ReformIS

[ Contents | Post ]

BOLEHKAH DAP KEMBALIKAN SEMULA ZAMAN KEGEMILANGANNYA DI PERAK?

From:
Date: 26 Nov 1999
Time: 01:43:14

Comments

BOLEHKAH DAP KEMBALIKAN SEMULA ZAMAN KEGEMILANGANNYA DI PERAK?

Oleh Arul Rajoo

IPOH, 26 Nov (Bernama) -- Sekitar tahun 70an dan 80an, DAP memang kuat di beberapa kawasan bandar di Perak tetapi pada pilihan raya umum lepas pada 1995, parti itu mengalami kekalahan paling teruk.

Pada 1990, DAP menawan empat kerusi Parlimen dan 13 kerusi negeri, menyamai pencapaiannya empat tahun sebelum itu, tetapi pada 1995 ia kesemua kerusi Parlimen dan hanya menang satu kerusi negeri di Sitiawan, jauh ketinggalan daripada zaman kegemilangannya pada 70an dan 80an.

Tetapi mereka boleh bernafas sedikit apabila M. Kulasegaran merampas kerusi Teluk Intan dalam pilihan raya kecil pada 1997.

Bolehkah parti itu kembali berpijak di Perak yang mempunyai 23 kerusi Parlimen dan 52 kerusi negeri hanya beberapa bulan selepas mengalami masalah dalaman yang menyebabkan beberapa orang kuatnya meninggalkan parti itu termasuk timbalan pengerusi negeri Mohamad Asri Othman.

Walaupun ramai yang meragui kemampuan parti itu tetapi pengerusi DAP negeri, Ngeh Koo Ham, yang bertanding untuk kali ketiga bagi kerusi Parlimen, yakin parti itu sedang menuju ke arah itu.

"Masalah kepimpinan sudah tiada sekarang. Tiada puak-puak sekarang, dan kami bekerja sebagai satu pasukan. Calon kami juga berwibawa dan kami menerima sokongan yang baik daripada Keadilan dan PAS," katanya.

DAP bertanding bagi sembilan kerusi Parlimen dan 17 kerusi negeri kali ini berbanding 11 kerusi Parlimen dan 19 kerusi negeri pada 1995. Seorang daripada calon DAP kali ini ialah Dr D. Jeyakumar dari Parti Sosialis Malaysia yang belum didaftarkan.

"Mereka tiada mempunyai calon yang berwibawa lagi...sebab itu mereka perlu pinjam dari parti lain," kata Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu yang akan ditentang oleh Jeyakumar bagi kerusi Sungai Siput.

Bagaimanapun, Kulasegaran berkata langkah itu sejajar dengan pakatan antara barisan pembangkang dan menafikan bahawa beliau menghantar bekas pakar jantung itu untuk "disembelih" di Sungai Siput seperti didakwa oleh BN.

Berdasarkan senario pilihan raya 1995 dan sekarang, Ngeh yakin mampu menawan tiga kerusi Parlimen, iaitu Ipoh Timur, Ipoh Barat dan Batu Gajah.

Ngeh, yang tewas di Batu Gajah dengan majoriti 1,579 undi pada 1995, telah berpindah ke Ipoh Timur untuk menentang Tong Fah Chong dari BN. Pada 1995, Chang Kon You menang dengan majoriti hanya 292 undi.

Kulasegaran, yang didakwa oleh Barisan Nasional lari dari Teluk Intan, akan bertanding bagi kerusi Ipoh Barat menentang penyandang Ho Cheong Sing yang menang dengan majoriti 1,579 undi empat tahun lepas.

Di Batu Gajah, seorang peguam wanita Fong Ko Kuan akan mencabar penyandang Yong Chee Wah.

Sebanyak 85.6 peratus daripada 77,884 pengundi di Ipoh Timur ialah Cina manakala terdapat 64.8 peratus pengundi kaum itu di Ipoh Barat (jumlah pengundi 73,161) dan 82.47 peratus pengundi Cina di Batu Gajah (jumlah pengundi 59,129).

Batu Gajah merupakan kubu kuat DAP sehingga pilihan raya umum lepas semasa ekonomi berkembang baik menyaksikan BN hampir menyapu bersih semua kerusi.

Kerusi Parlimen lain yang mempunyai wakil DAP ialah di Beruas dengan calonnya Simon Yew Teong Chong akan berdepan dengan Presiden Gerakan Datuk Seri Lim Kheng Yaik.

Parti itu juga berharap dapat membuat kejutan di Kampar, Taiping dan Gopeng tetapi kerusi Teluk Intan yang diwakili pembantu Kulasegaran, N. Rajendiran kelihatan kemungkinan besar akan kembali ke tangan BN.

Di peringkat negeri, parti itu berharap akan merintis ke kubu kuatnya sebelum ini seperti Assam Kumbang, Pasir Bedamar, Buntong dan Taman Canning.

Kulasegaran berkata parti itu sekali lagi bergantung kepada pengundi Cina untuk menang beberapa kerusi, dan menyatakan bahawa Melayu juga cenderung ke arah parti itu pada masa ini berbanding sebelumnya.

Bagaimanapun, Mohamad Asri, kini naib presiden kumpulan serpihan DAP, Parti Demokratik Malaysia (MDP), merasakan bahawa masyarakat Cina kini sudah berubah.

"Bagi mereka, persoalannya ialah sama ada mereka boleh menyara hidup, dapat hidup secara aman dan menjalankan perniagaan. Jadi kenapa nak cari pasal?" katanya.

Mohamad Asri berkata terdapat kemungkinan besar bahawa DAP akan menerima nasib yang sama seperti 1995 dan tidak mungkin mereka boleh menang mudah.

Persaingan sengit dijangka berlaku di kawasan Ipoh Barat dan Ipoh Timur berikutan DAP dan BN telah membawa orang kuat mereka untuk memancing undi dan cuba mendapatkan lebih sokongan.

Setiausaha agung DAP Lim Kit Siang berceramah di sini pada Ahad dan sekali lagi malam Ahad ini manakala Presiden MCA Datuk Seri Dr Ling Liong Sik turut berada di bandar ini hari ini, yang kedua dalam minggu ini.

Dan cakap-cakap sekarang ialah bahawa pengundi akan membiarkan BN memegang kerusi negeri manakala Ngeh dan Kulasegaran dari DAP mewakili mereka di Parlimen. -- BERNAMA

Last changed: November 26, 1999