ReformIS

[ Contents | Post ]

DAP CABAR PEMUDA UMNO KEMUKA BUKTI PEMBANGKANG TERIMA BANTUAN ASING

From:
Date: 24 Nov 1999
Time: 21:50:52

Comments

DAP CABAR PEMUDA UMNO KEMUKA BUKTI PEMBANGKANG TERIMA BANTUAN ASING

SEREMBAN, 24 Nov (Bernama) -- DAP mencabar Pergerakan Pemuda Umno supaya mengemukakan bukti kukuh terhadap dakwaannya yang tiga suruhanjaya tinggi dan satu kedutaan asing cuba memberi bantuan kewangan dan sokongan kepada parti-parti pembangkang serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menghadapi pilihan raya umum ini.

Pengerusi DAP Kebangsaan Dr Chen Man Hin berkata, tuduhan yang dilemparkan oleh Pemuda Umno itu adalah tuduhan liar dan tidak berasas sama sekali.

"DAP meminta (Pemuda Umno) supaya jangan buat tuduhan liar jika tidak ada bukti," kata beliau pada persidangan media di sini, hari ini.

Beliau juga menganggap tindakan Pemuda Umno itu tidak adil sama sekali.

Pemuda Umno di muka depan sebuah akhbar tempatan berbahasa Melayu hari ini meminta kerajaan menyiasat cubaan tiga suruhanjaya tinggi iaitu Kanada, Australia dan Britain dan kedutaan Amerika Syarikat yang dikatakan cuba memberi bantuan kewangan dan sokongan kepada parti-parti pembangkang dan NGO.

Menurut akhbar itu, pegawai kanan suruhanjaya dan kedutaan terbabit turut dilihat turun padang untuk bertemu orang politik dan mendengar ceramah di samping hadir pada persidangan media parti pembangkang.

Perkara itu didedahkan oleh Pengerusi Majlis Hal Ehwal Antarabangsa Pergerakan Pemuda Umno, Abdul Azim Zabidi.

Mengenai peluang DAP di Negeri Sembilan, Dr Chen, calon DAP bagi kerusi Parlimen Rasah dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Temiang berkata, DAP mempunyai peluang 50-50 untuk memenangi kerusi Parlimen Rasah, DUN Temiang, DUN Mambau dan DUN Lobak. Beliau menentang dua calon BN, iaitu Datuk Goh Siow Huat (Rasah) dan Lee Yuen Fong (Temiang).

Di kawasan lain, DAP mempunyai peluang 40-60 dengan Barisan Nasional (BN), katanya.

Kawasan lain yang ditandingi DAP ialah di Parlimen Telok Kemang dan Seremban dan kerusi DUN di Chennah, Bahau, Repah, Nilai, Rahang, Si Rusa dan Lukut.

Beliau turut mengakui sukar bagi pakatan pembangkang yang dikenali sebagai Barisan Alternatif merampas pemerintahan Kerajaan Negeri dan menegaskan bahawa matlamat mereka ialah menafikan majoriti dua per tiga kepada kerajaan BN. DAP, PAS dan parti Keadilan negeri hanya meletakkan sasaran 6-6-6 kerusi untuk dimenangi. -- BERNAMA

Last changed: November 24, 1999