From:
Date: 24 Nov 1999
Time: 23:11:30
KEADILAN TIDAK SOKONG CALON BEBAS BANDAR KUCHING
KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Parti Keadilan Nasional (Keadilan) tidak menyokong calon bebas Dominic Ng yang bertanding kerusi Parlimen Bandar Kuching pada pilihan raya umum ini, kata timbalan presidennya Dr Chandra Muzaffar.
Chandra juga menafikan khabar angin di Kuching bahawa kepimpinan pusat Keadilan menyokong Ng, bekas anggota parti itu. "Sama ada Dominic Ng menang atau tewas dalam pilihan raya itu, beliau tidak akan diterima semula menganggotai Keadilan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata Keadilan, PAS, DAP dan Parti Rakyat Malaysia dalam pakatan pembangkang yang menggelarkan diri mereka sebagai Barisan Alternatif, memutuskan untuk tidak menerima bekas anggota parti-parti pembangkang yang bertanding sebagai calon bebas yang menentang calon-calon mereka.
Keadilan juga menggesa para pengundi di Bandar Kuching untuk menyokong calon DAP yang bertanding bagi kerusi itu, kata Chandra. -- BERNAMA