ReformIS

[ Contents | Post ]

MAJIKAN TAK BENAR PEKERJA MENGUNDI LANGGAR UNDANG-UNDANG

From:
Date: 23 Nov 1999
Time: 19:29:03

Comments

MAJIKAN TAK BENAR PEKERJA MENGUNDI LANGGAR UNDANG-UNDANG

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Majikan sektor swasta yang tidak membenarkan pekerjanya keluar mengundi pada pilihan raya umum 29 Nov ini, yang telah diisytiharkan sebagai cuti umum, dikira melanggar undang-undang, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Abdul Halim Ali.

Beliau berkata, mengikut peraturan pilihan raya, majikan mesti memberi peluang kepada semua pekerjanya mengundi.

"Ini bermakna, majikan yang tidak membenarkan pekerjanya mengundi, dikira menyalahi undang-undang. Jadi kita haraplah semua majikan akan memberi peluang dan waktu kepada pegawai dan pekerjanya untuk sama-sama mengundi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai adanya pemilik kilang yang dikatakan tidak membenarkan pekerja mereka bercuti untuk mengundi pada hari berkenaan.

Abdul Halim berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke ibu pejabat Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) di sini, hari ini. Beliau diiringi Setiausaha SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Sebelum itu, Kementerian Sumber Manusia telah meminta majikan sektor swasta memberi masa yang munasabah kepada pekerja masing-masing untuk mengundi pada hari berkenaan.

Mengenai lawatannya, Abdul Halim berkata beliau berpuashati dengan persiapan yang dibuat oleh SPR.

"Semuanya telah siap sedia dan teratur. Saya berpuashati bahawa SPR telahpun menjalankan tugas dengan baik dan saya percaya pilihan raya ini juga akan berjalan dengan lancar," katanya.

-- BERNAMA

Last changed: November 23, 1999