ReformIS

[ Contents | Post ]

KENG YAIK TIDAK AKAN DIBERI LALUAN MUDAH

From:
Date: 25 Nov 1999
Time: 03:52:03

Comments

KENG YAIK TIDAK AKAN DIBERI LALUAN MUDAH, KATA PEMBANGKANG

Oleh Haikal Isa

IPOH, 25 Nov (Bernama) -- DAP dan Parti Demokratik Malaysia (MDP) mendakwa mereka telah menembusi kubu kuat Barisan Nasional (BN) di Beruas dan percaya pertarungan pada pilihan raya umum kali ini tidak akan menjadi semudah yang dijangkakan oleh BN.

Kedua-dua parti pembangkang itu yakin pertarungan kali ini akan menjadi lebih sengit berikutan isu-isu kontroversi yang menyelubungi penyandang kerusi parlimen Beruas, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik, Menteri Perusahaan Utama dan presiden parti Gerakan.

"Setakat kami berkempen, kami berpendapat peluang untuk mencapai kemenangan adalah 50-50," kata calon MDP untuk parlimen Beruas Abdul Roni Abdul Rahman, 47, seorang peguambela dan peguamcara syariah hari ini.

Abdul Roni, sebelum ini telah berkhidmat dengan kerajaan selama 20 tahun, antara lain sebagai Timbalan Pegawai Penasihat Undang-Undang Jabatan Kastam dan pegawai Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Pada pilihan raya umum 1995, Lim menewaskan calon DAP Chen Lim Piow dan dua calon bebas, Ramli Ariffin dan Tan Kiat Seng @ Shuk Yik dengan majoriti besar 11,254 undi.

Kali ini, beliau ditentang Abdul Roni dan calon DAP Simon Yew Teong Chong.

Abdul Roni berkata MDP sebagai parti alternatif kepada dua parti yang lain menjangka mendapat sokongan daripada anggota DAP yang tidak berpuas hati dengan pucuk pimpinan sekarang serta anggota parti komponen BN yang tidak menyetujui cara kerajaan mengendalikan isu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kami berada ditengah-tengah kedua-dua parti (BN dan DAP), kita tidak ekstrim dan lebih liberal," katanya.

Katanya, ramai penduduk di kampung-kampung Melayu mendakwa Lim telah mengetepikan masyarakat itu dan pada pilihan raya umum kali ini mereka akan mengundi bagi suatu perubahan.

"Banyak kampung yang kami lawat, mereka telah menunjukkan rasa tidak puas hati dan mereka mahukan perubahan. Perubahan yang mereka mahukan itu kemungkinan adalah MDP," kata Abdul Roni.

Bagaimanapun ketika ditanya mengenai jumlah keanggotaan partinya, beliau berkata, memandangkan parti itu baru ditubuhkan ia tidak mempunyai cawangan atau anggota di Beruas.

Calon DAP di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Remis David Ngah pula mendakwa Menteri Perusahaan Utama itu telah gagal membawa pembangunan di kawasan itu menyebabkan ramai anak mudanya telah ke Kuala Lumpur dan Singapura untuk mencari pekerjaan.

Kawasan DUN Pantai Remis dan Pengkalan Baharu terletak di dalam kawasan Parlimen Beruas.

"Sambutan rakyat adalah menggalakkan. Pertandingan di sini adalah 50-50," kata beliau.

Pengundi di Beruas berjumlah 41,857 dan majoritinya adalah Cina (54.5 peratus), Melayu (31.4 peratus), India (13.6 peratus) dan bangsa lain (0.5 peratus).

Kebanyakan daripada mereka bekerja sebagai nelayan dan pekebun kecil.

Ngah berkata, DAP juga akan membawa isu berkenaan kenyataan Lim tentang penoreh getah baru-baru ini bagi menarik sokongan daripada kaum India.

Beliau yakin bahawa Beruas akan mendapat wakil rakyat baru kali ini.

Bagaimanapun, Ketua MIC bahagian Beruas V.Sivasamy berkata, dakwaan Ngah tentang sokongan pengundi India terhadap DAP adalah tidak berasas dan mereka akan tetap berada di belakang Lim.

"Episod tersebut (kenyataan Dr Lim) itu telah tamat dan beliau telah memberi kenyataanya serta meminta maaf. Katanya, beliau cakap lain tetapi surat khabar tulis lain," katanya.

Sivasamy berkata, selepas kenyataan kontroversi itu beberapa siri mesyuarat telah diadakan dengan Dr Lim dan setiausaha politiknya bersama-sama Kesatuan Kebangsaan Pekerja Ladang (NUPW) dan kuil-kuil bagi menyelesaikan perkara itu.

Beliau berkata, Dr Lim telah memberikan bantuan sebanyak RM200,000 kepada masyarakat India setiap tahun dan akan menambah jumlah itu setiap kali beliau melakukan lawatan.

Sementara itu, Pengarah Operasi Pilihan Raya parti Gerakan di Beruas Chee Pong Eng juga berkata, isu mengenai kenyataan kontroversi Dr Lim itu telah tamat dan beliau telah memberi keterangan mengenainya beberapa kali.

Katanya, setakat ini apa yang dilihat berkenaan perjalanan kempen pilihan raya Gerakan adalah ia berjalan dengan baik dan keadaan di peringkat akar umbi menunjukkan mereka akan menang.

Last changed: November 25, 1999