ReformIS

[ Contents | Post ]

SAYA SEBUT "LAWAN," BUKAN "BERTANDING", KATA HARUN DIN

From:
Date: 23 Nov 1999
Time: 23:15:09

Comments

SAYA SEBUT "LAWAN," BUKAN "BERTANDING", KATA HARUN DIN

KANGAR, 24 Nov (Bernama) -- Anggota Jawatankuasa PAS Pusat Datuk Harun Din berkata beliau tidak pernah menyebut perkataan mahu "bertanding" pada pilihan raya umum ke-10 ini dan mendakwa media massa telah menyalahtafsirkan apa sebenarnya yang diperkatakan.

Menurut beliau, dalam ucapan-ucapannya selama ini, beliau hanya menyebut perkataan "melawan".

"Saya guna perkataan lawan. Lawan maknanya lawan idea...itu satu perlawanan. Lawan konsep...itu satu perlawanan. Berlawan jawab pertuduhan...itupun satu perlawanan," katanya kepada pemberita selepas berceramah di Kampung Jejawi Dalam malam tadi.

Dalam ceramahnya yang dihadiri lebih 1,000 orang itu, beliau mencabar sesiapa sahaja termasuk media massa membuktikan yang beliau pernah bercakap akan bertanding pada pilihan raya 29 Nov ini.

"Media sebut saya akan bertanding, itu tak betul sebab saya yang umumkan (penyenaraian calon PAS negeri Perlis) bahawa saya sebagai calon simpanan," katanya.

"Bila sebut simpanan, maka dia tak berlawanlah," kata Harun.

Ketika ditanya walaupun sebagai calon simpanan, itu sudah jelas menunjukkan ada kemungkinan beliau bertanding juga, Harun menjawab: "Tetapi saya pilih (untuk) tak bertanding."

Harun ditanya bertalu-talu mengenai pendiriannya itu dan beliau tetap tidak memberi jawapan yang jelas.

Dua hari sebelum hari penamaan calon, Harun mengumumkan nama-nama calon Barisan Alternatif (BA) yang akan bertanding di tiga kawasan Parlimen dan 15 kerusi dewan undangan negeri Perlis termasuk namanya sebagai calon simpanan.

Beliau sebelum ini disebut-sebut akan mencabar Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim di kawasan dewan undangan negeri Tambun Tulang.

Beliau juga disebut-sebut akan bertanding di Kedah di kawasan Parlimen Kubang Pasu mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

Harun berkata selama dua hari ini di Perlis beliau telah menjelaskan sebab-sebab beliau tidak bertanding dan penerangannya itu diterima anggota parti.

Ketika ditanya sama ada penjelasan beliau mengenai kes hutang orang yang dijaminnya (yang dikatakan menjadi punca beliau tidak bertanding) dapat diterima anggota parti walaupun tanpa disokong bukti-bukti kukuh, beliau berkata: "Kami orang PAS amat percaya kepada kenyataan orang yang macam saya. Tak payah ada bukti yang lebih jauh."

Beliau juga diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam bahawa beliau (Harun) telah mengkhianati anggota PAS Perlis kerana tidak bertanding pada pilihan raya umum ini.

"Itulah nilai pemimpin kita. Bila kerana tak ada perlawanan, saya sampai dicapkan sebagai seorang yang telah khianati perjuangan. Apakah dengan ambil sikap tak bertanding itu dipanggil mengkhianati?"

-- BERNAMA

Last changed: November 23, 1999