ReformIS

[ Contents | Post ]

Tuntutan 17 Perkara masyarakat Cina

From:
Date: 26 Nov 1999
Time: 04:08:09

Comments

Tuntutan 17 Perkara masyarakat Cina

Wawancara Ketua Editor Majalah Detik dengan Pengerusi Jawatankuasa Hak-Hak Rakyat, Dewan Perhimpunan Cina Selangor, SE CHOON ING, yang juga merupakan jurucakap kepada Tuntutan 17 Perkara. Interviu ini tidak sempat untuk disiarkan dalam majalah Detik.

Apakah yang dimaksudkan dengan Tuntutan 17 Perkara?

Tuntutan 17 Perkara dihasilkan oleh Jawatankuasa Hak-Hak Rakyat dalam Dewan Perhimpuan Cina Selangor. Tujuan kami ialah untuk menjelaskan pandangan dan pendirian masyarakat Cina, berhubung pergolakan politik dan ekonomi yang sedang dihadapi oleh negara kita.

Ramai berpendapat orang Cina hanya berminat berniaga dan berminat pada wang sahaja, dan tidak mempedulikan perkara lain yang berlaku dalam negara ini. Pandangan itu kurang tepat. Ia terjadi kerana kerajaan masih memakai polisi pecah dan perintah, walaupun setelah 42 tahun kita merdeka. Orang-orang India, Cina dan Melayu dikehendaki hidup dalam alam mereka sendiri. Kerajaan menyediakan jabatan dan menteri tersendiri untuk menguruskan kaum-kaum ini. Ini yang menyebabkan berlaku salah faham di antara kaum.

Dewan Perniagaan Cina dan juga Persatuan Cina terdiri daripada taukeh-taukeh besar. Sekiranya kita meminta pandangan mereka, tentulah mereka memihak kepada Barisan Nasional, dan turut menyokong polisi perkauman. Tetapi itu pandangan yang mewakili sebahagian kecil mereka yang berkepentingan dalam perniagaan. Golongan intelek lebih peka terhadap apa yang berlaku, terutama dalam perkara yang melibatkan Anwar.

Berdasarkan latar belakang demikian, kami mengajukan Tuntutan 17 Perkara ini dengan tujuan untuk mengingatkan parti-parti politik, mengenai masalah-masalah kaum Tionghua yang perlu diselesaikan. Tuntutan 17 Perkara merupakan memorandum yang bukan sahaja diserahkan kepada pihak kerajaan, tetapi juga kepada semua parti politik.

Ia juga dinamakan Rayuan Pilihanraya, kerana kami merasakan semua parti yang bertanding mempunyai kesempatan untuk menang dan membentuk kerajaan. Jadi, sekiranya mereka menjadi kerajaan, inilah beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian berhubung kaum Tionghua.

Setakat ini berapa kali pertemuan dibuat dengan pertubuhan-pertubuhan politik?

Beberapa kali. Yang pertama dengan MCA, kedua dengan Gerakan dan yang ketiga dengan SUPP. MCA diwakili oleh Ling Leong Sik sendiri. Gerakan diwakili oleh Lim Keng Yeik dan SUPP diwakili oleh Lau Heng Deng. Kami juga turut bertemu dengan wakil-wakil Barisan Alternatif yang terdiri daripada Dr. Wan Azizah, Datuk Fadzil Noor dan Lim Kit Siang, di Kajang.

Apa respon mereka?

Pada prinsipnya mereka menerima. Dalam Tuntutan 17 Perkara terdapat 83 perkara khusus. Berhubung soal menggalakkan perpaduan kaum, mempertingkatkan demokrasi, mempertahankan hak-hak asasi manusia dan menegakkan keadilan, semuanya menyokong. Tetapi nampaknya mereka tidak menyokong memansuhkan ISA.

Tetapi apabila dibandingkan Tuntutan 17 Perkara dengan Manefesto Barisan Alternatif, saya dapati sebahagian daripada tuntutan itu telah diterima. Dari sudut ini saya rasa respon BA lebih positif. Misalnya soal memansuhkan ISA, ia memang diperjuangkan oleh BA. PAS telah lama memperjuangkannya, semenjak 40 tahun lalu, sebaik saja ISA diluluskan oleh Parlimen.

Kerajaan BN menggunakan ISA sebagai senjata untuk menghapuskan suara-suara membangkang. Dari sudut ini pendirian mereka dapat difahami. Bagi Gerakan pula, mereka menyifatkan tuntutan ini baik, tetapi masanya tidak tepat. Menurut mereka, kita sedang menghadapi masalah ekonomi. Kita perlu selesaikan masalah ekonomi terlebih dahulu sebelum menghapuskan ISA. Saya rasa itu hanya dalih.

Tuntutan 17 Perkara ini sebenarnya memberikan tekanan kepada BN, terutama MCA. Oleh yang demikian, disebabkan bimbang tuntutan ini membawa pengaruh yang negatif kepada MCA, mereka terpaksa menerima, tetapi hanya pada prinsipnya saja.

Semalam kami kirimkan borang kaji selidik kepada parti-parti politik, supaya mereka menjelaskan apa yang mereka setuju dan apa yang mereka tidak setuju. Sekiranya mereka bersetuju, apa tindakan yang akan diambil dan berapa lama. 5 tahun, 3 tahun, setahun, sebulan? Borang kaji selidik ini juga bertujuan mendapatkan komitmen mereka. Tetapi saya rasa parti seperti MCA tidak akan mengisi borang itu.

Sejauh manakah pertubuhan dan individu yang mengambil inisiatif mengemukakan tuntutan ini boleh mewakili masyarakat Tionghua?

Kami tidak berani mengatakan jawatankuasa kami ini mewakili masyarakat Cina sepenuhnya, tetapi Tuntutan 17 Perkara ini mewakili sebahagian besar pandangan masyarakat Cina. Ditinjau dari sudut pertubuhan masyrakat Cina, daripada lebih 5,000 persatuan Cina yang ada, 2,095 bersetuju dengan tuntutan ini.

Apa pertimbangan asas bagi orang Cina membuat keputusan untuk mengundi?

Secara umum ada beberapa faktor. Pertama, orang Cina di bandar-bandar besar menyokong pembangkang atau DAP adalah kerana mereka lebih sedar dan tidak berpuas hati dengan polisi tertentu kerajaan. Kedua, mereka yang menyokong pembangkang atau DAP ini mahukan suara yang berlainan dibawa ke Parlimen.

Tetapi walaupun mereka menyokong pembangkang, mereka agak konservatif. Maksudnya, orang Cina akan menyokong pembangkang hanya sekiranya mereka pasti BN akan menang. Sekiranya mereka dapati BN akan kalah, mereka akan terfikir akan berlaku kekacaun.

Bukan untuk merubah kerajaan?

Begitulah. Mereka takut mengubah kerajaan. Pertama, takut berlaku huru-hara. Ini faktor penting. Tetapi dalam zaman IT semakin berkembang ini, faktor ini semakin menghilang. Rakyat semakin sedar.

Barisan Alternatif pula setakat ini masih dilihat belum begitu kuat dan gagal memberikan keyakinan kepada orang Cina. Orang Melayu mungkin boleh berasa yakin dengan PAS. Orang Cina merasakan sekiranya BA berjaya membentuk kerajaan, ia akan gagal membawa kestabilan dan perkembangan ekonomi.

Isu Anwar telah membawa pengaruh yang besar. Setidak-tidaknya ketiga-tiga kaum di negara ini telah mempunyai satu isu umum untuk dikongsi bersama. Dulu terlalu sukar untuk mendapatkan sokongan bagi menghapuskan ISA, tetapi sekarang ramai golongan telah memberi sokongan. Saya kira ini satu perkembangan yang tidak dapat dihalang. Di zaman baru ini orang inginkan lebih ketelusan, keadilan dan pertanggungjawaban.

Apabila majoriti masyarakat Melayu bersedia memberikan sokongan kepada pembangkang dan jika ditambah dengan sokongan tradisi masyarakat Cina, boleh menumbangkan kerajaan, apakah orang Cina akan kembali semula kepada BN?

Saya rasa ada kemungkinan. Saya selalu mengingatkan rakan-rakan saya di pihak pembangkang supaya jangan terlalu menekankan soal menumbangkan kerajaan. Strategi sangat penting. Masalah psikologi yang di alami oleh orang Cina masih sukar untuk diramal.

Baru-baru ini dalam akhbar Cina, DAP menjelaskan bahawa menurut ramalannya jumlah pengundi yang menyokong DAP pada pilihanraya kali ini adalah terendah bilangannya. Saya rasa itu satu taktik yang baik.

Masalah takut berubah bukan ciri bangsa tertentu sahaja. Setiap orang mempunyai ciri tersebut. Barangkali terdapat perbezaan antara orang Melayu dengan orang Cina. Orang Melayu nampaknya begitu ingin berubah. Tetapi kita harus ingat, peristiwa Anwar memberikan impak yang sangat kuat. Impak itu telah menyebabkan orang Melayu berjaya mengatasi rasa takut untuk berubah. Tetapi masyarakat Cina tidak melihat peristiwa Anwar seperti yang dilihat oleh masyarakat Melayu.

Selain itu wujud pula unsur PAS. Imej PAS di mata orang Cina agak negatif. BN kerap menakut-nakutkan orang Cina dengan Negara Islam dan Undang-Undang Hudud. Hal ini merupakan igauan yang menakutkan bagi orang Cina.

Pandangan sdr terhadap komen seorang exco MCA berhubung Umno dan ketuanan Melayu?

Saya rasa pandangan beliau tidak mewakili MCA. Saya tidak tahu mengapa dia memberikan pandangan demikian. Tetapi saya tidak hairan. Pada waktu Tuntutan 17 Perkara menjadi isu hangat, Utusan telah menemubual Datuk Haron dan mengeluarkan kenyataan orang Melayu berpecah, Cina buat tuntutan, orang Melayu perlu bersatu. Saya rasa perkara itu disengajakan. Dalam keadaan politik yang ada, BN memang kerap memainkan isu perkauman. Itu kurang sihat.

Saya berharap peristiwa Anwar Ibrahim serta wujudnya KeADILan akan membawa politik Malaysia ke arah politik berbilang kaum. Apabila kita bercakap mengenai keadilan, kita tidak harus membataskannya kepada kaum-kaum tertentu sahaja.

Selaras dengan kenyataan Datuk Haron itu, walaupun Tuntutan 17 Perkara kelihatan universal, tetapi terangkum isu-isu chauvinis Cina di dalamnya. Apa pandangan sdr?

Oleh kerana ia dihasilkan oleh pertubuhan-pertubuhan Cina yang kebanyakannya dipimpin oleh orang yang telah tua, saya rasa wujudnya gejala tersebut tidak dapat dielakkan. Dan saya merasakan ini adalah akibat daripada polisi pecah dan perintah juga. Selama ini masyarakat diajar membuat pertimbangan mengikut kaum. Tetapi ini tidak bermakna sikap chauvinis tersebut mewakili sebahagian besar Tuntutan 17 Perkara.

Apa yang dibangkitkan oleh Datuk Haron mengenai tuntutan kami untuk memansuhkan perbezaan antara Bumiputra dengan bukan Bumiputra, saya rasa ia dikemukakan dengan pertimbangan bahawa di negara ini tidak seharusnya ada perbezaan di antara kaum sekiranya kita benar-benar ingin mencipta perpaduan.

Selama 40 tahun ini saya dapati apa yang dilakukan oleh kerajaan, sama ada dalam membantu kaum yang lemah atau dalam hal yang lain, semuanya beradasarkan polisi perkauman. Ini yang kita tidak setuju. Saya rasa Tuntutan 17 Perkara tidak sepatutnya dianggap mencabar orang Melayu. Ia harus dihadapi sebagai pertimbangan yang bersifat berbilang kaum.

Sekiranya terdapat kesungguhan pada parti-parti yang diajukan tuntutan itu, apakah akan terdapat usaha sehingga ke peringkat berkempen dalam piliharaya?

Kami ada sedikit masalah. Beberapa bulan yang lalu akhbar-akhbar berbahasa Cina telah menyiarkan secara besar-besaran mengenai tuntutan kami ini. Ia menjadi satu isu yang agak hangat, dan memberi tekanan kepada BN dan MCA. Mahathir sendiri campur tangan, menempelak MCA kerana gagal mengendalikan kes ini. Sekarang semua akhbar telah diarahkan supaya tidak membesar-besarkan isu ini

Pemimpin-pemimpin pertubuhan yang terlibat, yang terdiri daripada mereka yang telah tua dan konservatif tadi mula berasa takut. Walau bagaimanapun, kami akan berusaha menganjurkan beberapa siri ceramah dan seminar bagi menjelaskan tuntutan ini, sebelum dan juga selepas pilihanraya.

BA telah mengeluarkan menifestonya yang ternyata banyak persamaan dengan tuntutan ini. Apakah terdapat tindakan dibuat untuk menyeru kaum Cina agar menyokong BA?

Saya rasa lebih baik kami bersikap berkecuali. Kami serahkan kepada rakyat untuk membuat penilaian dan pilihan. Tetapi sekiranya keadaan politik kita lebih demokratik, bebas membuat pilihan tanpa sebarang tekanan dan gangguan, saya rasa kami akan berbuat sebaliknya. Sangatlah dikesali, kuasa yang ada pada sesetengah pihak, Mahathir contohnya, terlalu besar, sehinggakan ia digunakan secara sewenang-wenangnya menekan, mengugut dan membataskan pilihan buat rakyat. Saya berharap pada masa akan datang kita dapat memiliki suasana politik yang lebih bebas.

Last changed: November 26, 1999