ReformIS

[ Contents | Post ]

PAS MULA EDAR MANIFESTO UNTUK TERENGGANU

From:
Date: 21 Nov 1999
Time: 11:00:56

Comments

PAS MULA EDAR MANIFESTO UNTUK TERENGGANU

KUALA TERENGGANU, 21 Nov (Bernama) -- PAS Terengganu mula mengedarkan manifestonya untuk Terengganu yang akan digunakan pada pilihan raya umum ke-10 ini.

Setiausaha PAS negeri Mustafa Ali berkata manifesto dalam bentuk buku itu yang berslogan "Membangun bersama Islam" adalah hasil daripada beberapa siri dialog yang membincangkan rangka manifesto PAS sejak beberapa bulan lepas.

"Kita dah lama lancarkan manifesto untuk Terengganu dan merangka manifesto dalam bentuk risalah yang telah diedarkan sejak September lepas untuk dibincangkan bersama. Hasilnya manifesto itu dibukukan dan diedarkan kepada orang ramai baru-baru ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pesuruhjaya PAS Terengganu Abdul Hadi Awang dalam kata-kata aluannya dalam buku itu berkata manifesto yang dikemukakan itu adalah hasil daripada `syura rakyat' dalam beberapa pertemuan dan dialog yang dianjurkan dengan segenap lapisan masyarakat.

Hadi berkata antara agenda yang diketengahkan PAS dalam manifestonya kali ini ialah pembelaan kepada rakyat yang masih miskin, memansuhkan cukaitanah dan cukai pintu rumah kediaman, menghapuskan kutipan tol dan berusaha meningkatkan pendapatan rakyat terutama dalam sektor pertanian dan perikanan.

PAS juga akan memberi penumpuan sepenuhnya kepada agenda pembinaan insan kerana masyarakat yang dinamik, progresif, harmonis, bersatu padu, bertimbang rasa dan berkasih sayang adalah dari insan yang berilmu dan bertakwa, katanya.

Manifesto setebal 16 muka surat itu mengandungi 24 agenda termasuk mengenai dasar pemerintahan PAS, pentadbiran, pendidikan dan dakwah, kewangan, perkhidmatan awam, ekonomi dan pembangunan, pertanian dan perikanan, perlombongan, petroleum dan gas, pelancongan, wanita dan kemasyarakatan.

Antara janji-janji PAS dalam manifesto itu ialah mendaulatkan sebuah pemerintahan berasaskan Al-Quran dan As-Sunnah, memastikan dasar dan prosedur pentadbiran yang telus, membentuk Lembaga Hisbah untuk memastikan keberkesanan pelaksanaan dasar dan pentadbiran kerajaan, memberi kuasa perundangan kepada undang-undang syariah dan memperkenalkan dasar kewangan Islam.

PAS juga berjanji untuk mewujudkan sebuah Majlis Ekonomi Negeri yang diwakili semua pakar dalam masyarakat dan menyusun semula perkhidmatan awam negeri dengan menyatukan perkhidmatan pegawai tadbir negeri dan pegawai tadbir agama negeri.

Manifesto itu turut memuatkan agenda untuk bukan Islam iaitu menjamin kebebasan orang bukan Islam mengamalkan agama dan budaya masing-masing, menggalakkan interaksi, persefahaman dan perpaduan antara bukan Islam dan orang Islam serta menjamin orang bukan Islam menikmati hak dan keadilan yang saksama.

PAS turut berjanji memperluaskan peranan wanita dalam perkhidmatan dan kemasyarakatan serta melindungi hak dan fungsi wanita dalam pembangunan sosial, ekonomi, pendidikan, pekerjaan dan kekeluargaan.

Mengenai petroleum dan gas, manifesto itu menyebut bahawa PAS akan berjuang mendapatkan pembahagian royalti yang lebih adil daripada kerajaan pusat dengan penerimaan sekurang-kurangnya 20 peratus.

Hasil royalti yang diterima Kerajaan Negeri sekarang ialah 5 peratus.

-- BERNAMA

Last changed: November 21, 1999