ReformIS

[ Contents | Post ]

BA Kurang Mampu ?

From:
Date: 24 Nov 1999
Time: 23:47:01

Comments

BA Kurang Mampu ?

Seperti yang digembar-gemburkan di media massa milik kroni-kroni pemerintah, kemampuan pihak Barisan Alternatif untuk memerintah Malaysia adalah kurang menyakinkan. Tambah mereka lagi tidak seperti Barisan Nasional yang telah mempunyai pengalaman selama 42 tahun memerintah Malaysia, pihak Barisan Alternatif ternyata tidak mempunyai bukti-bukti kukuh untuk menunjukkan kemampuannya untuk memerintah. Di samping itu mereka juga menuduh pakatan-pakatan parti pembangkang di dalam Barisan Alternatif adalah bersifat sementara dan tidak kukuh kerana masing- masing mempunyai ideologi yang berbeza.

Agak mengejutkan juga Malaysia sebagai sebuah negara yang dilaung-laungkan sedang menuju ke arah negara maju, masih ramai lagi antara rakyat Malaysia yang kurang matang dalam percaturan politik semasa dan masih ragu-ragu untuk melakukan perubahan besar-besaran dengan mengubah kerajaan yang memerintah buat masa ini iaitu Barisan Nasional. Jika kita melihat senario politik semasa di negara-negara maju seperti di Amerika Syarikat, England, Jepun, Jerman dan Perancis pertukaran parti yang memerintah adalah perkara yang normal. Ianya sedikitpun tidak menjejaskan kestabilan pentadbiran kerajaan yang baru mengambil alih tampuk pemerintahan. Malah apa yang lebih jelas adalah pihak yang memerintah akan lebih berhati-hati dalam mencaturkan pentadbiran negara mereka kerana mereka tahu rakyat mereka yang telah matang dalam berpolitik tidak akan segan silu untuk menukar kerajaan mereka jika mereka gagal melaksanakan tanggungjawab mereka.

Kesimpulan yang boleh kita buat di sini adalah rakyat Malaysia yang masih takut-takut untuk mengubah kerajaan yang memerintah adalah terdiri dari golongan yang masih belum matang dari segi pemikiran berpolitik. Walaupun bukti-bukti tentang ketidak telusan pihak Barisan Nasional dalam mentadbir negara sehingga membangkitkan gejala rasuah, kronisme, nepotisme dan segala bentuk kezaliman yang berleluasa di pelbagai lapisan strata masyarakat Malaysia yang telah tersebar secara menyeluruh, namun masih ramai rakyat Malaysia yang memandang sinis ke atas usaha-usaha Barisan

Alternatif untuk merubah corak pentadbiran dalam kerajaan Malaysia. Malaysia yang kita anggap begitu mewah sebenarnya hanya indah khabar dari rupa. Realitinya jika corak pentadbiran yang jujur dan telus seperti yang diperjuangkan oleh Barisan Alternatif berjaya dilaksanakan sudah pasti Malaysia yang kaya dengan pelbagai sumber asli serta mempunyai rakyat yang rajin akan pasti mengecapi kemakmuran dan kemewahan pada tahap yang lebih tinggi yang dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia dan bukan hanya segelintir kroni-kroni dan keluarga-keluarga pemimpin- pemimpin Barisan Nasional.

Jika kita melihat kepada komposisi pemimpin-pemimpin Barisan Alternatif, ternyatalah ianya terdiri dari gabungan mantap dari golongan-golongan professional, ulama'-ulama', cendiakawan- cendiakawan dan para pejuang hak asasi manusia yang aktif melalui pertubuhan-pertubuhan NGO. Di Barisan Alternatif juga kita tidak miskin dengan pakar-pakar dari pelbagai bidang baik dari segi ekonomi, sosial-kemasyarakatan, perundangan, perubatan, keagamaan, pendidikan dan bermacam- macam bidang yang lain. Malah Perdana Menteri yang di cadangkan oleh Barisan Alternatif iaitu Dato Seri Anwar Ibrahim juga telah mempunyai pengalaman yang meluas dalam pentadbiran negara kerana pengalamannya selama 16 tahun dalam kabinet kerajaan Malaysia pasti akan dimanfaat sepenuhnya oleh beliau. Dengan gabungan yang sungguh menyeluruh ini kita amat yakin dengan keupayaan Barisan Alternatif dalam merencanakan dasar-dasar kerajaan. Kita harus faham menteri- menteri kabinet hanya membuat dasar-dasar. Perlaksanaan ke atas dasar-dasar tersebut akan dijalankan oleh pekerja-pekerja sektor kerajaan.

Jika Barisan Alternatif berjaya memenangi pilihanraya ke 10 ini yang bertukar hanyalah menteri- menteri kabinet serta dasar-dasar kerajaan yang telah lapuk dan merugikan rakyat. Dasar-dasar yang menguntungkan rakyat akan terus dijalankan dan yang penting sekali perlaksanaan dasar- dasar kerajaan Barisan Alternatif akan tetap dijalankan oleh pekerja sektor swasta yang memang mempunyai pengalamanyang meluas dalam kementerian masing-masing. Dengan ini isu tentang Barisan Alternatif tidak ada pengalaman tidak timbul lagi.

Lagi satu isu yang selalu dimainkan oleh pendokong-pendokong Barisan Nasional ialah jika Barisan Alternatif menang mereka tidak mempunyai dana yang cukup untuk memerintah Malaysia. Ternyatalah ini satu hujjah yang amat bodoh. Jika kita teliti belanjawan negara yang dibentangkan di parlimen setiap tahun, jelas ianya menunjukkan hasil pendapatan kerajaan Malaysia majoritinya datang dari pelbagai bentuk cukai yang dikenakan ke atas rakyat Malaysia dan bukannya datang dari poket pemimpin-pemimpin Barisan Nasional. Sebagai contohnya biasiswa-biasiswa untuk pengajian tinggi (jika masih ada) bukannya keluar dari poket Menteri Pendidikan, tetapi dari rakyat Malaysia yang membayar cukai. Begitu juga dalam segala bentuk pembangunan yang telah dijalankan di Malaysia, pemimpin-pemimpin ataupun parti-parti komponen Barisan Nasional tidak mengeluarkan satu sen pun, malah apa yang sebaliknya berlaku merekalah yang merompak kekayaan yang sepatutnya milik rakyat Malaysia untuk kepentingan kroni-kroni mereka. Oleh itu sekiranya Barisan Alternatif memerintah hasil pendapatan untuk mentadbir negara Malaysia akan tetap ada malah dengan dasar-dasar yang telus serta tidak membazir Kerajaan Malaysia yang diterajui oleh Barisan Alternatif dapat memaksimumkan penggunaan dana untuk pentadbiran itu untuk kesejahteraan rakyat Malaysia secara menyeluruh.

Pihak Barisan Nasional sekarang ini sedang sibuk menuduh bahawa pakatan parti-parti alternatif hanyalah bersifat sementara ataupun perkahwinan kontrak yang hanya bertujuan untuk mengalahkan Barisan Nasional. Parti-parti alternatif hanya tidur sebantal, tetapi mimpi lain-lain. Pelik sungguh, saya belum pernah berjumpa dengan orang yang tidur sebantal dan melalui mimpi yang sama secara serentak ! Secara normalnya manusia memang mempunyai mimpi yang berbeza-beza antara satu sama lain. Kita memang akui memang ada sedikit perbezaan dalam ideologi parti-parti alternatif. Tetapi perbezaan-perbezaan ini dapat diketepikan diatas nama keadilan dan perjuangan untuk menentang segala bentuk kezaliman, rasuah dan penyelewengan yang telah dilakukan oleh pihak Barisan Nasional. Untuk membuktikan kekukuhan perikatan parti-parti alternatif ini, sebuah manifesto bersama yang bakal menjadi dasar-dasar kerajaan Barisan Alternatif telah berjaya dihasilkan, pembentangan belanjawan alternatif telah berlangsung sehari sebelum Belanjawan 2000 dibentangkan di parlimen dan yang penting sekali parti-parti alternatif ini telah bersetuju untuk melantik Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke 5 sekiranya pakatan mereka berjaya menumbangkan Barisan Nasional dalam pilihanraya ke 10 ini. Tambah lagi dalam sejarah pilihanraya di Malaysia, tahun ini merupakan jumlah yang terbanyak dimana pertandingan satu lawan satu di kerusi-kerusi parlimen dan dewan undangan negeri. Ini jelas membuktikan pakatan Barisan Alternatif bukanlah omongan-omongan kosong. Pakatan ini serius dan ternyata Barisan Nasional gentar dengan pakatan ini lalu mereka cuba untuk memecah-belahkan perpaduan antara parti-parti alternatif.

Jelaslah sekarang ini kemampuan barisan Alternatif tidak harus dipertikaikan. Kita amat yakin dengan dasar-dasar yang bakal dibawa oleh Barisan Alternatif, kita akan memasuki ke abad 21 dengan sistem pentadbiran yang telus, adil dan seluruh rakyat Malaysia akan menikmati kehidupan yang aman, damai, makmur dan mewah. Barisan Alternatif sudah bersedia untuk memerintah, kini terpulang kepada rakyat Malaysia untuk menentukan siapakah yang mereka inginkan untuk menerajui kerajaan Malaysia. Ayuh rakyat Malaysia, lakukan perubahan dalam pilhanraya yang ke 10 ini. Marilah kita jatuhkan kerajaan Barisan Nasional yang penuh dengan rasuah, kronisme, nepotisme dan berbagai bentuk kezaliman.

AKOB THE GREAT

Last changed: November 24, 1999