ReformIS

[ Contents | Post ]

su hutang RM1.7j punca Harun Din tak bertanding

From:
Date: 21 Nov 1999
Time: 22:40:27

Comments

su hutang RM1.7j punca Harun Din tak bertanding

KANGAR 21 Nov. - Isu hutang sebanyak RM1.7 juta didakwa menjadi sebab tokoh Pas, Datuk Harun Din, tidak mengemukakan pencalonannya untuk bertanding menentang Datuk Seri Shahidan Kassim pada penamaan calon di Arau dekat sini semalam.

Pesuruhjaya Pas Perlis, Hashim Jasin yang memberikan alasan itu hari ini sebaliknya menyalahkan sebuah bank kerana menuntut hutang itu daripada Harun.

Beliau mendakwa Harun menjadi penjamin kepada seorang rakannya yang telah 'melarikan diri'.

''Harun menjadi mangsa penipuan apabila orang yang dijaminnya tidak menjelaskan pinjaman bank dan melarikan diri.

''Ini menyebabkan Harun terpaksa melunaskan hutang sebanyak RM1.7 juta. Harun telah memohon tempoh seminggu untuk membayar hutang tersebut, tetapi ditolak oleh institusi kewangan terbabit yang hanya memberi tempoh sebelum 20 November,'' kata Hashim semasa berceramah di Kampung Ujung Batu, di sini malam tadi.

Harun yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat yang sebelum ini turut lantang memberitahu mahu menentang Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad di Kubang Pasu, tidak kelihatan di mana-mana tempat pencalonan di negeri ini sehingga ditutup pukul 11 pagi.

Tindakan Harun menarik diri daripada bertanding telah menjadi misteri sehinggakan Presiden Pas, Datuk Fadzil Noor, sendiri terkejut dan mahu mendapatkan penjelasan mengenainya.

Kegagalan Harun bertanding dalam pilihan raya 29 November ini disifatkan sebagai satu tamparan hebat kepada reputasi Pas yang telah mengwar-warkan bahawa tokoh mereka itu akan bertanding di sini, selain menentang Dr. Mahathir.

Hashim berkata, tindakan bank tersebut telah menyebabkan Pengerusi Jawatankuasa Hisbah Pas Perlis itu mengambil keputusan untuk tidak bertanding pada pilihan raya umum ini.

Beliau bagaimanapun berkata, Pas Perlis menerima keputusan Harun untuk tidak bertanding dan percaya pengaruh Pas tidak terjejas walaupun tokoh ulama itu tidak dicalonkan.

Harun digantikan oleh Ketua Dewan Pemuda Pas Perlis, Ismail Ahmad untuk bertanding menghadapi Shahidan di Tambun Tulang.

Pada ceramah itu, Hashim juga mengumumkan kandungan manifesto Pas Perlis yang tidak memperlihatkan sebarang program khusus atau janji pembangunan kepada rakyat Perlis andainya Pas dapat memerintah negeri ini.

Manifesto itu hanya disebut secara umum tanpa mencadangkan sesuatu program jangka pendek untuk dilaksanakan sekiranya Pas menang di negeri ini.

Yang hanya boleh dianggap di luar jangkaan daripada yang pernah disebut dalam ceramah-ceramah Pas ialah soal mengawal kadar sewa tapak perniagaan milik kerajaan negeri.

Selain itu, Pas juga akan menyegerakan proses pemberian hak milik tanah dengan mengurangkan birokrasi pentadbiran serta menyemak semula kadar cukai pintu yang dianggap membebankan rakyat.

Last changed: November 21, 1999