ReformIS

[ Contents | Post ]

PERMOHONAN PBS HALANG PILIHAN RAYA DITOLAK

From:
Date: 24 Nov 1999
Time: 23:01:45

Comments

PERMOHONAN PBS HALANG PILIHAN RAYA DITOLAK

KOTA KINABALU, 24 Nov (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Parti Bersatu Sabah bagi mendapatkan injunksi menghalang pilihan raya Parlimen 29 Nov di Sabah.

Hakim Datuk Azahar Ma'ah yang membuat keputusan itu dalam kamar memutuskan bahawa sudah terlambat untuk meminda usul bagi menghalang pilihan raya itu.

Beliau memutuskan bahawa sesuatu injunksi yang wujud dalam bidang kuasa mahakmah tidak dapat digunakan untuk menghalang pilihan raya kerana alasan dasar umum.

Mahkamah juga memutuskan bahawa tempat yang betul untuk membersihkan senarai pemilih ialah menerusi bantahan yang dikemukakan semasa semakan semula senarai pemilih.

Peguam bagi PBS Yunof Maringking memberitahu pemberita bahawa parti itu akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

Katanya PBS telah memfaikan writ saman berasingan daripada permohonan kepada Suruhanjaya Pilihanraya menerusi Peguam Negara.

Suruhanjaya Pilihanraya telah dinamakan sebagai defendan pertama, Pegawai Pilihan Raya Negeri Sabah sebagai defendan kedua, Pegawai Pendaftaran bagi kesemua 20 kawasan Parlimen bagi Sabah sebagai defendan ketiga dan Pegawai Pilihan Raya bagi kesemua 20 kawasan parlimen bagi Sabah sebagai defendan keempat.

Peguam Kanan Persekutuan Noraini Zulkifli dan Bazain Idris hadir bagi pihak keempat-empat defendan itu.

PBS memfailkan permohonan itu pada 19 Nov memohon perintah menghalang pilihan raya Parlimen di Sabah.

Dalam permohonannya, PBS memohon injunksi untuk menghalang keempat-empat defendan daripada mengadakan penamaan calon bagi kesemua 20 kawasan Parlimen di Sabah sehingga selesai semakan semula senarai pemilih negeri 1998 yang sedang diadakan sekarang.

Parti itu juga memohon diisytiharkan bahawa senarai pemilih 1998 bagi kesemua 20 kawasan Parlimen itu adalah palsu atau semua bukan warganegara Malaysia yang didaftarkan itu adalah tidak sah dan tidak mematuhi Perlembagaan.

-- BERNAMA

Last changed: November 24, 1999