ReformIS

[ Contents | Post ]

PERTINDIHAN CALON PEMBANGKANG KERANA SALAH FAHAM, KATA CHEN

From:
Date: 23 Nov 1999
Time: 19:33:04

Comments

PERTINDIHAN CALON PEMBANGKANG KERANA SALAH FAHAM, KATA CHEN

SEREMBAN, 23 Nov (Bernama) -- Pengerusi DAP Kebangsaan Dr Chen Man Hin hari ini berkata kemungkinan berlaku salah faham sehingga menyebabkan pakatan pembangkang tidak menyedari Parti Keadilan Nasional (Keadilan), PAS dan DAP berlawan sesama sendiri menentang Barisan Nasional (BN) di lima kawasan di Perak, Pahang dan Sabah.

Katanya walaupun persetujuan mengenai pembahagian kerusi dicapai di peringkat pucuk pimpinan pakatan pembangkang, tetapi kekeliruan mungkin berlaku di peringkat negeri.

Laporan akhbar hari ini menyebut bagi kawasan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Aulong dan Teja di Perak, calon BN dicabar oleh DAP dan Keadilan manakala di DUN Kuala Kurau, Perak, BN dicabar oleh PAS dan Keadilan.

Di DUN Damak, Pahang calon BN ditentang oleh Keadilan dan PAS manakala di Parlimen Batang Sadong, Sabah BN dicabar calon Keadilan dan PAS. Kesemua pertindihan itu melibatkan parti Keadilan.

Menurut laporan akhbar sebelum ini, pakatan pembangkang sering melaungkan bahawa mereka merupakan kumpulan parti yang bersatu padu dan memberi jaminan tidak akan berlaku pertindihan calon di sesuatu kawasan.

Pakatan pembangkang antara DAP, PAS, Keadilan dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) menggelarkan diri mereka Barisan Alternatif.

Dr Chen berkata berdasarkan laporan awal, pertindihan itu berlaku kerana terdapat sesuatu yang tidak kena atau mesej tidak sampai kerana ramai yang hendak bertanding.

"Perkara ini adalah di luar jangkaan. Kami akan menyiasat sebelum mengambil tindakan selanjutnya," katanya.

Sementara itu, Chen berkata DAP memutuskan untuk menyingkir Tee Kok Seng, 48, dari parti itu kerana tidak muncul pada hari pencalonan Sabtu lepas. Tee dicalon oleh DAP untuk bertanding kawasan DUN Tangkak, Johor.

Tindakan itu diambil dua hari lepas, katanya.

Calon BN bagi kerusi DUN Tangkak, Yap Chik Dong, diumumkan menang tanpa bertanding apabila tiada pencabar selepas pencalonan ditutup.

-- BERNAMA

Last changed: November 23, 1999