ReformIS

[ Contents | Post ]

DAP PERAK PERTARUH TIGA PEGUAM UNTUK RAMPAS LEMBAH KINTA

From:
Date: 22 Nov 1999
Time: 20:01:32

Comments

DAP PERAK PERTARUH TIGA PEGUAM UNTUK RAMPAS LEMBAH KINTA

IPOH, 22 Nov (Bernama) -- DAP Perak meletakkan sasaran untuk menguasai kembali tiga kawasan Parlimen di Lembah Kinta -- Ipoh Barat, Ipoh Timur dan Batu Gajah -- yang terlepas ke tangan MCA pada pilihan raya umum yang lepas dengan meletakkan calon-calon berpengaruh.

Setiausaha DAP negeri M.Kulasegaran diletakkan di Ipoh Barat, pengerusi DAP negeri Ngeh Koo Ham di Ipoh Timur dan calonnya di Batu Gajah ialah anggota jawatankuasa DAP negeri, Fong Po Kuan. Ketiga-tiga mereka adalah peguam.

Kaum Cina merupakan etnik majoriti di kawasan-kawasan Parlimen itu dengan jumlahnya mencapai 64.84 peratus daripada 73,161 pengundi di Ipoh Barat, 85.03 peratus (77,884 pengundi) di Ipoh Timur dan 82.47 peratus (59,129 pengundi) di atu Gajah.

Kulasegaran berkata walaupun DAP tahu kawasan Ipoh Barat merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN) tetapi beliau yakin rekod baiknya sebagai anggota parlimen Teluk Intan akan menjadi daya penarik kepada pengundi.

"Kesemua calon yang bertanding di dalam pilihan raya ini ingin menang.

Kerusi di Ipoh Barat sememangnya susah untuk dimenangi tetapi ia bukanlah sesuatu yang mustahil," katanya.

"Saya akan mencipta sejarah di Ipoh Barat dan saya mempunyai trek rekod yang baik," kata Kulasegaran yang berbangga beliau berjaya mengenengahkan beberapa isu penting seperti hak wanita di Dewan Rakyat selama ini.

Kulasegaran memenangi kerusi parlimen Teluk Intan pada pilihan raya kecil 1997 mengalahkan calon BN dengan majoriti 2,916 undi. Kerusi itu dikuasai oleh calon BN pada pilihan raya umum 1995 mengalahkan calon DAP dengan majoriti besar 13,968 undi.

Sementara itu, calon DAP di Ipoh Timur Ngeh Choo Kam pula berkata pengundi-pengundi telah mulai sedar tentang pelbagai kesilapan yang dilakukan kerajaan BN terutama mengenai hutang luar negara.

Beliau juga berharap pengundi sedar tentang perlunya pembangkang yang lebih kuat.

Pada pilihan raya umum yang lepas, calon DAP Kerk Kim Hock tewas kepada calon BN, Chan Kon You dengan majoriti tipis, 292 undi. Tetapi pada pilihan raya umum kali ini, BN meletakkan calon baru Tong Fah Chong bagi menghadapi Ngeh.

Fong Po Kuan, calon tunggal wanita DAP Perak berkata kemenangan pembangkang di Batu Gajah bergantung sama ada para pengundi mahukan perubahan atau tidak.

Beliau yakin dapat merampas kerusi Batu Gajah pada pilihan raya umum kali ini memandangkan pada 1995, beliau hanya tewas dengan majoriti kecil 1,579 undi.

Calon BN, Yeong Chee Wah akan kembali mempertahankan kerusinya di Batu Gajah.

Menurutnya, kempen beliau akan menekankan isu-isu seperti hak wanita dan kepentingan untuk menafikan majoriti dua pertiga yang dimiliki BN.

"Daripada reaksi awal yang diterima oleh saya ketika melawat beberapa tempat, ia amat menggalakkan," katanya.

-- BERNAMA

Last changed: November 22, 1999