ReformIS

[ Contents | Post ]

Benarlah UMNO bagaikan agama

From:
Date: 23 Nov 1999
Time: 20:25:40

Comments

Benarlah UMNO bagaikan agama

Kita selalu mendengar kenyataan-kenyataan berikut daripada pemimpin-pemimpin UMNO: "Kepentingan parti mengatasi segalanya." Dr. Ibrahim Saad ketika mengulas desas-desus yang mengatakan beliau akan menyertai Parti KeADILan dipetik sebagai pernah berkata bahawa di antara kawan dan parti, beliau akan memilih parti. Dr. Mahathir sendiri pernah membuat kenyataan berhubung dengan isu Anwar dengan mengatakan bahawa individu tidak penting; yang penting adalah parti. Menurutnya, individu datang dan pergi tetapi parti terus kekal.

Kenyataan pemimpin-pemimpin UMNO itu membayangkan akhlak dan budaya politik, malah ideologi UMNO masakini.

Kesimpulan yang dapat dibuat daripada akhlak dan budaya politik sebegini adalah bahawa:

a.keadilan tidak penting jika keadilan itu merosakkan parti. b.Kezaliman mesti dipertahankan atau sekurang-kurangnya dibiarkan jika kezaliman itu mengukuhkan parti. c.Kebenaran (the truth) boleh dikuburkan jika mengukuhkan parti. d.Amanah dan tanggungjawab tidak penting jika ia mengakibatkan perpecahan dalam parti. e.Akhlak tidak penting jika parti tidak sukakannya. f.Kehendak agama boleh diketepikan jika kehendak itu menjatuhkan imej parti.

Bertolak daripada kesimpulan itu, kita boleh bertanya: "parti itu apa benda?"

Mendalami kenyataan-kenyataan tersebut dan kesan-kesan daripada kenyataan tersebut terhadap akhlak dan budaya politik dari segi ilmu sains sosial, pertubuhan sebegitu dianggap seolah-olah sebagai satu agama baru kerana ia diberi ciri-ciri kudus agama oleh ahli-ahlinya.

Satu ciri penting agama ialah dogma agama adalah tetap dan dogma inilah yang membentuk dan mengindoktrinasikan penganut atau ahlinya, bukannya penganut atau ahlinya yang membentuk dogma agama itu.

Manakala bagi pertubuhan atau kumpulan sosial, bukan dogmanya yang membentuk ahli-ahlinya tetapi ahli-ahlinya yang membentuk dogma pertubuhan atau kumpulan sosial itu. Sebab itu, apabila berubah kepimpinan, maka berubahlah dogma pertubuhan atau kumpulan itu walaupun perubahan itu tidak banyak.

Oleh sebab itu, kita melihat dasar, pembawaan dan juga akhlak/budaya politik sesuatu parti atau pertubuhan sentiasa berubah dengan berubah pemimpin atau ahli-ahli yang menganggotainya. Parti atau pertubuhan tidak ada nilai kudus dan kerana itu ahli-ahlinya boleh mengubahnya.

Tetapi bagi UMNO kini, parti itulah yang membentuk dogma ahli-ahlinya, bukannya lagi ahli-ahlinya yang membentuk dogma parti. Dan, dogma parti itu pula seolah-olah ditetapkan oleh seorang saja, manakala yang lain-lain tidak berani membantah atau menegur. Maka nilai yang ditentukan oleh seorang manusia itu menjadi nilai parti dan seterusnya dianggap sebagai nilai parti yang kudus. Lalu UMNO diberi nilai kudus menyamai agama padahal yang dipertahankan bukannya parti itu sebenarnya sebaliknya yang dipertahankan ialah nilai seorang manusia yang dijadikan nilai parti.

Maka tidak hairanlah jika UMNO dipertahankan oleh ahli-ahlinya walaupun berlaku penyelewengan dan kezaliman terhadap ahlinya sendiri atau bukan ahlinya seolah-olah mereka mempertahankan agama. Alangkah bagusnya jika nilai ini dihalakan oleh ahli-ahli UMNO kepada agama; selamatlah agama Islam di bumi Malaysia.

Akhlak politik UMNO sekarang mengesahkan dakwaan parti PAS selama ini bahawa UMNO adalah parti asabiyyah. UMNO menidakkan sekeras-kerasnya dakwaan ini atas alasan memperjuangkan nasionalisme bukannya asabiyyah. Sama ada nasionalisme itu asabiyyah atau tidak memang boleh diperdebatkan.

Bukanlah tujuan makalah ini untuk mengetengahkan persoalan sama ada nasionalisme itu asabiyyah atau tidak. Yang penting, untuk menentukan asabiyyah atau tidak, bukan istilahnya tetapi apa yang diamalkan.

Namun yang pasti dan tanpa ragu-ragu lagi ialah apa yang diamalkan dan akhlak politik yang dipamerkan oleh UMNO sekarang adalah benar-benar asabiyyah. Kenapa kita mengatakan demikian?

Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tidaklah termasuk umat kami orang yang mengajak kepada fanatisme suku atau golongan (asabiyyah), bukan pula termasuk umat kami orang yang berperang atas dasar fanatisme golongan (asabiyyah), dan bukan pula dari umat kami orang yang mati kerana membela fanatisme golongan (asabiyyah)". Ketika baginda ditanya oleh salah seorang sahabat tentang makna "fanatisme" (asabiyyah) itu, baginda menjawab: "Ertinya manakala kamu sekalian membantu kaummu melakukan kezaliman." (Riwayat Abu Daud dari Jabir bin Muth'im dan Wa'ilah Ibn Al-Aqsa').

Penjelasan Rasulullah s.a.w. itu bukan menerangkan maksud perkataan "asabiyyah" tetapi menerangkan amalan dan akhlak asabiyyah. Sebab itu, kita mengatakan, yang penting untuk menentukan ia asabiyyah atau tidak ialah amalan, bukannya istilah.

Asabiyyah boleh muncul dalam pelbagai bentuk dan rupa atau istilah. Asabiyyah boleh muncul dalam bentuk nasionalisme, parochialisme, parti, kenegerian, kumpulan, bahkan agama juga. Jika perjuangan ini berlandaskan "bertolong-tolongan melakukan atau membela kezaliman", maka ia dianggap asabiyyah.

Sekarang, kezaliman yang jelas dan nyata telah dilakukan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tetapi ahli-ahli UMNO mempertahankan kezaliman ini atas alasan mempertahankan parti. Ini bermakna ahli-ahli UMNO "bertolong-tolongan" melakukan dan membela kezaliman. Ciri-ciri yang dimiliki dan diamalkan oleh UMNO sekarang sama dengan ciri-ciri asabiyyah Arab Jahiliyyah.

Dalam masyarakat Arab Jahiliyyah dulu, setiap kaum tidak mempedulikan siapa salah dalam sesuatu pertelingkahan atau pertikaian. Yang penting ialah mempertahankan suku mereka walaupun terbukti dan diketahui dengan jelas bahawa anggota suku mereka yang berbuat salah terhadap anggota suku yang lain. Dengan kata lain, "sukulah yang lebih penting, bukan soal keadilan atau kezaliman". Akhlak dan budaya politik UMNO sekarang pun sama juga iaitu "partilah yang lebih penting, bukan soal keadilan dan kezaliman". Oleh sebab itu, UMNO sekarang adalah parti asabiyyah dan asabiyyah tidak diakui oleh Rasulullah s.a.w.

Mungkin ahli-ahli UMNO tidak begitu terasa apa-apa kesan daripada kata-kata "bukan dari umat kami" yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. itu. Memang kesannya tidak dirasai kerana jikapun tergelincir iman seseorang manusia, bukannya Allah Taala menandakan satu tompok hitam di dahi atau di pipi sebagai tanda dosa.

Sama juga, ada sesetengah pemimpin UMNO mengatakan, "Jika benarlah Tuan Guru Nik Aziz itu ulama dan alim, sudah lama mulut saya ini dah herok." Balasan Tuhan adalah pelbagai. Ada yang segera, dan ada yang lambat. Ada yang berbentuk peringatan supaya bertaubat, dan ada yang berbentuk bala bencana atau musibah.

Tetapi yang pasti ialah "pembantah-pembantah" dan penderhaka-penderhaka kepada Allah Taala akan mati dalam keadaan hina-dina. Firaun, Namrud, Qarun, kaum Add, kaum Thamud dan lain-lain mengakhiri hayat dan riwayat mereka dengan penuh hina-dina di sisi manusia dan di sisi Allah Taala kerana menentang Nabi dan Rasul Allah.

Sekarang, Nabi dan Rasul Allah sudah tidak ada lagi. Tetapi ulama itulah pewaris para Nabi dan Rasul Allah, kata sabda Rasulullah s.a.w. Oleh itu, menghina dan memusuhi ulama sama seperti memusuhi Nabi dan Rasul Allah, dan tunggulah musibahnya nanti.

Agama (dalam makalah ini merujuk kepada Islam) juga diberi nilai kudus oleh ajarannya sendiri dan oleh penganut-penganutnya. Tetapi nilai kudus yang diberi oleh penganut-penganut Islam misalnya tidaklah sampai kepada peringkat asabiyyah iaitu mempertahankan kezaliman demi mempertahankan sesama Islam atau melakukan kezaliman ke atas agama lain atas alasan agama itu berbeza dengan agama Islam.

Dilihat dari segi ini, nampaknya nilai kudus yang diberi kepada UMNO oleh ahli-ahli UMNO jauh lebih hebat dan jauh lebih tinggi berbanding dengan nilai kudus yang diberi kepada agama Islam sendiri. Jadi, kalau begini, apa yang hendak kita istilahkan kepada UMNO?

Jika Islam membenarkan pemimpin-pemimpinnya ditentang, maka UMNO pula tidak membenarkan penentangan terhadap pemimpin atas alasan mengukuhkan parti. Jadi kalau begini, apa yang hendak kita istilahkan kepada pemimpin UMNO?

Khalifah Umar minta diperbetulkan jika beliau berbuat silap atau berlaku zalim dalam pemerintahannya. Seorang rakyat yang berani telah bangun menyuarakan pendapat bahawa dia akan menentang Umar dengan pedang jika Umar melakukan kesilapan. Jadi, kalau begini, adakah pemimpin UMNO sekarang lebih unggul dan lebih hebat daripada Khalifah Umar?

Membela kezaliman dan menafikan keadilan, hukumnya jelas. Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud, "Janganlah seorangpun di antara kamu menjadi orang yang tidak mempunyai pendirian (dengan) dia berkata: 'Aku bersama orang ramai, jika mereka berbuat baik aku berbuat baik, sekiranya berbuat jahat aku juga berbuat jahat,' tetapi kamu mestilah menetapkan pendirian kamu, apabila orang berbuat baik hendaklah kamu berbuat baik, sekiranya mereka berbuat jahat hendaklah kamu menjauhkan diri dari berbuat jahat terhadap mereka." (Dari dari Fathi Yakan, 1985, hal. 160).

Imam Al-Tarmizi pula meriwayatkan daripada Abu Huzaifah r.a. bahawa Rasulullah telah bersabda, "Janganlah kamu menurut tanpa meneliti. Kamu berkata: 'Jika orang berbuat baik kami pun berbuat baik, dan jika mereka berbuat zalim kami juga berbuat zalim.' Tetapi hendaklah kamu tetapkan hati dan biasakan diri kamu. Jika orang berbuat baik kamu berbuat baik, dan jika mereka berbuat jahat maka kamu janganlah berbuat zalim."

Ahli-ahli UMNO dan sesiapa saja tidak boleh menjadi penonton melihat kezaliman berlaku. Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud, "Barangsiapa di antara kamu melihat kemungkaran dia hendaklah mengubahnya dengan tangan. Barang siapa yang tidak mampu (mengubah kemungkaran dengan tangannya) dia hendaklah mengubahnya dengan lisannya. Barangsiapa yang tidak mampu (mengubah kemungkaran dengan lidahnya) dia hendaklah mengubahnya dengan hatinya, yang demikian itu (mengubah kemungkaran dengan hati) adalah iman yang paling lemah." (Riwayat Imam Muslim).

Sesetengah orang salah memahami hadis ini. Tafsir konvensional perkataan "tangan" ialah kuasa. Dengan itu mereka menganggap mereka bukan pihak berkuasa, maka mereka tidak dapat mengubah mengikut cara yang pertama itu. Sebenarnya, kalimat "tangan" itu bukan hanya bermaksud kuasa, tetapi juga keupayaan fizikal kita iaitu apa yang boleh dilakukan oleh kaki dan tangan kita. Kuasa undi dalam pilihanraya juga adalah termasuk dalam pengertian "kuasa". Sumbangan tenaga kita membantu memerangi kezaliman seperti mengedar risalah, menampal poster, menaikkan bendera, menulis artikel, menulis cerpen, novel dan seumpamanya juga termasuk dalam pengertian "kuasa".

Manakala kalimat "lisan" selalu difahami sebagai "menegur" kezaliman atau kemungkaran secara langsung. Sebenarnya pengertian "lisan" tidak hanya setakat itu. Bersyarah, berceramah, memperkatakan kepada kawan-kawan, kaum keluarga atau orang ramai walaupun sepatah bagi menentang kezaliman dan kemungkaran juga termasuk dalam pengertian "lisan" iaitu keupayaan ucapan mulut kita.

Tetapi adakah itu semua tidak mampu kita lakukan? Mustahil! Jika kita hanya membenci sahaja dalam hati iaitu dengan memilih cara yang ketiga itu, bermakna dia tersangat lemah imannya.

Iman yang lemah bermakna dia itu seorang mukmin yang lemah kerana kemukminan seseorang itu bergantung pada iman. Apa kedudukan mukmin yang lemah di sisi Allah Taala? Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud, "Mukmin yang kuat itu lebih baik dan disukai Allah daripada mukmin yang lemah." (Dari dari Fathi Yakan, 1985, hal. 197).

Barang siapa menjadi penonton melihat kezaliman berlaku, dia akan mendapat balasan daripada Allah sebagai mana balasan yang diturunkan kepada si penzalim.

Firman Allah Taala dalam sebuah hadis Qudsi bermaksud, "Demi kemuliaan dan keagungan-Ku, pasti Kubalas si penganiaya cepat atau lambat, dan pasti Kubalas orang yang melihat seseorang teraniaya tetapi ia tidak menolongnya padahal ia mampu melakukannya." (Riwayat Imam Al-Thabrani).

Semoga kita tidak akan menerima balasan pedih Allah Taala akibat terlalu beralasan kononnya kita tidak mampu padahal kita sebenarnya mampu menghalang kezaliman dan kemungkaran itu melalui dua cara yang disebutkan di atas. Kezaliman wajib ditentang.

Pemimpin yang zalim tidak perlu ditaati. Perhatikan hadis-hadis Rasulullah s.a.w. yang diperturunkan di akhir makalah ini.

"Dengar dan taat adalah wajib bagi setiap muslim dalam perkara dia suka dan benci. Apabila dia diperintahkan melakukan maksiat, maka dia tidak wajib dengar dan tidak wajib taat." (Riwayat Imam Bukhari).

"Tidak ada kewajipan patuh dan taat dalam kemaksiatan, sesungguhnya ketaatn itu hanyalah dalam hal yang makruf." (hadis riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim).

"Tidak ada kewajipan taat kepada orang yang tidak taat kepada Allah." (hadis riwayat Imam Ahmad).

"Tidak ada kewajipan taat kepada orang yang maksiat kepada Allah." (Riwayat Imam Ahmad).

"Jihad yang paling utama adalah menyampaikan ucapan yang benar di depan pemerintah yang menyeleweng." (hadis riwayat Abu Daud, Tarmizi dan Ibnu Majah).

Oleh Heikal El-Muhammady

Last changed: November 23, 1999