ReformIS

[ Contents | Post ]

NIK AZIZ PERKECILKAN MANIFESTO BN

From:
Date: 23 Nov 1999
Time: 04:07:35

Comments

NIK AZIZ PERKECILKAN MANIFESTO BN

GUA MUSANG, 22 Nov (Bernama) -- Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memperkecilkan manifesto pilihan raya Barisan Nasional (BN) yang dilancarkan semalam khasnya mengenai aspek bahawa dunia kini mengiktiraf Malaysia sebagai contoh negara Islam.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, pengiktirafan dan pujian yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin asing yang mengunjungi Malaysia selama ini tidak ikhlas kerana hanya untuk menjaga hati tuan rumah.

"Kerana kaedah orang luar bila dia nak berbaik dengan sebuah negara dia kena cakap selaras dengan kehendak negara itu. Tetamu-tetamu luar negeri bila mari ke Kuala Lumpur semua puji Kuala Lumpur, walaupun bila balik dia buat lagu (cara) lain".

"Kita pergi rumah orang takkan nak maki tuan rumah," katanya ketika ditemui selepas berceramah di Kampung Bertama Baru, Dabong dekat sini, hari ini.

Antara kandungan manifesto pilihan raya BN yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad menyentuh mengenai kejayaan Kerajaan Pusat membangunkan Islam dalam pelbagai sudut seperti ekonomi dan pendidikan hingga Malaysia diiktiraf oleh dunia Islam sebagai negara contoh.

Menurut Nik Aziz pujian oleh para pemimpin negara asing terhadap kejayaan Malaysia menegakkan Islam juga tidak boleh dibanggakan kerana kebanyakan negara itu terdiri daripada negara "kafir" (bukan Islam) yang tidak mengetahui mengenai Islam yang sebenarnya.

Nik Aziz yang menafikan dakwaan pelbagai pihak bahawa PAS tidak boleh menjadi kerajaan yang baik dan cekap, berkata sekiranya rakyat memberi peluang kepada PAS dan pakatan pembangkang yang digelar Barisan Alternatif memerintah di peringkat pusat, parti itu boleh melaksanakan banyak kebaikan malahan melebihi kerajaan BN.

"Sebagai contoh, dulu semasa PAS tak memerintah Kelantan, semua orang cakap PAS cakap kosong, tak tahu memerintah tetapi bila kami memerintah sebuah negeri banyak yang kami boleh buat dan ramai yang menerimanya," katanya.

Ketika ditanya mengenai kempen pilihan raya oleh Umno yang mempersendakannya berhubung kenyataannya sebelum ini bahawa PAS sanggup meminta bantuan syaitan bagi membangunkan kerajaan Islam, Nik Aziz berkata Umno sebenarnya yang bekerjasma dengan Syaitan.

"Kerjasama dengan syaitan ini Umno, bukan saya. Kerana apa, membazir ini adik beradik syaitan, tuhan kata,"

"Umno sahlah dok buat benda-benda membazir hingga sampai ke peringkat orang kampung nak masuk ke universiti pun tak boleh," katanya.

Menurutnya antara pembaziran berleluasa itu menyebabkan Kerajaan Pusat ingin menswastakan semua perkhidmtan kepada rakyat seperti sekolah dan universiti kerana ingin mendapatkan keuntungan cepat hingga menyebabkan rakyat menanggung bebanan kewangan apabila terpaksa membayar lebih.

Dalam kandungan ceramahnya, Nik Aziz meminta rakyat untuk menolak perjuangan politik Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Tengku Razaleigh Hamzah kerana pemimpin itu menurutnya tidak mempunyai matlamat apabila sanggup menyertai semula UMNO selepas menubuhkan Parti Melayu Semangat 46.

Beliau berkata, nama Tengku Razaleigh kini telah "rosak" dan tidak lagi boleh dipercayai.

Tengku Razaleigh yang menyandang jawatan anggota Parlimen Gua Musang sejak pilihan raya 1969 akan mempertahankan kawasan itu pada pilihan raya kali ini. Dabong adalah antara kerusi Dewan Undangan negeri di bawahkawasan Parlimen itu.

Nik Aziz menyifatkan Tengku Razaleigh sebagai "pemandu bas yang baik tetapi tidak tahu jalan" menyebabkan ramai orang tidak mahu menggunakan khidmatnya.

-- BERNAMA

Last changed: November 23, 1999