ReformIS

[ Contents | Post ]

PAS YAKIN BERKUASA LAGI DI KELANTAN

From:
Date: 25 Nov 1999
Time: 19:50:43

Comments

PAS YAKIN BERKUASA LAGI DI KELANTAN

KOTA BAHARU, 25 Nov (Bernama) -- Walaupun Umno yakin menawan Kelantan di bawah kepimpinan Tengku Razaleigh Hamzah, PAS tetap percaya ia akanterus berkuasa kerana Umno ia percayai masih mempunyai banyak kelemahan.

Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan, Wan Ismail Wan Jusoh berkata Umno menghadapi masalah calon kerana pergeseran antara anggota Umno dan bekas anggota Parti Melayu Semangat 46 yang menyertai semula Umno selepas pembubaran S46.

"Kerana itu PAS tidak melihat faktor Tengku Razaleigh sebagai memberi ancaman tetapi sebaliknya menguntungkan PAS. Umno mengutamakan bekasanggota S46 dalam pemilihan calon sehingga anggota yang bukan dari S46 berasa terhina," katanya kepada Bernama.

Wan Ismail, 44, bekas pensyarah Pendidikan Islam Universiti Teknologi Mara, adalah calon PAS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Melor bagi mencabar Ketua Penerangan Umno Kelantan, Datuk Zainal Abidin Abdul Kadir, yang merupakan penyandang kerusi.

Katanya politik berpuak-puak masih berlaku dalam Umno Kelantan antara penyokong Tengku Razaleigh dan penyokong Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Annuar Musa, yang juga Pengerusi BN Kelantan.

Sebaliknya, kata beliau PAS adalah padu dan tidak mempunyai masalah pemilihan calon.

PAS bertanding untuk 41 kerusi negeri dan memberikan dua kawasan kepada Parti Keadilan Nasional (Keadilan) manakala BN bertanding di kesemua 43 kerusi.

"Muka baru dalam politik Kelantan mempunyai impak terhadap trend pengundian," kata Wan Ismail.

Beliau sendiri antara muka baru PAS bagi kerusi negeri. Calon lain antaranya ialah Annuar Tan Abdullah (Kota Lama), satu-satunya calon PAS bukan Melayu, peguam yang juga Ketua Pemuda PAS Kelantan Takiyuddin Hassan(Bunut Payung) dan bagi kerusi Parlimen, Abdul Razak Abbas, bekas anggota S46 yang akan menentang Tengku Razaleigh Hamzah di Gua Musang.

PAS juga kali ini menurunkan beberapa calon muda yang dalam lingkungan usia 30-an. Yang paling muda ialah Baihaki Atiqullah, 26, (kerusi negeriPasir Tumboh), yang juga Ketua Pemuda PAS Lembah Pantai, Kuala Lumpur yang masih menuntut di peringkat sarjana.

Calonnya dari kalangan profesional dan usahawan pula ialah seperti pakar bedah perunding Dr Nik Mazian Nik Mohamad, 41, (kerusi negeri Gaal), Mohd Nasir Mat, 39, (Parlimen Jeli) dan Datuk Kamaruddin Jaafar, 48, (Parlimen Tumpat), bekas anggota yang dipecat daripada Umno kerana dikaitkan dengan bekas Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Anwar Ibrahim.

PAS juga masih meletakkan calon dari luar Kelantan misalnya Takiyuddin, 38, yang berasal dari Sik, Kedah walaupun jumlahnya telah dikurangkan.

Dalam pilihan raya umum 1995, Mohamad Sabu yang berasal dari Pulau Pinang memenangi kerusi Parlimen Kubang Kerian manakala Daeng Sanusi Mariok dari Johor pula menang di kawasan Parlimen Rantau Panjang.

Wan Ismail berkata antara faktor yang boleh mempengaruhi pengundi di Kelantan ialah parti, keluarga, sahabat handai dan sikap calon yang pandaimengambil hati.

Mengenai peluang PAS mengekalkan kerajaan negeri, beliau berkata daripada kajiannya dan maklumat balas yang diterimanya beliau yakin PAS akan memperolehi majoriti dua pertiga.

Wan Ismail berkata kekuatan PAS di Kelantan terletak kepada gaya kepimpinan Menteri Besar Datuk Nik Aziz Nik Mat, 68, yang disenangi rakyat.

"Orang Kelantan tidak ghairah dengan pembangunan. Mereka tidak bangga dengan bangunan-bangunan tinggi dan mereka faham kemampuan kerajaan negeri," katanya. -- BERNAMA

Last changed: November 25, 1999