ReformIS

[ Contents | Post ]

NIK AZIZ MAHU UMNO BUKTIKAN PEMBANGKANG TERIMA BANTUAN ASING

From:
Date: 24 Nov 1999
Time: 23:06:30

Comments

NIK AZIZ MAHU UMNO BUKTIKAN PEMBANGKANG TERIMA BANTUAN ASING

KOTA BAHARU, 24 Nov (Bernama) -- Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat mahu Pergerakan Pemuda UMNO mengemukakan bukti berhubung dakwaannya bahawa parti-parti pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menerima bantuan daripada perwakilan asing.

Menteri Besar Kelantan itu berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Majlis Hal Ehwal Antarabangsa Pergerakan Pemuda UMNO Abdul Azim Zabidi yang meminta kerajaan menyiasat cubaan beberapa perwakilan asing di negara ini untuk memberi bantuan kewangan dan sokongan kepada pembangkang dan NGO menjelang pilihan raya umum Isnin ini.

Nik Aziz berkata sesuatu dakwaan tidak mempunyai sebarang makna jika tidak disokong oleh bukti yang kukuh.

Ketika ditanya sama ada beliau menganggap penerimaan bantuan luar sebagai suatu kesalahan, beliau berkata; "Itu saya tak mahu cakap."

Bagaimanapun beliau berkata PAS kerap menerima derma daripada rakyat tempatan dalam bentuk biskut, gula, poster dan wang setiap kali menjelang pilihan raya.

"Tetapi muka mereka adalah muka orang Kelantan belaka, tak ada orang dari negeri luar dan tak ada orang dari negara asing," katanya.

-- BERNAMA

Last changed: November 24, 1999