ReformIS

[ Contents | Post ]

PERMATANG PAUH : PILIH WAN AZIZAH TOLAK IBRAHIM SAAD

From:
Date: 23 Nov 1999
Time: 20:32:52

Comments

PERMATANG PAUH : PILIH WAN AZIZAH TOLAK IBRAHIM SAAD

Satu-satunya pertandingan yang paling menarik dan strategik bagi Barisan Alternatif(BA) dan Barisan Nasional(BA) ialah pertandingan merebut kerusi Parlimen Permatang Pauh. Kawasan Parlimen Permatang Pauh meliputi 3 Dewan Undangan Negeri iaitu Seberang Jaya,Permatang Pasir dan Penanti. Kawasan Parlimen Permatang Pauh terdiri daripada 67 % Melayu,27 % Cina, 5 % India dan 1% Lain-lain.

Permatang Pauh adalah kubu kuat UMNO setelah Datuk Seri Anwar Ibrahim(DSAI) memenanginya pada 1982 dengan majoriti yang besar. Kawasan ini pernah diwakili oleh PAS pada satu ketika dulu. Apa yang menarik dalam pilihanraya kali ini ialah keluarga calon-calon yang bertanding iaitu Datin Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail dan Datuk Dr.Ibrahim Saad sememangnya sahabat baik. Dr.Ibrahim Saad adalah bekas setiausaha politik DSAI dan hubungan mereka ibarat isi dengan kuku.

DSAI yang mencadangkan perlantikan Dr.Ibrahim Saad sebagai Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang setelah Dr.Ibrahim menang dalam pilihanraya 1990 lalu. Apabila kepopularan Dr.Ibrahim Saad sebagai Timbalan Ketua Menteri menurun,DSAI membawa Dr.Ibrahim Saad masuk kerajaan pusat, setelah Dr.Ibrahim Saad memenangi kerusi Parlimen Tasik Gelugor pada 1995.

Apabila DSAI dipecat dan diaibkan Dr.Ibrahim Saad terus kekal dalam UMNO dan menyokong sepenuhnya tindakan-tindakan Mahathir dan sekutunya. Siapa sangka dua orang kawan karib yang pernah berjuang sehidup semati tiba-tiba menjadi musuh.

Bagi Dr.Wan Azizah Wan Ismail, Permatang Pauh adalah kubu yang perlu dipertahankan walau dengan apa cara sekali pun. Dr.Wan Azizah Wan Ismail perlu melakukan sesuatu bagi menebus maruah DSAI yang telah dicemari dengan pelbagai cemohan dan tomahan yang dilemparkan oleh Mahathir, UMNO dan BN setelah DSAI dipecat sebagai TPM dan daripada UMNO.

Mahathir meletakkan Dr.Ibrahim Saad di Permatang Pauh dengan tujuan untuk mengembalikan maruah UMNO yang terbukti berpecah belah akibat peristewa pemecatan DSAI. Mahathir juga berharap melalui Dr.Ibrahim Saad, seorang sahabat baik DSAI, dapat memulihkan kepercayaan pengundi-pengundi Permatang Pauh kepada UMNO.

Mengapa Mahathir meletakan Dr.Ibrahim Saad di Permatang Pauh? Kenapa tidak letakan calon lain? Kenapa tidak dikekalkan Dr.Ibrahim Saad di Tasik Gelugor? Apakah Mahathir benar-banar mahu Dr.Ibrahim Saad menebuskan maruah dan prestasi UMNO Permatang Pauh yang sudah hancur berkecai itu, ataupun menjadikan Dr.Ibrahim Saad sebagai "kerbau sembelihan" dengan tujuan untuk menamatkan karier politik Dr.Ibrahim Saad sekiranya beliau tewas nanti? Dengan cara demikian ,sedikit demi sedikit saki baki ‘orang DSAI’ dihapuskan. Kita sama-sama saksikan nanti.

Prestasi Dr.Ibrahim Saad sebagai bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang dan pemimpin UMNO Pulau Pinang bukanlah bagus sangat. Semasa menjawat jawatan Timbalan Ketua Menteri Dr.Ibrahim Saad sering dikaitkan dengan beberapa skandal rasuah dan salahanguna kuasa. Rata-rata orang Pulau Pinang mengenali Dr.Ibrahim Saad sebagai "Mr.10%".

Apa gunanya pengundi-pengundi Permatang Pauh memilih Dr.Ibrahim Saad sebagai wakil rakyat sedangkan saudara-saudari tahu prestasinya Dr.Ibrahim Saad semasa menjadi Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang dulu dicemari dengan amalan rasuah dan skandal yang berbagai-bagai .

Apabila DSAI dipecat,diaibkan dan dipukul teruk oleh Rahim Noor, Dr.Ibrahim Saad mendiamkan diri saja tidak berani bersuara. Apakah pengundi-pengundi Permatang Pauh mahu memilih seorang wakil rakyat yang pengecut,bacul dan tunduk kepada kemahuan-kemahuan Mahathir saja?

Inilah masa bagi para pengundi Permatang Pauh patut membersihkan nama baik DSAI daripada segala tomahan dan tuduhan yang tidak berasas itu.Kemenangan Dr.Wan Azizah akan menjadi satu tamparan dan ajaran kepada Mahathir,UMNO dan BN bahawa rakyat Permatang Pauh tidak mudah ditipu,tapi tahu menilai antara yang benar dengan yang salah.

Bagi Dr.Wan Azizah Wan Ismail pertandingan ini akan menentukan nasib masa depan beliau dalam arena politik tanahair dan keutuhan Parti Keadilan Nasional yang dipimpinnya. Jika Dr.Wan Azizah Wan Ismail menang bererti bersinarlah karier politik Dr.Wan Azizah Wan Ismail menuju ke tahun 2000 akan datang.

Jika Dr.Wan Azizah Wan Ismail tewas bererti pengundi-pengundi Permatang Pauh merestui tuduhan dan tomahan liar Mahathir,UMNO dan BN itu terhadap DSAI. Para pengundi Permatang Pauh juga secara tidak langsung bersubahat dengan Mahathir,menteri-menterinya,UMNO.BN,Peguam Negara, para Hakim,Rahim Thamby Chik dan tidak lupa Rahim Noor yang telah membelasah DSAI hampir mati dalam satu konspirasi politik untuk menjatuhkan DSAI.

Para pengundi Permatang Pauh,marilah kita ramai-ramai pilih Dr.Wan Azizah Wan Ismail sebagai wakil rakyat kita. Kita tolak serta pencenkan Dr.Ibrahim Saad dari arena politik buat selama- lamanya. Pastikan saudara saudari pilih Dr.Wan Azizah Wan Ismail sebagai wakil rakyat Permatang Pauh !

PILIH DR.WAN AZIZAH WAN ISMAIL ,UNDI BARISAN ALTERNATIF !!

Last changed: November 23, 1999