ReformIS

[ Contents | Post ]

DR CHEN DAKWA KEMENANGAN BN TANPA BERTANDING MUNGKIN KERANA RASUAH

From:
Date: 21 Nov 1999
Time: 22:22:54

Comments

DR CHEN DAKWA KEMENANGAN BN TANPA BERTANDING MUNGKIN KERANA RASUAH

SEREMBAN, 21 Nov (Bernama) -- Pengerusi DAP kebangsaan Dr Chen Man Hin mendakwa kemenangan tanpa bertanding dua calon Barisan Nasional (BN) semasa penamaan calon semalam kemungkinan besar kerana rasuah.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak akan membuat aduan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) kerana tiada bukti. "Tiada bukti tetapi kemungkinan kerana rasuah," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. Beliau berkata, di sesetengah kawasan borang pencalonan boleh ditawarkan sehingga RM1 juta.

Calon BN, Datuk Douglas Uggah anak Embas memenangi kerusi Parlimen Betong di Sarawak dan Yap Chik Dong memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tangkak, Johor tanpa bertanding apabila tiada pencabar selepas penamaan calon ditutup.

Mengenai peluang DAP di negeri ini, Dr Chen mengakui sukar bagi DAP memenangi kerusi kerana sokongan kaum Cina terhadap parti itu telah berkurangan ekoran kerjasama parti itu dengan PAS.

DAP mensasarkan untuk menang enam daripada 10 kerusi DUN yang ditandinginya tetapi ia tidak mudah. Menurut beliau, DAP kini mendapat sokongan 40 peratus masyarakat Cina, MCA 30 peratus dan selebihnya merupakan golongan yang masih berbelah bahagi.

"Kita mengharapkan sokongan golongan berbelah bahagi ini serta daripada sekurang-kurangnya 20 peratus pengundi Melayu," katanya. Pakatan parti pembangkang - PAS, Keadilan, DAP dan PRM - yang menggelarkan diri mereka Barisan Alternatif meletakkan calon di semua 32 kerusi DUN di negeri ini. DAP bertanding di 10 kawasan DUN, Keadilan 10 dan PAS 12.

Dr Chen berkata setiap parti pembangkang itu masing-masing mensasarkan untuk mencapai kemenangan enam kerusi. Beliau bertanding di kawasan Parlimen Rasah dan akan menentang calon BN iaitu anggota exco Negeri Datuk Goh Siow Huat, manakala bagi kerusi DUN beliau akan menentang penyandang Lee Yuen Fong (BN) di kawasan Temiang.

Dr Chen berkata rakyat perlu memilih wakil DAP untuk membolehkan mereka menyuarakan masalah rakyat kerana sebelum DUN dibubarkan, tiada wakil pembangkang dalam Dewan setelah dua orang yang memenangi kerusi DUN atas tiket DAP pada pilihan raya umum 1995 menyertai MCA tidak lama selepas itu.

Seorang daripadanya ialah Lee yang akan ditentangnya di DUN Temiang pada pilihan raya kali ini. Beliau berkata jolokan nama "Tiger" yang diterima oleh Lee adalah kerana kelantangannya semasa dalam DAP tetapi sejak menyertai MCA Lee bukan lagi "tiger" tetapi telah menjadi "mouse" (tikus).

Beliau juga berkata BN tidak harus membuat iklan dalam akhbar-akhbar yang menunjukkan rusuhan kerana menurutnya ia melanggar peraturan pilihan raya kerana menakut-nakutkan rakyat.

-- BERNAMA

Last changed: November 21, 1999