pendidik terdiri daripada wanita, tetapi peratusan yang menjadi pengetua sekolah terlalu kecil. Penglibatan kaum wanita pada tahap pucuk pimpinan dan dalam proses membuat keputusan masih tidak memuaskan. Contohnya, peratusan wanita dalam Parlimen hanya lapan peratus. Walaupun terdapat ramai wanita yang berkebolehan membuat keputusan dan menjalankan tugas-tugas memimpin dan melaksanakan dasar-dasar penting, struktur masyarakat di negara ini dari segi sosial, ekonomi dan politik tidak mampu membantu kaum wanita mencapai tahap kebolehan mereka.

Pertubuhan-pertubuhan wanita dalam satu dokumen “Agenda Wanita untuk Perubahan” pernah menyarankan 30 peratus proses membuat keputusan mesti diberikan kepada wanita. Apakah melalui jawatan-jawatan politik (seperti wakil rakyat) atau melalui jawatan-jawatan lain?

Saranan ini sebenarnya selaras dengan komitmen yang telah dibuat oleh kerajaan Malaysia di Persidangan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Ke-4 Mengenai Wanita di Beijing. Ia sebenarnya syor yang “minima”.Saranan ini merangkumi semua jawatan, sama ada bidang politik, mahu pun dalam sektor swasta dan sektor awam. Penglibatan wanita dalam proses membuat keputusan bukan sahaja bermakna keprihatinan dan keperluan wanita akan dapat diketengahkan dengan lebih berkesan, malah pendapat mereka juga akan menjadi sumbangan yang bernilai.

Apakah undang-undang di negara ini sudah mencukupi untuk menghukum dan mengawal kes-kes keganasan rumah tangga? Selain undang-undang, apakah tindakan lain yang patut diambil untuk mengawal dan mengurangkan gejala keganasan rumah tangga?

Undang-undang hanyalah satu dari isu mengenai keganasan rumahtangga. Undang-undang perlu “disertai” dengan pelaksanaan yang berkesan oleh pihak berkuasa. Perkhidmatan sokongan serta kaunseling bagi wanita-wanita yang didera juga perlu ditingkatkan. Tetapi kedua-dua tindakan ini sebenarnya merupakan tindakan after the fact yakni selepas berlakunya penganiayaan. Tindakan yang lebih utama sepatutnya bersifat jangka panjang melalui pendidikan dan peningkatan kesedaran. Akta Keganasan Rumahtangga masih perlu dipinda untuk meningkatkan lagi keberkesanannya.

Isu terkini ialah gangguan seksual di pejabat. Apakah anda fikir gangguan ini berpunca dari lelaki sahaja? Atau, kedua-dua belah pihak sama-sama terlibat?

Definisi gangguan seksual adalah jelas. Ia termasuklah penganggu seks itu dan mangsanya boleh jadi lelaki atau wanita. Tidak semestinya lelaki saja mengganggu atau wanita saja mangsanya. Namun, kita tidak patut lupa bahawa kebanyakan pengganggu terdiri daripada lelaki dan kebanyakan mangsanya pula wanita.

Keadaan ini terjadi mungkin kerana lelaki lebih banyak memegang jawatan yang lebih tinggi, yang menyediakan peluang untuk mengganggu kakitangan bawahan mereka.Gangguan yang lebih teruk ialah apabila pengganggu itu ketua kepada mangsa. Oleh itu dia tidak mudah mengelak atau mengambil tindakan kepada ketuanya. Kita sebenarnya memerlukan undang-undang yag dapat membendung kejadian gangguan seks di tempat kerja. Tetapi setakat ini kerajaan tidak melihat keperluan menggubal undang-undang seumpama itu. Setakat ini hanya ada satu garis panduan yang bersifat sukarela, dan tidak diwajibkan mematuhinya.

Apakah Sdri fikir undang-undang berkenaan rogol (dan perlindungan wanita) belum mencukupi?

Kumpulan-kumpulan wanita sudah menimbulkan desakan agar undang-undang mengenai rogol ini dipinda mulai pertengahan 1980-an lagi. Masih banyak lagi isu-isu berbangkit mengenai undang-undang ini. Terlalu mudah bagi seseorang perogol, walaupun merogol dengan ganas atau membunuh mangsanya. Apabila dia mengaku bersalah, perogol itu dikenakan hukuman yang lebih ringan. Lagi pun, takrif rogol itu sendiri masih sempit.

Pejuang-pejuang isu wanita juga sering menganggap dunia ini didominasi oleh lelaki. Apakah sebenarnya isu-isu yang tidak menggembirakan wanita terhadap kepimpinan kaum lelaki?

Oleh kerana kaum lelaki masih memegang kebanyakan jawatan penting, kebanyakan dasar-dasar yang dilaksanakan kerap mengabaikan isu-isu wanita. Dunia ini dikatakan berada bawah dominasi lelaki kerana suara wanita dan keperluan mereka yang berbeza daripada kaum lelaki tidak diambil kira dalam pelaksanaan dasar atau dalam penggubalan undang-undang. Misalnya, ketika Akta Keganasan Rumahtangga dibahaskan di Dewan Rakyat, ramai Ahli Parlimen dilaporkan membuat ulasan-ulasan yang kasar dan biadab. Mereka menganggap isu itu sebagai bahan lawak sahaja.

Ramai wanita memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa apabila berkahwin (walaupun berpendidikan tinggi dan mempunyai pekerjaan yang baik). Apakah perkembangan ini baik untuk wanita di negara ini? Atau, perkembangan ini merugikan negara?

Kaum wanita mesti diberikan peluang memilih arah hidup mereka. Jika mereka ingin menumpu perhatian terhadap kerjaya mereka, peluang ini harus diberikan dan keputusanmereka dihormati. Jika mereka ingin berumah tangga, keputusan mereka juga harus dihormati. Begitu juga dengan kaum lelaki. Pandangan bahawa perkembangan ini merugikan negara kerana ia akan mengurangkan daya tenaga kerja adalah pandangan sempit.

Ramai wanita memilih untuk bertugas membesarkan anak-anak dan mengurus rumah tangga walaupun pilihan ini (meninggalkan kerja) begitu sukar. Kebanyakan orang dan masyarakat kita umumnya tidak mengiktiraf bahawa tugas di rumah merupakan tugas sebenar yang layak diberikan penghormatan. Ia sepatutnya diambil kira dalam akaun negara ini.

Pengaruh perjuangan wanita Barat di Malaysia?

Sebahagian isu yang dibawa oleh aktivis wanita di Barat juga kedengaran di sini. Namun aktivis wanita Malaysia lebih rapat dengan kumpulan-kumpulan wanita di negara-negara Asia. Banyak persamaan isu berbanding kumpulan wanita di Barat. Feminisme hanyalah satu istilah untuk menggambarkan berbagai-bagai isu. Tetapi ia mempunyai satu idea utama ke arah kesaksamaan bagi wanita dan menghentikan keganasan ke atas wanita. Satu sebab mengapa pejuang feminisme di Barat kelihatan melampau ialah penindasan yang mereka alami 100 tahun lalu. Mereka harus memperjuangkannya dalam keadaan yang sangat sukar. Misalnya, seorang wanita yang berkahwin mesti menyerahkan semua harta bendanya kepada suami dan mereka tidak boleh mengundi. Mereka tidak mempunyai apa-apa hak. Kalau ada pun, sangat sedikit!

Last changed: November 26, 1999