ReformIS

[ Contents | Post ]

PENDENGARAN RAYUAN PENDAKWAAN TERHADAP KES AZMIN DITANGGUH

From:
Date: 24 Nov 1999
Time: 21:58:13

Comments

PENDENGARAN RAYUAN PENDAKWAAN TERHADAP KES AZMIN DITANGGUH

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Pendengaran rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang telah membebaskan bekas setiausaha sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Azmin Ali daripada tuduhan memberi keterangan palsu telah ditangguh hingga satu tarikh yang akan ditetapkan.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Wahab Patail membenarkan permohonan penangguhan itu yang dibuat oleh peguam Philip Adolphus yang menyebut bagi pihak peguam Azmin, C.V. Prabhakaran, kerana Prabhakaran sakit dan tidak dapat hadir di mahkamah hari ini.

Abdul Wahab kemudiannya menangguhkan pendengaran rayuan itu ke satu tarikh lain yang akan ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar.

Pada 13 Julai lepas, Mohd Azmin telah dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil untuk membela diri oleh hakim mahkamah sesyen Hamdan Indah terhadap tuduhan memberi keterangan palsu pada prosiding perbicaraan kes rasuah bekas timbalan perdana menteri itu.

Hamdan telah memutuskan demikian setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Azmin, 34, yang kini merupakan calon parti Keadilan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri, Hulu Kelang, pada pilihan raya 29 Nov ini.

Azmin telah didakwa mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Philip telah memohon mahkamah supaya menetapkan pendengaran rayuan itu pada bulan Mac depan atas alasan Azmin akan menunaikan umrah pada bulan Disember ini.

Katanya, Azmin juga mempunyai dua kes lain pada bulan Januari dan Februari tahun depan di Mahkamah Majistret. Dalam kes itu, Azmin adalah antara beberapa pemimpin Keadilan yang dituduh menyertai perhimpunan haram di Jalan Sultan Mohamad dan di perkarangan Masjid Negara pada 19 Sept lepas.

Bagaimanapun, hakim Abdul Wahab berkata bahawa tarikh pendengaran bagi kes-kes bukannya ditetapkan oleh peguam tetapi ditetapkan pada tarikh yang bersesuaian dengan mahkamah.

Azmin hadir di mahkamah hari ini bersama-sama isterinya Shamshidar Taharin. -- BERNAMA

Last changed: November 24, 1999