From:
Date: 25 Nov 1999
Time: 00:04:37
Sayalah Melayu Yang Akan Undi DAP
Saya seorang guru yang berkhidmat di negeri Johor. Dianggarkan 90 % kakitangan kerajaan di negeri ini tidak akan mengundi BN pada pilihanraya nanti. Saya yakin... Saya tinggal di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai Johor Bahru.
Di sini akan menyaksikan pertandingan 2 penjuru di antara BN dan DAP iaitu semua calon bukan Melayu. Saya dan isteri saya sudah bertekat untuk mengundi DAP dalam pilihanraya nanti kerana di sini tiada calon PAS atau KEADILAN. Kami tak kisah, kerana pertarungan sekarang adalah antara kezaliman dan kebenaran.
Maka kami tak takut pilih DAP. Beberapa orang jiran dan rakan sepejabat yang berada di Parlimen dan DUN ini juga menyatakan akan mengundi DAP. Kami orang Melayu di sini tidak kenal calon DUN Skudai DAP iaitu Dr. Boo Cheng Hau dan Parlimen Gelang Patah, Norman Joseph Fernandez secara dekat.
Nasihat saya, DAP jangan takut kepada kami pengundi Melayu, kerana pertarungan di sini adalah semua calon bukan Melayu, kerana ramai penduduk di taman perumahan ini bersikap terbuka sekarang. Kami kakitangan kerajaan di Johor hidup dalam kesusahan, dan rintihan kami tidak pernah terbela. Jangan ingat kami kakitangan kerajaan hidup senang. Gaji saya RM 1080.00 sebulan manakala isteri saya guru agama, gaji 760.00 sebulan. Bila dicampur jumlah pendapatan kami adalah RM 1840 sebulan.
Sewa rumah kami RM 550.00 sebulan. Anak saya 2 orang, dan dihantar kepada nursery RM 300.00 sebulan. Saya pakai kereta Mazda lama (tahun 1986) dan bayar kredit RM 386.00 sebulan. Bila ditolak perbelanjaan makan, minyak kereta dan sebagainya, hidup kami dalam kesempitan setiap hujung bulan. Barisan Nasional kata orang Johor Bahru hidup mewah, semuanya bohong belaka.
Rakan saya yang duduk di rumah kerajaan kena bayar sehingga RM 500.00 sebulan di Bukit Cagar dan RM di Bukit Saujana, itu pun tempatnya terhad. Saya terpaksa menyewa sendiri.
Kami harap, wakil pembangkang, tidak kira PAS, Keadilan, PRM atau DAP nanti akan ketengahkan nasib kami. Kami bukan kuli kepada pemerintah yang hidup mewah dengan banglo dan kondominium mewah. Sepatutnya semua kakitangan kerajaan di negeri Johor ini diberi rumah percuma dengan ditolak elaun perumahan sahaja.
Sewa rumah di sini terlalu tinggi. Rumah flat 2 bilik sahaja sudah RM 400.00, juga sudah dikira tinggi. Sekali lagi saya ulangi, sekiranya DAP menang di DUN Skudai dan Parlimen Gelang Patah, itu maknanya sebilangan undi Melayu telah pergi kepada DAP termasuk saya dan kakitangan di negeri Johor ini. Saya menyeru semua kakitangan kerajaan,golongan profesional, penduduk setinggan, pemandu teksi, peniaga kecil, buruh kasar dan sebagainya mengundi Barisan Alternatif untuk mempunyai wakil di DUN dan Parlimen. ....Ayuh...kita perjuangkan nasib kita sendiri.
Abang Zam