ReformIS

[ Contents | Post ]

SPR HADIR BERSYARAT DALAM SAMAN JOMO

From:
Date: 23 Nov 1999
Time: 19:40:36

Comments

SPR HADIR BERSYARAT DALAM SAMAN JOMO

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hadir secara bersyarat dalam permohonan pensyarah Universiti Malaya Prof Dr Jomo Kwame Sundaram yang mahu mahkamah mengisytiharkan bahawa pilihan raya umum29 Nov ini tidak boleh diteruskan tanpa mengambil kira 680,000 pengundi ang berdaftar tahun ini.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Mohamed Sekeri Mamat membenarkan permohonan ex-parte Peguam Kanan Persekutuan Datuk Zaitun Zawiyah Putehyang hadir bagi pihak SPR, di kamar hari ini.

Zaitun juga mengemukakan satu afidavit untuk menyokong permohonan SPR atas tiga alasan. Menurut afidavit itu permohonan Jomo boleh menghalang SPR daripada menjalankan tanggungjawabnya, keduanya beliau tidak mempunyai jalan untuk mengambil tindakan dan yang ketiga permohonan itu menyalahgunakan proses mahkamah.

Bagaimanapun, tiada tarikh perbicaraan ditetapkan dan SPR mempunyai 14 hari untuk mengemukakan permohonan bagi membatalkan saman itu.

Jomo, 46, yang mendaftar sebagai pengundi pada lewat April atau Mei lepas, mendakwa pilihan raya itu tidak boleh diteruskan kerana ia tidak selaras dengan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Profesor ekonomi itu meminta perisytiharan yang sebagai pengundi yang baru berdaftar, beliau layak mengundi di kawasan Parlimen Petaling JayaSelatan dan Dewan Undangan Negeri Bukit Gasing pada pilihan raya umum 29 Nov ini.

Sebelum ini Pengerusi SPR Datuk Omar Mohamed Hashim telah mengumumkan yang SPR akan menggunakan daftar pemilih 1998, yang disahkan pada 7 Jan lepas, bagi pilihan raya kali ini.

Oleh itu mereka yang berdaftar sebagai pengundi pada tahun ini tidak layak mengundi, menurut SPR lagi. -- BERNAMA

Last changed: November 23, 1999