ReformIS

[ Contents | Post ]

ANGGOTA JENTERA P/RAYA BN MATI DIHEMPAP POKOK KELAPA

From:
Date: 22 Nov 1999
Time: 20:00:09

Comments

ANGGOTA JENTERA P/RAYA BN MATI DIHEMPAP POKOK KELAPA

BAGAN DATOH, 22 Nov (Bernama) -- Pengerusi sebuah jawatankuasa jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) bahagian Bagan Datoh terbunuh apabila kereta yang dipandunya dihempap pokok kelapa di Kampung Teluk Kerdu, Hutan Melintang dekat sini pagi ini.

Mohamad Nasir Hashim, 38, yang memandu kereta dihempap pokok kelapa semasa dalam perjalanan untuk berkempen pada pukul 9 pagi tadi.

Allahyarham, yang merupakan Ketua Umno Cawangan Kampung Teluk Kerdu, mati di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Sabak Bernam untuk bedah siasat.

Penumpang kereta tersebut Kimi Mohamad, 63, hanya mengalami cedera ringan, demikian menurut jurucakap polis di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Bagan Datoh Datuk Ahmad Zahid Hamidi berkata seluruh jawatankuasa dan anggota Umno kawasan itu bersedih di atas kejadian tersebut, allahyarham adalah seorang pemimpin dan petugas yang berdedikasi.

Umno bahagian tersebut telah meluluskan sejumlah peruntukan kepada keluarga mangsa, termasuk membiayai urusan pengkebumian petang ini, katanya.

Beliau berkata allahyarham, yang meninggalkan seorang balu dan enam orang anak, akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam kampung itu.

-- BERNAMA

Last changed: November 22, 1999