ReformIS

[ Contents | Post ]

DEKLARASI GRADUAN

From:
Date: 22 Nov 1999
Time: 20:16:16

Comments

DEKLARASI GRADUAN

Kami Gabungan Graduan Perihatin yang mewakili lebih 23,000 lulusan daripada 14 persatuan lepasan institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara: UPM, UKM, UUM, USM, UIAM, UTM, UiTM, UM, Kumpulan IPT dari Amerika Syarikat, United Kingdom dan Eire, Pakistan dan India, Jordan, Arab Mesir dan Indonesia, selaku penggerak dan tulang belakang pembangunan negara merasa terpanggil untuk menyatakan pendirian kami dalam hal kepimpinan negara.

Sebelum kami mengemukakan deklarasi kami, berikut kami gariskan beberapa ringkasan fakta yang membantu kami dalam menetapkan pendirian ini:

Keburukan Barisan Nasional

1. Kronisme dan nepotisme yang menafikan peluang dan hak ekonomi massa. Contohnya Mirzan dan Mokhzani bin MAHATHIR menguasai 169 buah syarikat.

2. Ketidaktelusan dalam pentadbiran yang menularkan budaya rasuah dalam kerajaan. Laporan Indeks Perpsepsi Korupsi (CPI) menunjukkan Malaysia antara negara yang tertinggi mengamal rasuah di dunia.

3. Pemusatan dan penyalahgunaan kuasa oleh MAHATHIR. Contohnya penyalahgunaan akta-akta seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Rahsia Rasmi (OSA), Akta Mesin Cetak, Akta Polis, Akta Hasutan dan lain-lain. Juga mempengaruhi institusi kehakiman dan Suruhanjaya Pilihanraya serta menguasai media massa.

4. Pengagihan kekayaan negara yang tidak seimbang yang menghasilkan golongan miskin yang kekal miskin, manakala golongan kaya bertambah kaya. Contohnya Daim Zainuddin menguasai sektor-sektor perbankan, hartanah, perindustrian, dan lain-lain.

5. Pengabaian pembangunan rohani melahirkan krisis sosial yang meruncing. Contohnya kes-kes pembuangan bayi, bohsia, bohjan, seks bebas dan penagihan dadah.

6. Merendah dan menghina martabat agama Islam menghasilkan kekeliruan di kalangan masyarakat. Contohnya mempertikaikan hukum Hudud, memperlekeh dan mempermainkan Al-Quran dan hadis, serta pemecatan ulamak yang jujur (Dato' Ishak Baharom).

7. Dasar perpaduan negara yang berkecamuk dan tidak jujur menimbulkan sentimen curiga- mencurigai di kalangan komponen masyarakat. Contohnya kajian menunjukkan tiadanya perpaduan di kalangan mahasiswa IPT pelbagai kaum, program-program Biro Tata Negara yang meniup semangat perkauman, dan kewujudan parti-parti perkauman dalam Barisan Nasional seperti UMNO, MCA dan MIC.

8. Mengutamakan projek-projek mewah, mega dan membazir, yang menyebabkan hutang negara bertambah. Contohnya mahligai MAHATHIR di Putra Jaya (RM200 juta), Kompleks VVIP Bunga Raya di KLIA (RM80 juta), KLCC (RM4.56 bilion - yang masih belum terSEWA secukupnya, dan belanja penyelenggaraan RM9 juta SEBULAN), Litar Formula One Sepang (RM285 juta), dan lain-lain.

Kelebihan Barisan Alternatif

1. Pimpinan yang bersifat sederhana dan berjiwa rakyat. Contohnya Menteri Besar Kelantan yang masih mendiami kediaman lamanya (rumah papan yang asas), serta sedia dan mudah dijumpai rakyat.

2. Barisan kepimpinan Kelantan yang bersifat telus. Contohnya pimpinan Kelantan tidak takut untuk berdepan dan berdialog dengan rakyat. Dialog-dialog dan perhimpunan bersama rakyat diadakan dengan meluas, dan rakyat pelbagai lapisan diberikan kesempatan mengemukakan pelbagai persoalan dan kemusykilan. Segala jawapan selalunya disertakan dengan data yang dikehendaki.

3. Tiada amalan rasuah. Contohnya tiada rekod pimpinan PAS Kelantan didakwa rasuah.

4. Pengagihan kekayaan kepada rakyat. Contohnya BA berikrar mengurangkan beban cukai dengan meningkatkan paras pendapatan yang dikecualikan cukai ke RM12,000 setahun.

5. Mementingkan kebajikan rakyat. Contohnya menamatkan amalan pelesenan peniaga kecil dan penjaja sebagai sumber pendapatan negara. Membaiki mutu perkhidmatan pengangkutan awam dan mengurangkan kadar tambang pada keseluruhannya supaya sesuai dengan taraf hidup rakyat.

6. Menjamin kebebesan rakyat. Contohnya BA akan memansuhkan ISA, dan menubuhkan Suruhanjaya Bebas untuk mengkaji semula akta dan undang-undang seperti OSA, Akta Hasutan, Akta Polis, AUKU, dan lain-lain dengan tujuan menghapuskan aspek kezaliman.

7. Menyediakan perkhidmatan keperluan asas kepada rakyat pada kos yang minima. Contohnya membatalkan semua program untuk menswastakan sistem kesihatan awam, dan menubuhkan Majlis Kesihatan Kebangsaan yang bertujuan memelihara kepentingan rakyat dan memajukan lagi mutu kesihatan rakyat.

8. Penekanan kepada pembangunan seimbang material dan rohani. Hasilnya kadar jenayah di Kelantan adalah yang terendah dalam Malaysia dibandingkan dengan semua negeri lain.

9. Tidak bersifat perkauman. Tiada satupun parti dalam BA yang berasaskan kaum.

Deklarasi kami

Menyedari dan menginsafi keburukan kepimpinan negara hari ini dan kebaikan kepimpinan yang ditawarkan oleh Barisan Alternatif, dengan ini kami menyeru dan menggesa semua para graduan, para profesional dan rakyat Malaysia seluruhnya supaya:

1. bersikap bijak dan matang dalam melaksanakan hak dan tanggungjawab sebagai pengundi,

2. bangkit menolak kezaliman dan kemungkaran,

3. bangkit menolak kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional,

4. memilih satu kepimpinan yang telus, berwibawa, berjiwa rakyat, berakhlak dan beragama,

5. bersama dengan Barisan Alternatif dalam pilihanraya kali ini.

20 November 1999

Gabungan Graduan Prihatin terdiri daripada:

1.PERSIP UPM

2.Alumni IPU UKM

3.Alumni IIU UUM

4.Dewan Siswazah Islam USM

5.Alumni Hizbul Islami UIAM

6.Dewan Siswazah UTM

7.Alumni JIK UiTM

8.UKP UM

9.Alumni MISNA (Amerika Syarikat)

10.Alumni Al Hizbul Islami UK-Eire

11.Halakat Masa Pakindo (Pakistan dan India)

12.Ikatan Siswazah Islam Jordan

13.Bekas Pelajar-pelajar Mesir

14.Bekas Pelajar-pelajar Islam Malaysia Indonesia

Last changed: November 22, 1999